Preview: Kelantan Mahu Menang, Perak impi Satu Mata. | ||
|
Pemburuan tiga mata dalam saingan Liga Super diteruskan Kelantan malam ini apabila menentang Perak di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.
Pertemuan pertama di Ipoh, kedua-dua pasukan terikat 0-0 manakala rekod pertemuan 2009 memihak kepada Kelantan apabila Sang Kijang menang pada dua pertemuan.
Namun rekod bukan sandaran memburu kejayaan kerana 90 minit yang perlu dihadapi mampu menghadirkan pelbagai kisah coretan yang mungkin mengecewakan.
Berdasarkan perlawanan sebelum ini, Kelantan mungkin menurunkan Khairul Fahmi Che Mat di posisi penjaga gol setelah pemain muda ini menampilkan aksi menyakinkan selain tampil konsisten dalam 8 perlawanan terakhir.
Begitu juga barisan pertahanan. Dijangkakan tiada rombakan besar akan dilakukan B. Sathianathan kerana pemain yang membarisi posisi ini turut menampilkan aksi cemerlang mempertahankan kubu dari dibolosi.
Masih mengharapkan Azizi Mat Rose selaku jeneral utama, Kelantan turut membariskan S. Subramaniam di pertahanan tengah manakala Daudsu dan Farisham akan memperkemaskan benteng pasukan di bahagian kiri kanan.
Dan satu berita gembira dari kem Kelantan ketika ini, Zairul Fitree akan kembali ke dalam pasukan setelah direhatkan tiga minggu akibat kecederaan sewaktu menentang Johor Pasir Gudang.
Pemain simpanan lain seperti Zamri Ramli, Sharudy Aziz dan Rizal Fahmi perlu bersedia untuk dimasukkan andai kata pemain yang berada dalam kesebelasan utama mengalami kecederaan.
Posisi tengah turut menyaksikan kembalinya kapten pasukan dari pengantungan satu perlawanan, Indra Putra Mahayudin dijangkakan akan bergandingan dengan Khairan Eroza, Shakir Shaari dan Norfarhan Mohamed.
Badri Radzi mungkin akan direhatkan kerana gagal memberikan impak kepada barisan tengah setelah tampil mengecewakan sebelum dikeluarkan dari perlawanan di Batu Kawan.
Begitu juga dengan pemain simpanan lain seperti Wan Zaman dan Zulyusri, mereka perlu bersedia kerana khidmat mereka mungkin akan diperlukan pada malam ini.
Walau bagaimana sekali pun kehandalan pemain tengah, jika penyerang gagal melaksa tugasan. Kelantan mungkin mengalami kesukaran untuk menjinakkan Seladang di Kota Bharu. Dikhabarkan Norhshahrul Idlan mengalami sedikit kecederaan menyebabkan status pemain ini masih dalam perhatian pihak kejurulatihan.
Mungkin Norshahrul akan direhatkan bagi memberi laluan wira botak di Pulau Pinang, Hairudin Omar dan Akmal Rizal membarisi sebelas pemain utama.
Akmal Rizal menampilkan persembahan menarik manakala Hairudin menjadi watak penting menghapuskan terus semangat pemain Pulau Pinang. Diharapkan mereka berdua terus konsisten memberikan corak yang mampu membantu pasukan.
Jika gagal, Che Hishamudin yang dimasukkan pada lewat perlawanan dan menjaringkan gol ketiga masih boleh diberi ruang untuk mengecewakan pelawat. Malah Kelantan turut mempunyai pemain muda yang dapat memperagakan aksi memikat seperti Nidzad Ayub.
Namun B. Sathianathan berkuasa penuh mencari barisan impiannya menentang Si Seladang kerana pasukan pelawat boleh dikatakan pasukan yang liat untuk ditundukkan.
Perak bukan calang-calang skuad yang boleh dikcewakan tanpa aksi melawan. Mereka mempunyai penyerang berbisa seperti Razaly Umar dan Saufi Sa'adi. Gandingan penyerang yang mungkin memberikan masalah kepada pemain pertahanan Kelantan.
Selain itu, Perak turut mengharapkan pemain senior yang pernah berbakti di beberapa pasukan handalan, K. Nanthakumar dan Megat Amer Faisal untuk membimbing pemain muda mereka menyerap tekanan perlawanan.
Perak turut tampil menyengat dengan pemain baru walaupun persatuan mereka menghadapi kekangan kewangan selain masalah kepimpinan dari pihak atasan.
Ketua jurulatih mereka, Y.M Raja Azlan Shah Raja Shoib mungkin akan mengatur taktik menyerang secara pantas dan turun secepat mungkin bagi memburu dan mempertahankan pintu gol mereka.
Dikala Sang Kijang mencari tiga mata, Perak mungkin datang dengan tujuan mencari satu mata kerana kehandalan Kelantan memang tidak dinafikan apabila bermain di arena sendiri.
Justeru itu, pemain kelantan yang membarisi skuad utama seharusnya lebih fokus dan hanya memikirkan idea bagaimana untuk memecahkan kebuntuan.
Kemenangan Kelantan memberi tekanan kepada Selangor di puncak liga dan andai kekalahan dicipta, sudah sah Merah Kuning akan sukar dicabar jika mereka menang pada perlawanan malam ini.
Kemenangan menjadi impian dan tiga mata menjadi buruan maka malam ini Stadium Sultan Muhamad kembali bergegar dengan laungan keramat Gomo Kelate Gomo dari penyokong Red warriors yang bertandang.
Sokong dengan bijak, elakkan tindakan tidak bertamadun dan tunjukkan Tentera Merah hadir dengan semangat kesukanan tinggi disamping memberikan sorakan gemuruh kepada pemain yang berjuang diatas padang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan