KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 27 Jun 2013

Kapitalis Kuasa Dua

ulat2





Kelantan... Sebuah negeri yang mempunyai rakyat mempunyai karakter unik dan mudah didekati. Mereka ini juga amat mesra dan saling mempercayai antara satu sama lain sama ada sesama mereka mahupun orang luar. Namun dalam sifat mesra dan mempercayai itu, terselit suatu sifat yang terpendam dalam diri warga Kelantan ini iaitu tak senang apabila terasa diri mereka teranaiya dan dikhianati.

Jika mereka inginkan sesuatu mereka akan berusaha sedaya upaya walau sesukar mana. Katakan sahaja apa yang menjadi penghalang bagi mereka. Wang ringgit? Masa? Tenaga? Usia? Mereka tidak akan hirau segala halangan yang dihadapi asal mereka peroleh apa yang mereka ingin kecapi.

Kisah yang berlaku pada tanggal 25 Jun 2013 sepatutnya menjadi saat gembira dan membolehkan mereka yang berbaris panjang menanti menggenggam hanya sekeping kertas yang mengukirkan senyuman tatkala pulang ke rumah mahupun tempat kerja masing-masing.

Namun penantian dan harapan mereka yang nanti seawal terbit matahari hancur dalam sepuluh minit. Kenapakah mereka boleh dikhianati sebegini rupa? Kelantan negeri yang luas, dan mempunyai 10 jajahan semuanya, bukannya hanya meliputi kawasan Kota Bharu sahaja. Bayangkan anda berada di jajahan paling selatan iaitu Gua Musang yang jaraknya sejauh 186km, menghidupkan enjin kereta dengan penuh harapan ke ibu negeri dan harapan anda berkecai dalam masa 10 minit. Apa perasaan anda?

Tragedi tiket habis dalam masa tidak sampai setengah jam memang merupakan sesuatu yang luar biasa daripada tahun sebelum ini. Amatlah tidak masuk akal jika beribu tiket yang dijanjikan boleh habis dalam masa 10 minit. Kemana menghilangnya tiket-tiket yang dijanjikan untuk dijual kepada umum? (Dijual, bukan diberi percuma) Kenapa sebelum ini jumlah tiket akhir tidak habis secepat musim ini?

Musim sebelum ini hanya KAFA sahaja badan menguruskan segala urus tadbir bolasepak negeri Kelantan, namun bermula tahun ni lahir sebuah lagi badan namun berpusat jauh di Kuala Lumpur di bentuk untuk mengurus pasukan Kelantan secara lebih profesional. Tapi setakat ini segala janji yang di taburkan kearah profesional semakin banyak berselerakan. Apa yang kita lihat masih sama seperti tahun-tahun sudah. Sehinggakan pengurusan tiket akhir menjadi malapetaka kepada rakyat marhein.

Dengan wujudnya dua buah entiti yang berasingan mengurus tadbir bolasepak Kelantan, kita dapat lihat hasilnya pada hari ini. Dimana 30ribu tiket yang diperuntukkan kepada penyokong tegar telah terbahagi kepada dua kapitalis untuk diagih atau dijual secara pukal kepada kroni masing-masing yang berkepentingan bagi mereka, itu belum ditolak bahagi kepada YB kawasan. Agaknya bagi mereka lebih mudah menjual secara pukal kepada kroni dan yang berduit banyak. Hasil lebih cepat dan hubungan dengan kroni terjalin erat. Tak perlu difikirkan sangat penyokong biasa yang membeli tiket sekeping dua. Kalau tidak, manakan cukup masa sepuluh minit untuk menghabiskan tiket yang diperuntukkan kepada penyokong setia? Kenapa rakyat marhein yang menyokong sepanjang musim dari dahulu sering menjadi mangsa khianat kapitalis yang berkuasa?

Satu kapitalis sudah cukup menyukarkan ramai manusia, inikan pula dua. Kapitalis kuasa dua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular