Zahasmi Ismail Digelar ‘Tauke’
DIA digelar ‘tauke’. Bukan kerana gaya permainan mirip kepada bekas legenda bola sepak Negara, Datuk Soh Chin Aun tetapi kegarangannya ketika beraksi di atas padang membuatkan rakan dan lawan sentiasa menghormatinya.
Dek kerana kekentalan beliau di benteng pertahanan itu juga membuatkan penyokong setia menggelarkannya sebagai ‘kereta kebal’ Kelantan. Itulah keistimewaan yang dimiliki bekas pemain bola sepak Kelantan sekitar tahun 1990’an dulu, Zahasmi Ismail.
Mengakhiri kerjaya selaku pemain bola sepak pada tahun 2004 dengan kali terakhir mewakili Kelantan dalam kancah Liga Perdana, Zahasmi yang berusia 45 tahun kini bergiat aktif dalam bidang kejurulatihan.
Andai tiada halangan nanti, penolong jurulatih Liga Super Kelantan musim ini yang pernah membawa pasukan Melayu Kelantan muncul juara Piala Emas Raja-Raja pada 2010, dijangka menerokai ilmu bola sepak dengan menduduki Lesen Kejurulatihan Kelas A daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak lama lagi.
RAJUK
Konflik yang tercetus dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) diterajui Datuk Wan Hashim Wan Daud pada tahun 1996 membuatkan beliau merajuk seketika meninggalkan negeri kelahiran tercinta tahun berikutnya.
Terengganu menjadi pasukan pilihannya. Bukan beliau seorang, tetapi disertai lima lagi rakan sepasukan terdiri daripada Azman Ismail, Zainuddin Ariffin, Azli Mahmood, Allahyarham Rosli Ismail dan Tuan Rosli Tuan Shaari.
Terengganu yang dipimpin oleh Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud menawarkan gaji cukup lumayan sehingga beliau tidak mampu menolaknya. Begitu pun Zahasmi hanya semusim beraksi bersama Sang Penyu di bawah kendalian Abdullah Mohamad sebelum mengambil keputusan kembali menyarung jersi Kelantan pada tahun 1997.
BERDARAH
Ada dua insiden tidak boleh dilupakan oleh Zahasmi yang mengaku ‘berdarah panas‘ sepanjang pembabitannya selaku pemain bola sepak ini. Menganggap ia sebahagian daripada kenakalan ketika melalui zaman usia muda, Zahasmi mahu pemain bola sepak pada hari ini menjadikannya satu pengajaran.
Beliau bersama penjaga gol Kelantan, Mohd Halim Napi pernah digantung sehingga akhir musim selepas didapati bersalah menyerang pemain tengah Selangor, Zsolt Bucs, ketika pertemuan kedua-dua pasukan dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Merdeka pada 18 Jun 1994.
Malah aksi ala ‘kung-fu’ ketika pergaduhan pemain Kelantan dan Terengganu pada pertemuan di Kuala Terengganu pada tahun 1997 juga harus diingati beliau apabila turut digantung perlawanan setelah didapati bersalah oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Tan Sri Zaman Khan ketika itu.
KEKAL
Sebagai individu yang pernah melalui asam garam dalam dunia bola sepak, Zahasmi menasihati pemain hari ini mengekalkan tahap disiplin terbaik untuk terus kekal dalam kerjaya tersebut.
“Biar orang nilai bakat kita, bukan diri kita sendiri. Jangan cepat berasa puas, sebaliknya terus belajar menimba ilmu pengetahuan dalam bola sepak. Suatu masa kita diperlukan, suatu masa nanti kita diketepikan, itulah yang perlu kita lalu sebagai seorang pemain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan