KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 19 Jun 2012

Hodak Pertahan Aksi Pemain


Bojan Hodak
Janji bangkit perlawanan seterusnya, terpaksa buat rombakan saat-saat akhir
KOTA BHARU – Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan tiga mata penuh ketika Kelantan mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kedah dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung malam semalam.
Semuanya gara-gara persembahan hambar barisan pemain The Red Warriors sepanjang 45 minit dalam babak pertama yang seolah ‘hilang selera’ untuk memburu jaringan seterusnya membangkitkan kegusaran hampir 20,000 penyokong yang membanjiri stadium.
Namun Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak tidak panik dengan situasi itu dan mempertahankan persembahan pemainnya yang dianggap melakukan sedaya upaya untuk memenangi perlawanan tersebut.
“Saya sudah beritahu ini merupakan satu pertembungan sengit. Dua kali seri dalam kempen Piala FA dan kita kena akui Kedah merupakan pasukan yang kuat meskipun mereka berada pada kedudukan ketiga terbawah liga ketika ini.
“Beri kami satu atau dua perlawanan lagi untuk kembali mempamerkan aksi sebenar.
“Banyak kesilapan dilakukan oleh pemain berpunca kurang persefahaman dan sebagai jurulatih bukan ini yang saya mahukan. Tetapi sekurang-kurangnya kita sedikit lega apabila meraih tiga mata daripada perlawanan ini.
“Anda kena tahu Mohammad Ghaddar, S Subramaniam, Mohd Shakir (Shaari), Khairul Fahmi (Che Mat) baharu menyertai kita beberapa lalu.
“Beberapa pemain lain pula belum pulih daripada kecederaan dan ini memaksa saya melakukan rombakan pada saat-saat akhir,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Kelantan terpaksa mendapatkan ‘bantuan’ menerusi gol sendiri pemain Kedah, Mohd Fazliata Taib lewat babak pertama sebelum Mohamad Ghaddar mengukuhkan kedudukan 2-0 pada babak kedua.
Gol tunggal Sang Kenari dijaringkan Mohd Khyril Muhymeen Zambri di penghujung perlawanan tersebut.
Sementara itu, pengendali Kedah, Wan Jamak Wan Hassan akur dengan kekalahan tipis tersebut meskipun mengakui pasukannya dilihat lebih mendominasi perlawanan tersebut.
“Meski pun tewas, namun saya puas hati dengan persembahan pemain Kedah malam ini.
“Kami menguasai perlawanan namun tewas menerusi bantuan gol sendiri dan satu gol lagi menerusi peluang terbaik yang dimanfaatkan oleh pemain Kelantan.
“Kami mendapat dua peluang terbaik pada awal permainan menerusi Mohd Khyril Muhymeen (Zambri) dan sepakan penalti Abd Elfatah (Safi) namun gagal menemui sasaran.
“Gol tunggal penghujung perlawanan sudah terlalu lewat untuk kami bangkit mengikat keputusan seri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular