Suku akhir Piala AFC: Laluan Kelantan getir | ||
Saingan suku akhir bermula September ini.
Wakil tunggal negara itu akan memulakan aksi saingan suku akhir pertama di tempat lawan pada 18 September sebelum beraksi di gelanggang sendiri untuk aksi timbal balik pada 25 September.
Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, beraksi dalam saingan suku akhir AFC satu pengalaman berharga dan pendedahan kepada barisan pemain Kelantan.
"Kita menyedari kehebatan pasukan lawan, yang sememangnya hebat dan berpengalaman.
"Namun semua itu bukanlah penghalang kepada Kelantan untuk meneruskan saingan sekiranya pemain memberikan komitmen sepenuhnya," katanya.
Pada masa yang sama, meskipun beraksi di tempat lawan dalam saingan suku akhir pertama merupakan satu kelebihan kepada Kelantan, namun itu tidak membuatkan The Red Warriors menarik nafas lega.
"Bagi pasukan yang berkualiti dan hebat, soal beraksi di tempat lawan atau sebaliknya bukan menjadi ukuran kejayaan sesebuah pasukan.
"Namun, bagi Kelantan sudah tentu kita menyasarkan keputusan seri dengan jaringan di tempat lawan untuk bekalan dalam saingan timbal balik di Kota Bharu," kata beliau yang ditemui pada Majlis Undian AFC di Bukit Jalil, Kuala Lumpur petang ini.
Selain Kelantan dan Arbil yang akan beraksi dalam saingan suku akhir, enam lagi pasukan akan turut mempamerkan kehebatan masing-masing.
Kelab dari Kuwait, Kuwait SC bakal bertemu Al Wehdat (Jordan) manakala wakil Indonesia, Arema Indonesia berhadapan Al Ettifaq (Arab Saudi).
Wakil Thailand, Chomburi pula menjadi tuan rumah untuk aksi pertama menentang kelab dari Syria, Al Shorta.
Saingan separuh akhir pertama dijadualkan pada 2 Oktober diikuti aksi timbal balik pada 23 Oktober dan final 3 November
Tiada ulasan:
Catat Ulasan