KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 21 Jun 2013

TRW Yakin Jinakkan Penyu


Nwakaeme (kiri) akan mengetuai jentera serangan Kelantan sementara Bikana tersisih setelah mengumpul enam kad kuning.
BERAKSI tanpa tiga tonggak utama, Kelantan optimis mampu menjinakkan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.
Tanpa kelibat Mohd Daudsu Jamaludin dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim digantung perlawanan serta Indra Putra Mahayuddin mengalami kecederaan, pengendalinya, Bojan Hodak percaya  mereka mampu menghadiahkan tiga mata penuh.
“Terengganu terpaksa meletakkan harapan tinggi kepada barisan pemain tempatan, tetapi kami bertandang ke Kuala Terengganu dengan barisan terkuat termasuk kehadiran import, Obinna Nwaneri dan Dickson Nwakaeme.
“Saya tahu rekod Kelantan beraksi di sana tidak begitu bagus namun itu tidak bermakna kami terpaksa tunduk kali kedua kepada mereka musim ini. Paling penting, pemain fokus 100 peratus.
Sementara itu,  kehadiran Azizi Matt Rose dan Nwakaeme yang pulih sepenuhnya daripada kecederaan menguatkan lagi jentera pertahanan dan serangan pasukan.
Namun, Hodak tetap mengingatkan pemain agar tidak memandang rendah kemampuan Terengganu yang pasti menyandarkan harapan kepada Mohamad Ashari Samsudin selaku penyerang berbisa untuk merobek gawang pasukannya.
Terengganu yang akan beraksi buat pertama kali pada sebelah malam dilihat tertekan untuk meraih tiga mata setelah hilang sentuhan Jean Emmanuel Effa Owona dan Abdul Manaf Mamat akibat kad merah dalam aksi separuh akhir Piala FA sementara Vincent Bikana mengumpul enam kad kuning dalam saingan liga.
Menurut Hodak, kekalahan 2-4 pada separuh akhir kedua Piala FA bulan lalu tidak sesekali dijadikan motif membalas dendam, sebaliknya, matlamat utama ialah meraih mata maksimum pada baki empat perlawanan liga itu.
“Matlamat utama adalah pertahanan Piala FA. Tetapi kami mahu akhiri saingan Liga Super di kedudukan terbaik. Semua perlawanan cukup penting, dan kemenangan ke atas Terengganu dan Pahang (Liga Super) bakal menyuntik semangat pemain sebelum bertemu Darul Takzim FC pada 29 Jun ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular