KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 5 Jun 2010

Media Sukan Hilang Semangat Patriotik

emel

"SAMPAI BILAKAH MASYARAKAT MALAYSIA HANYA PERLU BERBANGGA ZAMAN KEGEMILANGAN BOLASEPAK ERA MOHKTAR DAHARI, SANTOKH SINGH DAN SOH CHI AUN SAHAJA YANG SUDAH LAMA DISIMPAN DI ARKIB NEGARA?"

Kini semangat patriotik dalam media sukan bolasepak semakin luntur di negara kita . Catatan ini hanya ingin merujuk semangat patriotik dalam sukan bolasepak di Malaysia sahaja. Hal ini berlaku kerana pihak media hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan berlebih-lebihan dalam melaporkan liga bolasepak luar negara berbanding liga tempatan yang laporannya tidak lebih 1-3 kolum sahaja dan 1-3 prebiu tayangan gol keputusan perlawanan pasukan terpilih sahaja. Boleh majukah bolasepak Malaysia kalau setakat ini sahaja yang mampu diberikan oleh media-media utama Malaysia.

Melalui analisis dan fakta yang sahih kebanyakan negara yang berjaya menjejak kaki ke piala dunia, media mereka memiliki semangat patriotik yang tinggi tidak terlalu mengagungkan liga luar negara mereka. Kajian kes mengambil contoh Jepun dan Korea Selatan 2 buah pasukan yang pernah ditewaskan Malaysia pada zaman Mohktar Dahari dulu, kini menjadi antara pasukan utama piala dunia sejak 2 dekad ini dan ianya berbeza dengan Malaysia yang masih terkontang-kanting mengimpikan kelayakan dalam piala Asia. Antara resipi kejayaan Jepun selain kemantapan liga Jepun yang dinaiktaraf pada 1993 yang telah melahirkan ratusan pemain bertaraf dunia ialah liputan media yang sentiasa mengagungkan liga tempatan dan pemain tempatan. Setiap perlawanan bolasepak dalam negara disiarkan secara langsung dan secara percuma, dapat disaksikan oleh seluruh peminat tanpa perlu memikirkan perlawanan pasukan apa yang akan disiarkan dan hari apa perlawanan berlangsung. Tekan sahaja butang tv mesti ada perlawanan bolasepak ditayangkan samada ulangan mahupun secara langsung. Surat khabar dan majalah sudah pasti akan memaparkan sepenuhnya ulasan setiap satu perlawanan termasuk senarai pemain yang diturunkan, jumlah kad dikeluarkan, ulasan pemain dan jurulatih mengenai perlawanan dan paparan gambar aksi perlawanan. Liputan ini telah hilang dalam arus media bolasepak tempatan seperti mana yang berlaku sejak kemunculan piala dunia, ada satu stesen tv swasta hanya memaparkan ulasan piala dunia tanpa ada slot paparan keputusan perlawanan liga tempatan yang berlangsung pada setiap selasa, walaupun slot itu ditaja oleh penaja yang sama TM Adakah liga tempatan terlalu jijik untuk dipaparkan walaupun hanya sekadar keputusan sahaja? Mengapa perkara ini boleh berlaku? Apakah matlamat sebenar stesen tv ini dan TM hanya keuntungan semata-mata tanpa ada matlamat membangunkan dan membangkit semangat cintakan Malaysia?

Isu ini juga dikongsi En Burhan salah seorang peminat Hashim Mustapha di zaman kegemilangan Hashim iaitu era 80 an, pada zaman ini media sukan berfungsi dengan baik dan cemerlang dalam membuat laporan sukan bolasepak Malaysia sehinggakan banyak koleksi aksi dan gambar Hashim Mustapha, Fendi Ahmad dan Radhi Mat Din yang beliau kumpul sebagai koleksi. Pada zaman ini liga bolasepak seolah-olah menjadi satu fenomena yang sukar disekat oleh semua media bolasepak negara, boleh dikatakan mana-mana media yang tidak memaparkan liga Malaysia akan merosot jualan semasa mereka. Semua stadium diseluruh negara dipenuhi ribuan peminat setia bolasepak tanahair. En Burhan juga berasa pelik mengapa perkara ini semakin tenat sedangkan negara jiran kita seperti Singapura, Thailand dan Indonesia masih meriah liga bolasepak dengan kebanjiran penyokong yang ramai dan mendapat liputan media yang meluas. Adakah ketiadaan pemain import? Adakah liga Malaysia ketandusan penaja yang besar seperti penaja iklan rokok semasa zaman era 80 an dulu?

Mengimbas kembali zaman liga Malaysia di bawah tajaan iklan rokok dulu, syarikat rokok terutama DUNHILL memang pandai mengambil peluang yang diberikan dengan setiap saat dan mukasurat media cetak dan media elektronik diiklankan liga Malaysia dengan gambar aksi-aksi lincah pemain yang mana antaranya aksi lipat gunting yang dilakukan Hashim Mustapha sentiasa menjadi keratan dan prebiu dalam setiap promosi mereka. Hairan bin ajaib apabila kini promosi iklan liga Malaysia hanya sekadar melepas batuk ditangga sahaja, malah usaha dilakukan kelab-kelab penyokong liga tempatan juga kurang mendapat sokongan badan-badan kerajaan mahupun swasta.

Memang tidak dapat dinafikan FAM selaku badan yang menguruskan bolasepak negara telah gagal memainkan peranan mereka dalam memastikan liga Malaysia dikagumi oleh semua media dan masyarakat Malaysia. FAM seolah-olah satu badan yang tidak berfungsi dengan baik sehinggakan media FAM sendiri seperti laman web tidak dikemaskini dengan baik dalam membuat laporan perlawanan yang berlangsung. Sekiranya perkara ini terus berlaku tidak hairan sekiranya media-media tempatan sering memandang sinis keikhlasan dan memperlekehkan FAM dalam membangunkan bolasepak Malaysia.

Pembangunan bolasepak tidak sepatutnya hanya menumpukan peningkatan para pemain sahaja, pembangunan bolasepak mesti menyeluruh dari bidang berkaitan sehingga bidang media, pengurusan pasukan dan kelab mengikuti corak pengurusan kelab berjaya didunia dan yang paling penting mencipta satu semangat sayang dan cintakan liga tempatan dikalangan masyarakat Malaysia. Ayuh bangkitlah pengurusan FAM dalam membangkitkan kejayaan liga Malaysia, bangkit dari terus bangga dengan kejayaan skuad bolasepak sukan SEA, itu hanyalah satu kejayaan daripada seribu kegagalan liga bolasepak tempatan dalam menarik minat para penyokong semua negeri.

Dikala pasukan lain masih terkial-kial menarik penyokong ke stadium, pasukan Kelantan pada tahun ini diakui telah berjaya menjadikan pengurusan pasukannya, liputan medianya yang dibantu media rasmi www.theredwarriors.com dan radio TRW FM serta percubaan menyiarkan secara langsung melalui "Live Streaming" antara kejayaan pengurusan pasukan yang terbaik di Malaysia dan mengikut jejak kelab bolasepak luar negara malahan media rasmi diakui antara yang terpantas dalam memberi laporan keputusan yang lengkap manakala radionya beroperasi dengan cemerlang dan mendapat sambutan hangat penyokong bolasepak Kelantan seluruh dunia serta penyokong negeri lain. Jumlah penyokong Kelantan sentiasa ramai dan semakin berdisplin turut diakui oleh pihak media Astro Arena baru-baru ini kerana tiada lagi insiden provokasi, balingan mercun dan keganasan sudah boleh dijadikan bahan sejarah oleh semua media pada tahun ini.

Kejayaan pasukan Kelantan juga turut dibantu kelab-kelab penyokong yang memainkan peranan yang baik dalam menarik kehadiran penyokong ke stadium. Sekalung tahniah kepada semua kelab penyokong Kelantan yang bertungkus lumus merealisasikan pihak pengurusan KAFA dalam menciptakan impian menjadi kenyataan sekarang. Pihak KAFA juga berharap kerjasama yang ditunjukkan berterusan dan kelab-kelab penyokong boleh duduk semeja dalam memikirkan kerjasama bersama diantara kelab-kelab dan ahli-ahli dalam mengwujudkan momentum sokongan yang setanding penyokong negara jiran seperti kelab dari Indonesia dan Thailand.

Bangkitlah wahai Pengurusan FAM dan Syarikat-syarikat media terkemuka negara dalam mencapai satu semangat patriotik yang membuahkan dan menciptakan satu impian Malaysia beraksi dalam Piala Dunia menjadi satu kenyataan. Jangan memandang sinis dan letakkan keyakinan ini dihati semua peminat bolasepak tanahair. SAMPAI BILA MASYARAKAT MALAYSIA HANYA PERLU BERBANGGA ZAMAN KEGEMILANGAN BOLASEPAK ERA MOHKTAR DAHARI, SANTOKH SINGH DAN SOH CHI AUN SAHAJA YANG SUDAH LAMA DISIMPAN DI ARKIB NEGARA?

Sokong bia bijok , dipandang bijok , betindok bijok , main bijok , bijok sokmo...... Gomo Kelate Gomo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular