KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 30 Jun 2010

Kelantan FA 2008-2010


Kelantan FA merupakan sebuah pasukan bola sepak amatur di Malaysia mewakili Negeri Kelantan dalam pertandingan peringkat tertinggi. Kelantan Fa adalah diantara persatuan yang tertua dalam arena bola sepak Malaysia setelah mula ditubuhkan sejak tahun 1946.

Diberi jolokan The Red Warriors, Kelantan mengorak langkah berani untuk menjadi salah sebuah pasukan yang digeruni dan ianya terbukti apabila Sang Kijang mula menunjukkan peningkatan mendadak dalam tiga tahun kebelakangan ini.

Kelantan kini diurus tadbir oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melalui presiden, Tan Sri Annuar Musa. Kelantan mula memacu laju dalam sebarang pertandingan peringkat domestik menyebabkan nama Negeri Cik Siti Wan Kembang semakin harum dan ditakuti oleh setiap lawan.


Pasukan Kelantan berpengkalan di Kota Bharu menggunakan Stadium Sultan Muhamad Ke-IV yang berkapasiti 30000 tempat duduk penyokong selaku gelanggang rasmi mereka dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

Cuma satu mencacatkan reputasi gah yang cuba dibina ketika ini apabila Kelantan masih gagal mengecap sebarang kejayaan dalam sebarang pertandingan utama kecuali beberapa Piala sampingan seperti Liga Perdana Dua dan Piala Emas Raja-Raja. Namun Kelantan dapat mengecap naib johan dalam tiga perlawanan akhir iaitu Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 1975 dan 2009 serta Piala Fa pada 2009.

Sejarah kegemilangan Kelantan bermula apabila tampuk pimpinan KAFA bertukar dari Haji Jazlan Yaacob kepada Tan Sri Annuar Musa pada tahun 2008. Permulaan perubahan yang dibawa Tan Sri Annuar Musa ialah menjenamakan kembali pasukan Kelantan dari pasukan bermasalah kepada pasukan berdaya saing.

Bermula dari sini, Presiden KAFA tersebut telah mengambil bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar untuk mengetuai skuad Kelantan mengharungi cabaran Liga Perdana. Walaupun berlaku sedikit masalah pada awalnya, Kelantan tampil hebat apabila menduduki tiga tempat teratas dalam saingan tersebut.

Malah, pada tahun ini juga Kelantan FA mengumumkan untuk menubuh satu akademi latihan bola sepak khusus bagi melatih remaja yang berbakat untuk dididik menjadi pemain yang berkaliber seterusnya mampu menaikkan nama negeri suatu hari nanti.

Tan Sri Annuar turut menjenamakan kembali pasukan apabila menukar logo pasukan disamping menamakan pasukan dengan nama The Red Warriors serta menstrukturkan kembali pengurusan pasukan bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.

Tahun 2009, nama Kelantan semakin harum apabila dinaikkan pangkat ke saingan Liga Super mengiringi Kuala Muda Naza dan KL Plus setelah pasukan PDRM menarik diri dalam saingan tersebut.

Peluang yang diberikan FAM telah digunakan sebaik mungkin Tan Sri Annuar apabila mengambil Peter James Butler selaku pengurus pasukan disamping menjadi ketua jurulatih. Kelantan juga mengontrakkan lima nama besar dalam arena bola sepak Malaysia iaitu Indra Putra, Khalid Jamlus, Norfarhan Mohamad, Azlan Zainal dan Daudsu Jamaludin untuk digandingkan dengan pemain terbaik tempatan.

Dengan pengurusan yang cekap serta pentadbiran yang gemilang, Kelantan bermula hebat dalam saingan Liga Super dan menjadi salah satu pasukan yang mencabar pasukan gemilang lain seperti Selangor, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan lain-lain.

Kelantan turut cemerlang dalam saingan piala apabila muncul naib johan dalam Piala Fa dan Piala Malaysia 2009.

Adunan taktikal Butler dengan bantuan lima pemain ini disamping kecermerlangan pemain muda yang sedang meningkat naik seperti Badri Radzi, Ramzul Zahini, Rizal Fahmi, Farisham Ismail, Zairul Fitree serta ramai lagi memberi lebih kesan dalam corak permainan Kelantan.

Pelbagai kejayaan dan kemenangan mampu diraih Kelantan pada tahun 2009 menyebabkan Kelantan mula digeruni oleh pasukan bintang lain.

Namun prestasi gemilang Kelantan yang bermula dari perubahan Tan Sri dicacatkan dengan beberapa kontroversi besar sehingga menenggelamkan seketika reputasi gah yang telah dibina selama dua tahun.

Bermula dengan peletakan jawatan Norizan Bakar sebelum sepak mula Piala Malaysia 2008 dan kontroversi dengan pemain import, Mohammadou Mustapha, Kelantan sekali lagi menerima tamparan besar apabila terpaksa bermain di luar stadium keramat setelah menjalani hukuman berat apabila berlaku rusuhan penonton di luar stadium akibat dari rasa tidak puas hati. Kelantan turut didenda rm90000 akibat dari rusuhan penonton tersebut yang mengemparkan seluruh negara.

Sang Kijang terus dirundung malang apabila Peter James Butler pula meletakkan jawatan sebelum sepak Piala Malaysia 2009 menyebabkan keyakinan penonton mula terhakis dengan perlbagai kontroversi yang terpalit.

Tan Sri Annuar yang menyedari perkara ini semakin meruncing bertindak pantas mengambil B. Sathianathan untuk mengetuai pasukan buat sementara waktu.

Tanpa disangka-sangka, Sathianthan yang langsung tidak diberi harapan oleh peminat mampu membawa Kelantan ke perlawanan akhir seterusnya meneruskan reputasi hebat yang ditinggalkan separuh jalan jurulatih terdahulu.

Namun Sang Kijang tunduk mudah kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan terakhir tetapi ia sudah memadai dikala skuad mengalami banyak masalah dalaman pada awal sehingga akhir kejohanan paling berprestij tersebut.

Sekembalinya ke Kota Bharu selepas Piala Malaysia, KAFA merancang pelbagai perkara untuk melihat impian Kelantan menjulang Piala pada tahun 2010 berjaya digapai.

Pencarian pemain bermula dengan pengambilan beberapa nama besar untuk diserapkan kedalam pasukan seperti Norshahrul Idlan, Syed Adney, Akmal Rizal, Shakir Shaari, S. Chanturu, Subramaniam, Azizi Mat Rose dan pemain yang menamatkan sisa perjuangan Kelantan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Hairudin Omar.

Mengekalkan Norfarhan dan Indra serta ketua jurulatih, B. Sathianathan, Kelantan melancarkan pasukan di Kota Bharu disaksikan ribuan peminat yang membanjiri dewan Kelantan Trade Centre untuk menyaksikan majlis gilang gemilang memperkenalkan pemain.

Selepas itu, skuad Kelantan bermula perlahan dalam Liga Super apabila mencatatkan seri dalam beberapa perlawanan awal sebelum bangkit dari hari ke hari untuk mencari penghormatan di tangga teratas.

Kelantan tersingkir di pusingan kedua Piala FA tetapi bijak mempertahankan kedudukan di tangga kedua dalam saingan Liga selain mencatatkan rekod tanpa tewas di arena lawan dalam 20 perlawanan selain hanya tewas sekali di arena sendiri kepada Kedah.

Tahun 2010, KAFA turut mengatur beberapa perkara untuk menaikkan nama Kelantan selain ingin melihat industri bola sepak negara lebih kompetetif setaraf dengan eropah.

Bermula dengan pengumuman Tahun 2010 Tahun Bola Sepak Kelantan, KAFA melangkah setapak lagi dalam industri bola sepak tanahair apabila menyediakan laman portal rasmi, http://theredwarriors.com. Portal yang dikendalikan untuk memberikan maklumat dan perhubungan pihak KAFA dengan masyarakat di luar sana.

KAFA juga berbangga dengan penubuhan The Red warriors Station iaitu cafe menjamu selera bagi pengunjung dan peminat pasukan bola sepak Kelantan.

KAFA turut memperkenalkan radio online rasminya kepada umum, TheRedWarriorsFM (Trw.FM). Radio ini berfungsi di internet dan menjadi penyampai terkini imformasi pasukan Kelantan kepada penyokong.

Selepas ini, KAFA turut akan melancarkan klinik fisioterapi sendiri bagi merawat masalah kecederaan para pemain. Penubuhan klinik ini dijangka akan memberi sumber pendapatan kepada KAFA selain mengurangkan kos yang perlu ditanggung persatuan keatas kecederaan para pemain.

Satu rekod turut dilakukan KAFA melalui inisiatif Tan Sri Annuar Musa apabila Malaysia Boof Of Record akan mengiktiraf Kelantan selaku persatuan bola sepak pertama di Malaysia mempunyai pelbagai kemudahan seperti cafe dan radio online sukan di negara ini.

Malahan Kelantan Fa juga mempunyai ribuan penyokong yang sentiasa setia bersama pasukan dalam setiap perlawanan. Tentera Merah menghadiri setiap perlawanan dan menjadikan pasukan sebagai satu platform kepada mereka untuk berkumpul dan bersorak atas satu nama, 1 Kelate. Satu rekod pernah dilakukan oleh Tentera Merah apabila mereka hadir ke stadium lawan dan menjadi tuan rumah setelah memenuhi tempat duduk yang disediakan.

Penubuhan Kelab Penyokong rasmi Bola Sepak Kelantan (KPBSK@KFAFC) di Kota Bharu dan keutuhan kelab penyokong siber Kelantan di internet, Kelate.net, segalanya berkaitan kemajuan persatuan bola sepak Kelantan semakin mendapat perhatian umum.

Pencapaian gemilang ini semuanya dilakukan atas usaha keras Tan Sri Presiden, KAFA dan pihak-pihak yang ingin menaikkan kembali nama Kelantan di persada. Tanpa usaha dan penat jerih, Kelantan tidak akan sampai pada tahap ini.

Impian yang dibina perlu diteruskan demi melihat kejayaan demi kejayaan terus berpihak kepada negeri digelar Serambi Mekah.

Semoga Kelantan Red Warriors terus maju setaraf dengan pasukan elit lain seterusnya merangkul kejuaraan yang masih lagi belum digapai.



Rujukan: Wikipedia Bahasa Melayu: Kelantan FA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular