|
KELANTAN membuktikan status sebagai pasukan gergasi selepas menundukkan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Penyerang The Red Warriors, Mohd. Norfarhan Muhammad muncul wira pasukannya apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-16.
Kemenangan itu turut menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas menjulang trofi berprestij negara itu dengan menewaskan Sime Darby 1-0 tahun lalu.
Beraksi di separuh masa pertama, Kelantan jelas menguasai permainan dengan mendominasi bahagian tengah.
Gandingan kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Mohd. Radzi bersama Mohd. Shakir Shaari memberikan impak kepada jentera serang yang kerap kali berjaya menembusi benteng pertahanan Harimau Selatan.
Hasilnya, Bahdri yang juga dikenali sebagai Piya, bijak melorongkan bola kepada Norfarhan dan penyerang Kelantan itu mudah menolak masuk dengan menewaskan penjaga gol Johor DT, Muhammad Al-Hafiz Hamzah pada minit ke-16.
Tersentak dengan jaringan pertama perlawanan itu, jurulatih Harimau Selatan, Fandi Ahmad melakukan tiga pertukaran pemain iaitu membawa masuk Leonel Nunez, K. Thanaraj dan Ahmad Ezrie Shafie dan mengeluarkan Safee Sali, Andrea Francisco dan Safiq Rahim.
Begitupun, percaturan pengendali kelahiran Singapura itu masih gagal membuahkan hasil sekali gus menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat aksi babak pertama perlawanan.
Bersambung di separuh masa kedua, Harimau Selatan kembali mengasak benteng pertahanan The Red Warriors, namun Obinna Nwaneri dan Nik Shahrul Azim yang mengetuai benteng pertahanan Kelantan, mempamerkan aksi cemerlang dengan menggagalkan setiap percubaan merbahaya pasukan dari selatan tanah air itu.
Gandingan pertahanan Kelantan itu berjaya menggagalkan setiap asakan jentera serangan Harimau Selatan yang diketuai Norshahrul Idlan Talaha.
Penyerang import Johor DT, Nunez hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma namun percubaan itu masih gagal untuk menewaskan penjaga gol The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-78.
Berselang seminit kemudian, Nurul Azwan Roya berjaya melepasi benteng pertahanan lawan tetapi hantaran lintang itu berjaya dihidu Khairul Fahmi yang mudah menangkap bola itu bagi menyelamatkan keadaan.
Harimau Selatan yang terdesak untuk memburu jaringan penyamaan, akhirnya terpaksa akur selepas gagal menembusi benteng pertahanan The Red Warriors sekali gus menyaksikan Kelantan memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 1-0.