KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 22 Jun 2013

TRW Pesta Gol Belasah Terengganu


Pemain Terengganu, Ismail Faruqi (kiri) hampir terjatuh akibat diasak pemain Kelantan, Dickson Nwakaeme dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.
Kuala Terengganu: Hajat Terengganu untuk melunaskan dendam bukan saja tidak kesampaian, malah sekali lagi diaibkan finalis Piala FA apabila tewas 0-4 kepada Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.
Disaksikan hampir 10,000 penyokong, tuan rumah yang buat kali pertama beraksi pada sebelah malam musim ini bagaimanapun bermula baik apabila beberapa kali melancarkan asakan berbahaya ke kubu lawan.
Ketiadaan tiga tonggak utama pasukan Terengganu nyata memberi kesan kepada skuad kendalian E Elavarasan apabila gagal mencipta gerakan menarik selain benteng pertahanan tuan rumah agak longgar.
Tuan rumah nyaris mendahului di babak pertama menerusi jentera tengah, Mohd Fakhrurazi Musa seawal minit ke-3, namun sepakan leretnya dari luar kotak penalti mudah dibaca penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.
Pada minit kelima, pasukan tuan rumah sekali lagi berjaya mencipta peluang untuk berada di depan menerusi perancang lincah, Ismail Faruqi Ashaari namun rembatan derasnya sekadar menggegarkan tiang gol.
Pecah kebuntuan
Kelantan memecah kebuntuan jaringan apabila kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi melakukan lambungan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Terengganu, pada minit ke-11. Jaringan itu menyuntik semangat skuad kendalian Bojan Hodak untuk mendominasi perlawanan.
Bersambung babak kedua perlawanan pasukan pelawat terus mengasak benteng pertahanan Terengganu dan hasilnya Dickson Nwakaeme berjaya mencetak nama untuk gol kedua Kelantan seminit selepas wisel permulaan ditiup.
Berselang tiga minit selepas itu, Kelantan terus menambah derita tuan rumah dengan gol ketiga menerusi pemain kelahiran Terengganu, Mohd Norfarhan Mohamad hasil tendangan derasnya di dalam kotak penalti.
Terengganu yang terdesak terus mengatur gerakan untuk mencari jaringan, namun kelalaian benteng pertahanan terus dihukum pelawat dengan gol keempat pada minit ke-55 melalui rembatan cantik Mohd Faiz Subri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular