SELEPAS berjaya membelasah Terengganu 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Jumaat lalu, Kelantan semakin bersemangat meneruskan momentum kemenangan.
Kini The Red Warrios mahu menjadikan Pahang sebagai mangsa terbaharu apabila melayan kunjungan skuad Tok Gajah itu pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Bagaimanapun, jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mengakui pertemuan menentang Pahang bukan tugas yang mudah, apatah lagi barisan kendalian Dollah Salleh itu pasti mahu bangkit selepas tewas mengejut 1-2 kepada Perak di Kuantan Sabtu lalu.
Hodak percaya Pahang sudah pasti mahu menebus kembali kekalahan itu ketika menentang Kelantan, sekali gus mengembalikan keyakinan penyokong Tok Gajah.
Menurutnya, Pahang memiliki kelebihan apabila mempunyai barisan pemain tengah yang cukup baik, seterusnya mampu memberi kesulitan kepada benteng pertahanan Kelantan.
“Pahang merupakan pasukan yang baik, pada saya mereka mempunyai barisan pemain tengah yang baik, mungkin yang terbaik di Malaysia.
“Penyerang mereka juga cukup baik dengan barisan pertahanan yang hampir sempurna. Saya melihat ini merupakan perlawanan yang agak sengit.
“Masalah besar saya adalah untuk memotivasikan para pemain supaya mental mereka fokus pada perlawanan ini kerana saya tahu sebahagian daripada mereka sedang menumpukan perhatian untuk persediaan perlawanan akhir Piala FA nanti,” kata Hodak ketika ditemui semalam.
Tambahnya, kehadiran Damian Stewart di barisan pertahanan Pahang juga menyulitkan kerja jentera serangan Kelantan.
“Walaupun pergerakan dia (Stewart) agak perlahan tetapi dia mempunyai pengalaman yang luas serta memiliki kekuatan ketika perebutan bola di udara.
“Dia juga memiliki kelebihan dalam situasi set pieces selain cekap mengendalikan barisan pertahanan Pahang,” kata Hodak.
Ketika ditanya sama ada akan mengekalkan kesebelasan utama ketika menentang Terengganu, Hodak tidak menolak kemungkinan bakal melakukan beberapa perubahan selepas kembalinya beberapa pemain daripada menjalani tempoh penggantungan dan masalah kecederaan.
“Saya perlu melihat keadaan beberapa pemain dan saya akan membuat keputusan. Kemungkinan Nik Shahrul Azim (Abdul Halim) dan Daudsu (Jamaluddin) akan kembali dalam pasukan selepas digantung.
“Farisham (Ismail) juga beraksi dengan baik, dia semakin cergas dan beraksi dengan baik.
“Saya akan mencari kesebelasan yang terbaik dan jika semua baik mungkin tidak perlu melakukan banyak perubahan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan