KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 9 Mei 2014

Kegagalan ITC Prince Tagoe bukan angkara FAM - Datuk Hamidin Mohd Amin !



Kuala Lumpur: Bukan salah FAM! Itu nada tegas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang menafikan mereka menjadi punca kegagalan Kelantan mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) untuk penyerang import baru Prince Tagoe.
Menurut Hamidin, dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn Bhd (TRW) Kevin Ramalingam seperti disiarkan dalam akhbar tempatan semalam tidak benar sama sekali kerana badan induk itu sudah menguruskan proses mendapatkan ITC Tagoe daripada kelab lamanya Club Africain dengan mengikut prosedur ditetapkan. 
Saya menafikan kami punca Kelantan gagal mendapatkan ITC untuk Tagoe. Kami sudah hantar permohonan mendapatkan ITC, tapi ditolak kelab lamanya dan persatuan bola sepak Tunisia. 

Bukan salah FAM, kami sudah lakukan yang terbaik untuk membantu Kelantan mendapatkan ITC, tapi malangnya permohonan itu ditolak. Malah hari ini (semalam) Kevin ada datang bertemu dengan saya untuk meminta maaf kerana kenyataannya itu.

Saya harap tiada lagi pihak membuat kenyataan melulu terhadap FAM. Sebagai badan induk sudah pasti kami akan sedaya upaya membantu dan melindungi kepentingan pasukan negara ini,katanya.

Kegagalan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mendapatkan ITC untuk menggunakan khidmat bekas penyerang skuad Piala Dunia Ghana, Tagoe bagi baki kempen Liga Malaysia musim ini didedahkan dalam Arena Metro semalam menerusi maklumat diberikan Kevin. 

Beliau mendakwa, mereka boleh mendapat ITC sementara daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya FAM menangguhkan dulu kes itu dan tidak menerima penolakan permohonan Tunisia FA. 

Tanpa ITC, Kevin mengakui kemungkinan besar mereka terpaksa menamatkan kontrak Tagoe, 28, lebih awal selepas kemelut itu timbul berikutan tuntutan gaji tertunggak pemain dengan Club Africain yang berjumlah hampir RM1 juta. 

Hamidin berkata, mereka sudah menerima permohonan KAFA untuk mendaftarkan semula pemain pertahanan Obinna Nwaneri yang ditamatkan pendaftaran pada tempoh perpindahan pemain kedua April lalu bagi mengisi tempat Tagoe. 

Kelantan sudah membuat permohonan rasmi untuk mendaftarkan semula Obinna memandangkan pemain itu masih mempunyai ITC. Perkara ini akan diberikan pertimbangan sewajarnya dalam masa terdekat, katanya

Khamis, 8 Mei 2014

"SAYA RELA CEDERA DARI GAWANG PASUKAN DIBOLOSI"




 Nik Shahrul Azim diangkat sebagai wira Kelantan selepas dia menafikan bola percubaan pemain Felda United, Indra Putra Mahayuddin dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA. "Saya rela cedera dari gawang pasukan dibolosi," itu tegas pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim selepas berjaya mengeluarkan bola percubaan pemain Felda United, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-89 untuk mengekalkan keputusan 3-3.

             Situasi itu mengangkat Nik Shahrul sebagai wira pasukan kerana tindakan itu menyelamatkan pasukannya dari diaibkan pasukan dari Liga Perdana berkenaan. Nik Shahrul menegaskan, Kelantan tidak bermain dengan baik terutamanya di babak pertama bagaimanapun jaringan demi jaringan yang berjaya dihasilkan rakan sepasukan menaikkan kembali semangat mereka untuk berjuang bagi memastikan The Red Warriors tidak tersungkur di laman sendiri.

              Sementara itu, Indra tidak menyangka Nik Shahrul sempat memintas bola yang hampir menerjah gawang Kelantan dan penyerang berusia 33 tahun itu tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa kerana ia peluang terbaik pasukannya mencipta kemenangan pertama di Stadium Sultan Mohammed IV. Aksi kedua di antara Felda menentang Kelantan dijadual berlangsung pada 31 Mei ini di Stadium Shah Alam.

[ Sukan ] Kelantan kecewa hasrat guna khidmat Prince Tagoe berkecai !

Nampak gayanya, hajat Kelantan untuk menggunakan khidmat penyerang baharu dari Ghana, Prince Tagoe tidak kesampaian.
Persatuan Bola Sepak Kelatan (KAFA) terpaksa membatalkan perjanjian dengan pemain berusia 28 tahun itu kerana pemain terbabit gagal mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).
Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn. Bhd (TRW), Kevin Ramalingam mendedahkan, KAFA gagal mendapatkan ITC Tagoe yang didaftarkan pada jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) April lalu ekoran kesilapan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menguruskan kes perpindahan pemain itu dengan Persekutuan Bola Sepak Tunisia (Tunisia FA).
“Tunisia FA menolak permohonan ITC kami kerana kelab lama Tagoe (Club Africain) tidak membayar tiga bulan gaji kepadanya. Sepatutnya kontrak Tagoe sudah terbatal serta-merta dan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) sudah dimaklumkan mengenai kes ini.
“Apabila Tunisia FA menolak permohonan ITC ini menerusi TMS (Sistem Pengurusan Perpindahan), FIFA masih mempunyai hak untuk mengeluarkan ITC sementara.
“Namun masalah lain timbul apabila FAM menerima penolakan Tunisia itu lalu kes itu sudah tiada dalam TMS, sepatutnya FAM membiarkan kes itu ditangguhkan.
“FIFA memaklumkan kepada kami bahawa kes itu sudah digugurkan jadi mereka tidak boleh mengeluarkan ITC sementara.
“Oleh kerana FAM telah menerimaa penolakan daripada Tunisia FA, ia memberi kesan besar kepada kami,” katanya ketika ditemui pemberita kelmarin.
Kini, Kevin mengakui The Red Warriors terpaksa melupakan Tagoeselepas membatalkan kontrak pemain itu selepas gagal mendapatkan ITC.
Jelasnya, KAFA kini mengharapkan FAM membenarkan mereka untuk mendaftarkan semula Obinha Nwaneri yang disingkir pada April lalu, bagi mengisi tempat Tagoe.
Difahamkan, Tagoe yang sepatutnya menggantikan Mohamed Ghaddar pada pusingan kedua Liga M ini, menuntut bayaran gaji tertunggak yang dianggar hampir RM1 juta daripada Club Africain.
“Ada klausa dalam kontraknya di mana kami boleh membatalkan kontrak jika tiada ITC tapi bukan itu yang kami mahu kerana Kelantan nak dia beraksi dengan pasukan ini,” katanya. Credit Kosmo 

Rabu, 7 Mei 2014

Penyokong Keluar Stadium Ketika TRW Ketinggalan 0-3

Sekurang-kurangnya 15-20 peratus peyokong Kelantan meninggalkan tempat duduk dan keluar dari stadium semalam.
Sebahagian penyokong Kelantan dilihat meninggalkan stadium ketika pasukannya itu ketinggalan 0-3 kepada Felda United dalam aksi suku akhir pertama Piala FA malam tadi.
Menurut Wartawan Lokasi Arena Bola, Nurjannah Ali Fiji, sekurang-kurangnya 15-20 peratus penonton The Red Warriors (TRW) bangun meninggalkan tempat duduk dan keluar dari stadium.
“Saya melihat mereka beramai-ramai keluar ketika Kelantan dalam keadaan kelam kabut mempertahankan kubu mereka selepas ketinggalan 0-3.
“Ketika keadaan cemas itu, pengendali baharu Kelantan, George Boateng yang pada awalnya berada di kerusi VIP juga dilihat turun ke bangku simpanan untuk memberi arahan kepada barisan pemainnya, sebelum pasukan itu bangkit menyamakan kedudukan 3-3.
“Ya, cara jurulatih itu sedikit berbeza. Mungkin beliau duduk di kerusi VIP kerana ingin memerhatikan formasi yang ditetapkan atau corak permainan awal pemain-pemainnya” kata Jannah.
Jannah antara penonton yang menyaksikan perlawanan itu dengan dekat menganggap corak pertahanan TRW di awal perlawanan agak kucar kacir.
“Saya melihat bahagian pertahanan Kelantan masih tidak serasi lebih-lebih lagi dengan kemasukan pemain baharu, Hussein Alaa Hussein yang baru sahaja menggantikan Obinna Nwaneri,” tambahnya.
NurJannah turut melaporkan sebilangan penonton kekal berada di astaka stadium biarpun perlawanan sudah tamat. Mereka dipercayai menunjukkan rasa tidak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV itu berkesudahan dengan keputusan 3-3 dan aksi timbal balik akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 31 Mei ini.

Red Warriors Pilih Laluan Berduri

Ahmad Fakri Saarani cuba melepasi pertahanan Felda United, Yaroslav Krushelnitskiy pada perlawanan Piala FA di Stadium Muhamad IV, Kota Bharu malam tadi.
KOTA BHARU – Juara bertahan, Kelantan berdepan laluan sukar di Selayang pada 31 Mei ini selepas di­ikat Felda United 3-3 dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Muhammad IV, semalam.
Beraksi di hadapan kira-kira 20,000 penyokong setia, tuan rumah bermula perlahan berbanding pelawat yang dilihat lebih banyak menguasai permainan dan mengatur serangan demi serangan.
Kelantan yang mendapat sentuhan jurulatih baharu, George Boateng bolos seawal minit ke-17 apabila Edward Junior yang tidak dikawal sesiapa di kawasan kotak penalti menyambut hantaran Zah Rahan Krangar sebelum menolak mudah bola masuk ke dalam gawang.
Kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah dihukum sekali lagi enam minit kemudian apabila tandukan Indra Putra Mahyuddin berjaya mengelirukan Khairul Fahmi Che Mat, sekali gus menghadiahkan gol kedua Felda United.
Indra Putra sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Kelantan selepas tendangan percuma yang dilakukannya dari sebelah kanan padang dimanfatkan sebaik mungkin Mohd. Khairul Ismail untuk menjaringkan gol ketiga The Settlers pada minit ke-36.
Tersentak dengan tiga jaringan awal pelawat, Kelantan memperkemaskan permainan dengan melakukan asakan bertali arus bagi memecah keampuhan benteng Felda United.
Gol yang ditunggu-tunggu tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-41 menerusi tonggak import, Francis Forkey Doe yang bijak memanfaatkan peluang tidak dikawal sesiapa untuk melakukan rembatan kencang tepat ke pintu gawang.
Selang dua minit, The Red Warriors meledak gol kedua selepas bola yang berpunca daripada tendangan percuma oleh Zairul Fitree ditanduk masuk Fakri Saarani, sekali gus menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Farizal.
Sebaik sahaja babak kedua bermula, tuan rumah terus garang mengkucar-kacirkan pertahanan Felda United dan akhirnya berjaya mencari gol penyamaan pada minit ke-51 menerusi rembatan Wan Zaharulnizam Zakaria, hasil hantaran lambung daripada Forkey Doe yang mengelirukan pihak lawan.
Pada minit ke-89, Indra Putra yang telah pun berjaya menewaskan Khairul Fahmi hampir meledakkan jaringan keempat untuk The Settlers, namun Nik Shahrul Azim meluru pantas menyelamatkan gawang yang ternganga luas dengan menyepak bola keluar.

Selasa, 6 Mei 2014

Ujian Sulung





Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan George Boateng sedia menghadapi ujian pertama yang bakal menentukan nasib The Red Warriors (TRW) ketika melayan kunjungan FELDA United dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Tidak menafikan tugas dipikulnya berat, Boateng, 38, yakin kehadirannya menggantikan Steve Darby dianggap tepat pada masanya.
Jurulatih dari Belanda itu turut berkata, tempoh 10 hari membolehkan beliau melihat keupayaan anak didiknya dan percaya mereka tidak mempunyai masalah menang aksi pertama di gelanggang sendiri.
“Persediaan kami bagus dan pemain bekerja keras.
Ini mungkin tugas besar buat saya memastikan Kelantan mempertahankan kejuaraan, tapi saya sudah bersedia kerana kami tidak memandang mudah FELDA United,” katanya di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Mengulas lanjut, Boateng berkata, kelebihan beraksi di tempat sendiri dalam aksi pertama itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, pemain perlu bijak menggunakan peluang itu bagi mencari bekalan untuk aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 31 Mei ini.
Boateng bagaimanapun berkata, penyerang import, Prince Tagoe mungkin tidak diturunkan kerana belum mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).
“Bagaimanapun, kita berusaha mendapatkan ITC untuk Tagoe sebelum sepak mula.
Kita sangat memerlukan penyerang dan Tagoe sangat bersemangat ketika latihan,” katanya.

Boateng Mahu Mula Langkah Kanan

Goerge Boeteng

KOTA BHARU – Pengendali baharu The Red War­riors, Goerge Boateng yang mengambil alih tugas daripada Steve Darby optimis pasukan yang dikendali mampu melakar keputusan positif pada separuh akhir pertama Piala FA bertemu Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

Katanya, sejak mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Kelantan, 10 hari lalu beliau sudah me­nemui ramuan terbaik yang akan menjadi pertaruhannya nanti.

“Segala persediaan untuk bertemu dengan Felda United berjalan dengan lancar, malah semua pemain menunjukkan komitmen yang tinggi dan saya yakin mereka pasti mahu menang pada perlawanan ini.

“Kelebihan beraksi di tempat sendiri juga perlu digunakan sebaik mungkin untuk mencari bekalan selesa menjelang pertemuan kedua nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.

Pertemuan dengan Felda United malam ini merupakan ujian sulung buat Boeteng sebagai jurulatih selepas menamatkan kariernya sebagai pemain pada musim lalu dan memperoleh sijil kejurulatihan bersama bintang Manchester Uni­ted, Ryan Giggs.

Sentuhan Boateng seme­mangnya ditagih penyokong The Red Warriors dalam usaha memulihkan semula reputasi hambar yang dipamer Kelantan dalam saingan Liga Malaysia setakat ini.

Sementara itu kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menegaskan dua tonggak Felda, Indra Putra Mahyudin dan penjaring terbanyak Liga Perdana, Edward Junior Wilson perlu diberi kawalan ketat.

Mohd. Badhri berkata, kedua-dua pemain itu amat berbahaya jika diberi terlalu banyak ruang.

“Indra cukup bahaya kerana bijak memanfaatkan peluang, selain mempunyai kemahiran membawa masuk bola dari sebelah kiri.

“Wilson pula mempunyai naluri pemusnah setiap kali mendapat bola, terutama dalam kotak penalti,” katanya.

Dia berharap rakan-rakan sepa­sukan dapat memberi komitmen tinggi sepanjang 90 minit.

Kata Mohd. Badhri, Kelantan perlu mmencari bekalan selesa pada pertemuan itu bagi menggelak berdepan laluan sukar pada aksi kedua nanti.

“Saya harap Kelantan tidak bolos kerana ia akan menentukan misi The Red Warriors untuk mempertahankan Piala FA,” ujarnya.

'Kelantan mampu sekat Felda'


BOETENG (dua dari kanan) memberi penerangan kepada pemain Kelantan ketika sesi latihan skuad tersebut di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu semalam.


PENGENDALI baharu Kelantan, Goerge Boeteng yang mengambil alih tugas daripada Steve Darby, optimis pasukannya mampu melakar keputusan positif pada aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu malam ini.
Boeteng berkata, sejak mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih The Red Warriors sepuluh hari lalu dia sudah menemui ramuan terbaik yang akan dipertaruhkan pada perlawanan itu nanti.
"Persediaan untuk menghadapi Felda United berjalan dengan lancar, semua pemain telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan saya yakin mereka pasti mahu memenangi perlawanan ini.
"Kelebihan beraksi di tempat sendiri perlu digunakan sebaik mungkin untuk mencari bekalan selesa menjelang pertemuan kedua nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu semalam.
Pertemuan dengan Felda United malam ini merupakan ujian sulung buat Boeteng sebagai jurulatih selepas menamatkan keriernya sebagai pemain pada musim lalu dan dia memperoleh sijil kejurulatihan bersama-sama dengan bintang Manchester United, Ryan Giggs.
Sentuhan Boeteng sememangnya ditagih oleh penyokong The Red Warriors dalam usaha memulihkan semula reputasi hambar yang dipamerkan dalam saingan Liga Super setakat ini.
Dalam pada itu, Beoteng turut mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mengambil mudah keupayaan pasukan lawan walaupun memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Katanya, Felda United sebuah pasukan yang tidak kurang hebatnya dan memiliki pemain berpengalaman beraksi dalam saingan liga.
"Antara pemain Felda United yang cukup bahaya ialah Indra Putra Mahyudin. Dia mempunyai pengalaman luas, begitu juga dengan Edward Junior Wilson.
"Begitupun kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan mereka dan keputusan positif perlu di raih dalam perlawanan tersebut dalam usaha meraih bekalan selesa," ujarnya.
Boeteng berkata dia berharap sijil perpindahan antarabangsa (ITC) milik pemain importnya Prince Tagoe dapat diselesaikan sebelum perlawanan tersebut.
Katanya, khidmat Tagoe amat diperlukan dalam usaha memperkasakan lagi jentera serangan pasukan.


Isnin, 5 Mei 2014

Piya: Jangan biarkan Indra bebas


INDRA (kanan) mampu memusnahkan impian Kelantan andai dibiarkan bergerak bebas.


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menegaskan dua tonggak Felda United Indra Putra Mahyudin dan penjaring terbanyak Liga Premier, Edward Junior Wilson perlu diberikan kawalan ketat pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.
Mohd. Badhri atau Piya berkata, kedua-dua pemain ini disifatkan cukup berbahaya kepada pasukan Kelantan sekiranya diberikan ruang yang secukupnya pada perlawanan tersebut.
"Seperti yang kita ketahui, Indra cukup bahaya kerana dia bijak memanfaatkan peluang yang dimiliki selain memiliki kemahiran membawa masuk bola dari sebelah kiri.
"Begitu juga dengan Wilson, seorang penyerang yang mempunyai naluri pemusnah setiap kali memegang bola terutama di dalam kotak penalti,"
katanya.
Tambahnya, dia berharap rakan-rakan sepasukan yang diturun pada perlawanan tersebut dapat memberikan komitmen tinggi.
Piya memberitahu, Kelantan perlu menang dan mencari bekalan selesa pada pertemuan itu bagi mengelak mereka berdepan laluan sukar pada aksi kedua nanti.
Katanya, dia seboleh-bolehnya berharap Kelantan tidak bolos dalam perlawanan itu nanti yang akan menentukan misi hidup mati The Red Warriors mempertahankan Piala FA.
Ujarnya, kelebihan beraksi di tempat sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan meledakkan seberapa banyak jaringan untuk dibawa ke ibu kota pada pertemuan kedua nanti.
Piya berkata, setakat ini dia tidak mempunyai masalah dengan corak latihan yang diterapkan oleh George Boeteng sejak mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih daripada Steve Darby.
"Setakat ini saya selesa dengan corak latihan beliau walaupun sedikit penat namun itu bukan alasan.
"Saya tidak tahu lagi taktikal yang beliau akan gunakan pada perlawanan Selasa ini, mungkin pada sesi latihan terakhir kita akan mengetahuinya," ujarnya.


Jumaat, 2 Mei 2014

Boeteng mahu pulih reputasi Kelantan




MISI memulihkan reputasi skuad Kelantan menjadi agenda utama Goerge Boeteng (gambar) sebaik memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih baharu skuad The Red Warriors itu pada Isnin lalu, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Menurutnya, keutamaan adalah untuk membina semula kekuatan pasukan yang dilihat agak terumbang-ambing sepanjang kempen Liga Super musim ini.
"Proses tersebut amat penting dalam usaha mengembalikan reputasi Kelantan bagi menghadapi baki saingan liga musim ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan pasukan di Stadium Sultan Muhammad IV, Lota Bharu semalam.
Menurutnya, pembinaan semula itu meliputi aspek kawalan bola bagi memastikan pasukannya mampu mengawal permainan sepanjang perlawanan berlangsung.
"Saya mahu pemain menguasai perlawanan, ini kerana kita mempunyai ramai pemain yang bagus dan berkualiti sama ada tempatan mahupun import," katanya
Tambahnya, dia menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa Kelantan mampu bangkit dalam perlawanan selepas ini walaupun mereka beraksi di bawah keupayaan sebenar sebelum ini.
Jelasnya, dengan ramuan pemain yang ada, beliau optimis Kelantan mampu kembali ke landasan sebenar dalam baki saingan liga selepas ini.
Boeteng dilantik sebagai pengendali baharu The Red Warriors selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil tindakan drastik dengan menamatkan kontrak ketua jurulatih sebelum ini, Steve Darby gara-gara prestasi hambar.
Bekas pemain kebangsaan Belanda itu turut memuji komitmen yang dipamerkan oleh pemain Kelantan yang begitu bersemangat ketika menjalani latihan di bawah kendaliannya.
Katanya, semua pemain menunjukkan semangat juang tinggi dan yakin mereka akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan selepas ini.
Boeteng bakal menempuh ujian pertamanya apabila Kelantan bakal menentang Felda United pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu pada 6 Mei nanti.


Khamis, 1 Mei 2014

KAFA Yakin Kemampuan George Boateng

George Boateng


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) yakin pengendali baharu skuad ‘The Red Warriors’ (TRW) George Boateng mampu menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Steve Darby yang dipecat sebelum ini.
Naib Presidennya Datuk Rosmadi Ismail berkata pihaknya yakin bekas pemain antarabangsa Belanda itu mampu membawa perubahan kepada skuad TRW meskipun tidak mempunyai pengalaman mengendalikan mana-mana pasukan.
“Walaupun dia tidak pernah menjadi jurulatih tetapi kami dah nilai rekod-rekod beliau yang lepas dan kita yakin dia dapat melaksanakan tugas yang diberi dengan jayanya,” katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan pemain terbaru TRW di ‘The Red Warriors Cafe’ di Kota Bharu, hari ini.
Rosmadi berkata, dua pemain baharu TRW iaitu pemain pertahanan dari Iraq, Hussein Alaa Salman dan penyerang Ghana, Prince Tagoe dijangka dapat di turunkan pada perlawanan akan datang.
“Hussein telah mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) manakala untuk Tagoe kita dah dapat kelulusan cuma tunggu sijil dari pihak atasan.
“Kontrak kedua-dua pemain ini adalah selama enam bulan dan mereka akan menjalani latihan bersama skuad esok,” katanya.
Kedua-dua pemain itu menggantikan Mohammad Ghaddar (Lubnan) dan Obinna Nwaneri (Nigeria) yang ditamatkan kontrak, namun khidmat dua lagi penyerang import, Mohamed Shawky Yazid dari Mesir dan Francis Forkey Doe (Liberia) dikekalkan.
Pasukan Kelantan mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga  Super ketika ini selepas berada pada tangga ketujuh dengan kutipan 20 mata dalam 14 perlawanan.
Mereka turut tersingkir daripada saingan ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas menduduki tangga tercorot  daripada empat pasukan Kumpulan G, dengan kutipan tiga mata daripada enam perlawanan.
Sementara itu, Boateng menegaskan bahawa pasukan Kelantan masih berada di landasan untuk memenangi salah satu kejuaraan musim ini.
“Saya masih percaya pasukan mampu mencapai sesuatu khususnya dengan adanya pemain terbaru. Selain itu, saya banyak mengetahui tentang pasukan ini serta majoriti pemain, sebab itu saya menerima tanggungjawab ini,” katanya. – Bernama

Red Warriors Kena Potong Mata








rp_Logo-Persatuan-Bolasepak-Kelantan.png




PETALING JAYA – Jawatan­kuasa Pertandingan Tem­patan (JKPT) Persatuan Bo­la Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan memberikan kemenangan 3-0 ke­pada Terengganu ke atas Kelantan dan membatalkan keputusan seri 1-1 pada pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang berlangsung 29 Mac lalu.
Timbalan Pengerusi JKPT, Datuk Osman Salleh berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati Kelantan melakukan kesalahan dengan menurunkan Mohd. Fitrie Omar yang ketika itu sedang digantung permainan.
Berdasarkan keputusan yang dibuat itu katanya, Kelantan kehila­ngan satu mata manakala Terengganu meraih dua lagi mata tambahan menerusi perlawanan itu dan berkuat kuasa serta merta.
“Keputusan itu dibuat selepas kami menilai fakta yang ada dan kami mendapati terdapat satu kesalahan berlaku iaitu dari segi status pemain yang diturunkan. Dalam perlawanan itu Terengganu diberikan kemena­ngan 3-0 dan Kelantan turut diberikan amaran.
“Saya ingin tegaskan di sini, setiap pasukan perlu melihat dengan teliti status seseorang pemain sebelum diturunkan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM di sini semalam.
Sementara itu Pengerusi JKPT, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, perlawanan separuh akhir pertama Piala FA akan berlangsung pada 5 Mei ini melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos manakala 6 Mei ini akan menyaksikan pertemuan di antara Kelantan dan Felda United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Katanya, separuh akhir kedua melibatkan Felda United menentang Kelantan akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 30 Mei manakala pertemuan di antara Pahang dan JDT akan berlangsung di Stadium Darul Makmur pada keesokan harinya.
“Final Piala FA 2014 akan berlangsung pada 7 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya menolak permohonan Felda United untuk meminda tarikh perlawanan menentang Negeri Sembilan dan menetapkan perlawanan antara kedua-dua pasukan itu akan tetap diteruskan pada 9 Mei ini mengikut jadual yang ditetapkan.
Afandi juga memberitahu pihaknya bersetuju membenarkan mana-mana perlawanan suku akhir melibatkan saingan Piala Presiden untuk beraksi pada sebelah malam berbanding waktu petang seperti sebelum ini sekiranya terdapat permohonan daripada pasukan tuan rumah.
Bagaimanapun katanya, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan teliti terhadap lokasi permainan bagi memastikan ia mengikut piawaian yang ditetapkan FAM sebelum dibenarkan beraksi.
“Sekiranya ada pasukan yang berminat, mereka boleh kemukakan permohonan untuk diberikan pertimbangan seperti mana yang dilakukan pasukan Kedah yang meminta untuk mengubah jadual perlawanan mereka dari 4.45 petang kepada 8.45 malam di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok,” katanya.

Isnin, 28 April 2014

TIADA JAMINAN KEJAYAAN"




 Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menegaskan tiada jaminan kejayaan untuk skuad The Red Warriors selepas mereka melakukan sedikit rombakan dengan menukar jurulatih, penyerang dan pertahanan.

         Beliau berkata pihak pengurusan hanya berikhtiar, namun faktor semangat dan komitmen adalah kunci utama kejayaan sesebuah pasukan. "Menukar jurulatih, menukar penyerang, menukar pertahanan semua sudah di buat. Tapi ia bukan jaminan kita akan berjaya.

          Tapi ianya satu ikhtiar, namun faktor utama adalah semangat dan komitmen pasukan. "Saya akan bertemu pegawai dan pemain sekali lagi Rabu ini," katanya dalam facebook miliknya hari ini. Khamis lalu, KAFA mengumumkan perlantikan bekas pemain antarabangsa Belanda, George Boateng sebagai pengendali baharu TRW bagi menggantikan Steve Darby yang dipecat sebelum ini.

              Selain itu, Kelantan turut menandatangani pertahanan dari Iraq, Hussein Alaa Salman dan penyerang Ghana, Prince Tagoe bagi menggantikan tempat Mohammad Ghaddar (Lubnan) dan Obinna Nwaneri (Nigeria) yang ditamatkan kontrak. Pasukan Kelantan mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Super ketika ini selepas berada pada tangga ketujuh dengan kutipan 20 mata selepas beraksi dalam 14 perlawanan. Mereka turut tersingkir daripada saingan ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas menduduki tangga tercorot daripada empat pasukan Kumpulan G, dengan kutipan tiga mata daripada enam perlawanan.

Khamis, 24 April 2014

George Boeteng pengendali baru Kelantan

    George Boeteng pengendali baru Kelantan
Penantian penyokong Kelantan untuk mendengar pengumuman rasmi senarai pemain dan jurulatih Kelantan tidak sia-sia apabila Tan Sri Annuar Musa mengumumkannya pada 23 april 2014 pukul 7.10 malam waktu Belanda  (pukul 1.15 pagi waktu Malaysia).
 
Diharap pengumuman ini akan mengubah segala kelemahan dan kekurangan Kelantan pada masa ini serta dapat mengembalikan sokongan seluruh penyokong The Red Warriors.
 
Head Coach:GEORGE BOETENG(BELANDA)..DUA IMPORT BARU..PEMAIN PERTAHANAN IRAQ HUSSEIN ALAA SALMAN(MENGGANTIKAN KUOTA ASIA/MOHAMED GHADDAR)DAN PENYERANG PIALA DUNIA GHANA PRINCE TAGOE(menggantikan OBINA NWANEIRI)..SHAWKY DAN DOE KEKAL...SEMUA PEN JURULATIH KEKAL DAN DI TAMBAH DGN SIDEK MEMBANTU BOETENG...NAFUZI ZAIN MENGETUAI JURULATIH PIALA PRESIDEN..

Berikut senarai pemain dan jurulatih baru TRW:
Ketua Jurulatih: George Boeteng
Penolong Jurulatih: Hashim Mustapha / Zahasmi / Sidek
Pemain import:
  • Posisi pertahanan: Hussein Alaa Salma menggantikan posisi Obina Nwaneiri  (Ganti kouta asia Muhd Ghaddar)
  • Posisi penyerang : Prince Tagoe menggantikan posisi Muhd Ghaddar (Ganti kouta Obinna Nwaneiri)
  • Shawky dan Forkey Doe dikekalkan
  • Tiada pemecatan pemain tempatan seperti yang diwar-warkan di internet
Nafuzi Zain dilantik mengetuai jurulatih Piala Presiden.

Terus yakin dan bersemangat memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan anda ini. GOMO KELATE GOMO.................

INFO TERBARU DARI KAFA


Rabu, 23 April 2014

TRW didera lagi

Kelantan melengkapkan kekalahan kelima dalam kempen Piala AFC 2014 selepas sekali lagi dibelasah, kali ini kepada South China 4-0.
Sedar sudah tersingkir daripada kempen musim ini, Kelantan nyata dilihat kurang bermaya malah hampir tiada gerakan berbahaya dapat dilakukan terhadap kubu lawan, terutamanya pada babak kedua perlawanan.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Mongkok, Hong Kong itu, Kelantan hanya mampu melihat satu demi satu gawangnya di bolosi bermula pada minit 42 menerusi Lee Hong Lim.

Jangkaan Kelantan akan bangkit pada separuh masa kedua jelas meleset, apabila tiga gol lagi berjaya di jaringkan South China. Biarpun South China juga sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Piala AFC musim ini, namun mereka nyata tidak mahu pasukan pelawat mencemar maruahnya di laman sendiri.

South China lebih bertenaga dengan melakukan jaringan di babak kedua menerusi Andrew Barisic (m75,m90+3) dan Lo Kong Wai (m82).

Kelantan yang hanya mengutip 3 mata terpaksa berada di kedudukan terbawah kumpulan G, sementara South China berada di tangga ketiga dengan mengutip 7 mata. 

Saya tak hambur kata-kata kesat'



FITRI


PENYERANG import Sarawak, Muamer Salibasic bersedia bersemuka dengan tonggak Kelantan, Mohd. Fitri Omar.
Ia gara-gara dakwaan Fitri bahawa Salibasic mengeluarkan kata-kata kesat ketika aksi Liga Super antara Kelantan dan Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Jumaat lalu.
Fitri mendakwa penyerang kelahiran Bosnia itu bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya sebanyak dua kali iaitu ketika aksi sedang berlangsung dan sejurus tamat perlawanan.
Bagaimanapun, Salibasic menegaskan, dia tidak pernah mengaib atau menghina mana-mana pemain sepanjang perlawanan itu yang disifatkannya agak tegang.
Begitupun, Salibasic berkata, dia bersedia menjernihkan semula keadaan itu jika berkesempatan menemui Fitri.
"Setahu saya... saya tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat seperti yang didakwanya (Fitri). Mungkin ia cuma salah faham antara kami berdua.
"Saya tidak buat salah dan tidak mungkin saya akan katakan apa yang didakwa. Tidak ada (perkataan) yang tidak elok keluar daripada mulut saya," katanya ketika ditemui pemberita di Kuching semalam.
Terdahulu, Salibasic diminta mengulas kenyataan Fitri yang mahu dia membuat permohonan maaf selepas didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibu bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Abdullah Julaihi berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Salibasic berhubung perkara tersebut.
"Ia merupakan prosedur biasa sekiranya timbul sebarang tuduhan atau perselisihan faham dalam kalangan pemain skuad Bujang Senang.
"Apa yang saya boleh katakan Salibasic merupakan pemain yang profesional dan berdisiplin sepanjang dua musim menyarung jersi Sarawak
"FAS dan peminat bola sepak Sarawak mengenali dia sebagai pemain yang kuat, malah kehadiran Salibasic banyak membantu pasukan sehingga menjuarai Liga Premier musim lalu," katanya.

Selasa, 22 April 2014

Ghaddar, Nwaneri dalam zon penyingkiran




GHADDAR (depan) dikatakan antara pemain import Kelantan yang mendapat perhatian 
daripada pihak KAFA ketika ini.


NASIB dua tonggak import - Mohamad Ghaddar dan Obinna Nwaneri ibarat telur di hujung tanduk apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikhabarkan mahu menggugurkan mereka sebelum pintu pendaftaran pemain ditutup esok.
Khabar angin tersebut bertiup kencang dan menjadi bualan hangat di laman sosial Facebook milik penyokong setia The Red Warriors.
Menurut sumber dalaman KAFA, pengguguran kedua-dua pemain itu dibuat berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan selain masalah disiplin serta kecederaan.
"Kita memandang serius perkara ini dan langkah segera perlu diambil dalam usaha mengembalikan semula sengat pada pasukan Kelantan," katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, walaupun sumbangan yang diberikan oleh kedua-dua pemain itu cukup besar kepada The Red Warriors sebelum ini, namun pihaknya tidak boleh berkompromi apabila melibatkan soal disiplin.
Ghaddar dan Nwaneri antara tunjang utama membantu Kelantan menjulang kejuaraan trebel musim 2013 yang ketika itu di bawah kendalian Bojan Hodak.
Sumber itu memberitahu, pihaknya kini sedang mencari pengganti sesuai bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Nwaneri.
Menurutnya, KAFA sedang menjalankan perundingan dengan pemain kelahiran Iraq yang kini sedang beraksi dengan sebuah pasukan dalam saingan Liga Thailand.
Selain Ghaddar dan Nwaneri, Kelantan turut diperkuatkan dua lagi tenaga import - Mohammad Shawky Yazid dari Mesir dan Francis Forkey Deo (Liberia) musim ini.
"Kemungkinan besar Shawky akan terus kekal bersama Kelantan termasuklah Forkey Doe yang sebelum ini dikhabarkan akan digugurkan.
"Pemain baharu, Prince Tagoe yang dibawa masuk bakal menggantikan Ghaddar. Saya yakin dan percaya kehadiran pemain itu mampu mengisi tempat Ghaddar.
Kosmo! semalam melaporkan KAFA akan melakukan perubahan dalam usaha memperkasakan semula pasukan termasuk pertukaran pemain import.

Isnin, 21 April 2014

Kelantan buat perubahan



PEMAIN import antara yang bakal disingkirkan oleh Kelantan dalam usaha mereka memulihkan imej yang sudah tercalar.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan membuat perubahan drastik dalam usaha memulihkan reputasi The Red Warriors yang tercalar ekoran prestasi terumbang ambing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) kebelakangan ini.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa menerusi entri laman sosial facebook miliknya semalam berkata, pembaharuan tersebut akan dapat dilihat dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, pembaharuan tersebut meliputi barisan pemain import dan corak permainan bagi memperkemaskan lagi pasukan untuk menghadapi baki saingan liga.
"The Red Warriors bakal berubah wajah, yang sering 'cedera' dan buat perangai akan digugurkan dari pasukan. Disiplin dan ketegasan perlu dikembalikan.
"Beberapa pemain import tak habis-habis dengan masalah, rata-rata pemain tempatan lebih berdisiplin dan komited. Perlu beberapa tindakan drastik, rupanya membina pasukan bukan tugas yang mudah.
"Tiada siapa pun yang lebih besar daripada pasukan. Kecewa sudah tentu pasti, mengaku kalah mungkin tidak kerana kami adalah The Red Warriors," katanya.
Annuar memberitahu, dia cukup risau melihat prestasi pemain yang berharga mahal tetapi prestasinya menurun termasuk barisan pertahanan yang semakin longgar.
"Insya-Allah rehat selama dua minggu ini bakal menyaksikan pembaharuan dengan sksuad The Red Warriors. Semua pemain cergas untuk aksi separuh akhir pertama Piala FA.
"Kita mempunyai set pemain tempatan yang bersemangat juang tinggi dan corak serangan akan diperkemaskan," ujarnya.
Selepas mengharungi 14 perlawanan Liga Super, Kelantan kini menghuni tangga ketujuh dengan mengumpul 20 mata.

Catatan Popular