KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 30 Jun 2011

Metro Parking Masih di Peringkat Kajian.

Pengerusi Perbadanan Stadium, Datuk Ahmad Yaacob menegaskan pembinaan "Metro Parking" masih di peringkat cadangan dan memerlukan kajian menyeluruh.


Rakyat Kelantan khususnya di sekitar Bandar Kota Bharu tidak perlu bimbang dengan kewujudan Metro Parking kerana kita sedang mengkaji sejauh mana kesan sekiranya ia tetap diadakan, jelasnya ketika ditemui Harakah Daily. (Baca Sini)


Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan turut menyatakan Kerajaan Negeri masih lagi belum membuat perjanjian untuk mengenakan "charge parking" dan meminta semua pihak tidak risau.

Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk mengenakan bayaran tetapi mengakui mendapat permohonan dari Metro Parking untuk mewujudkan bayaran letak kerata disitu.

RedsFC-News dalam laporan kelmarin menyuarakan rasa tidak puas hati segelintir penyokong pasukan bola sepak Kelantan dan para penianga ekoran pembinaan pondok bayaran Metro Parking di sekitar stadium.


Sumber:Redsfc news

Rajagobal tetap optimis

SAFIQ (dua dari kiri) menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol pertama Malaysia ketika menentang Taiwan pada pusingan pertamam Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Malaysia menang 2-1.

MESKIPUN sekadar mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Taiwan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 malam tadi, jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tetap optimis mengenai peluang skuad kebangsaan untuk mara ke pusingan kedua.

Menurut Rajagobal, kemenangan itu tetap dilihat sebagai satu kelebihan buat skuad Harimau Malaya kerana mereka bakal berkunjung ke tempat lawan bagi menghadapi aksi kedua pada Ahad ini.

“Menang tetap menang. Kita bukannya seri ataupun tewas kepada Taiwan. Jadi saya percaya ia mampu memberi kelebihan buat kami (skuad kebangsaan) apabila menghadapi Taiwan pada aksi kedua nanti.

“Biarpun kita beraksi di tempat lawan, kita perlu yakin bahawa kita masih mampu mencatat kemenangan. Jika pemain-pemain memiliki tahap keyakinan seperti itu, tidak mustahil kejayaan memihak kepada kita,” kata Rajagobal kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, dua jaringan masih-masing satu daripada kapten, Safiq Rahim pada minit ke-27 dan tonggak pertahanan, Mohammad Aidil Zafuan Abdul Razak (ke-54) sudah cukup untuk memberi bekalan buat anak-anak buah Rajagobal sebelum berkunjung ke Taiwan.

Begitupun, kelekaan barisan pertahanan skuad kebangsaan dihukum apabila Chen Po Liang menjaringkan gol bagi merapatkan jurang buat Taiwan pada minit ke-75.

Kesilapan itu telah menghadirkan kebimbangan kepada Rajagobal yang tidak mahu ia berulang lagi ketika aksi kedua nanti.

“Kita tidak sepatutnya melepaskan gol mudah kepada Taiwan begitu sahaja. Apa yang saya dapat lihat ialah barisan pertahanan kita ‘tidur’ dan hilang tumpuan.

“Justeru, saya akan melakukan sesuatu bagi mengatasi kelemahan tersebut sebelum aksi kedua nanti,” jelas Rajagobal.
Sementara itu, jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung yakin anak-anak buahnya akan kembali bangkit pada aksi kedua nanti.

Jelas Chih-Tsung, pasukan itu sebenarnya menampilkan corak permainan secara menyerang tetapi apabila beraksi di Malaysia, mereka perlu berhati-hati dan lebih banyak bertahan.

“Pada aksi kedua nanti, saya yakin kami akan kembali kepada corak permainan asal kami. Kami akan menerapkan corak permainan secara menyerang.

“Kami perlu mencari gol dalam usaha untuk mara ke pusingan kedua. Saya yakin kami masih memiliki peluang yang cerah untuk ke pusingan berikutnya,” jelas Chih-Tsung.

Rabu, 29 Jun 2011

Safee Cedera, Hadi, Badrol Galas Tugas.

Kem Malaysia menerima tamparan buruk sebelum aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 selepas penyerang prolifik, Mohd Safee Sali dikhabarkan mengalami kecederaan.


Dilaporkan penyerang utama skuad negara tersebut terpaksa diketepikan selepas ditimpa kecederaan dalam sesi latihan terakhir, petang kelmarin.

Dengan kecederaan tersebut, Safee Sali menyertai Azmi Muslim dan Khairul Fahmi Che Mat dalam senarai pemain terpaksa disisihkan dalam perlawanan pertama malam ini.

Namun, berita gembira diterima selepas seorang lagi pemain penyerang, Norshahrul Idlan Talaha sudah boleh diturunkan.

Sebelum ini, keraguan buat Norshahrul selepas mengalami kecederaan serius sewaktu membantu Kelantan menewaskan Perak dalam saingan Liga Super.

Tetapi K. Rajagobal dijangka tidak mengambil risiko untuk menurunkan Norshahrul dalam kesebelasan utama.

Kemungkinan besar Abdul Hadi Yahya dan Badrol Bakhtiar bakal menggalas tugas utama selaku penyerang dalam perlawanan ini.

Dua penyerang ini membuktikan kredibiliti masing-masing ketika membantu Malaysia membenam Myammar dalam perlawanan persahabatan, minggu lalu.

Justeru itu, sandaran utama diberikan kepada mereka untuk membolosi gawang Taiwan.

Prebiu Kelayakan Piala Dunia 2014: Malaysia Cari Bekalan Selesa.

Malaysia turun aksi pertama di gelanggang sendiri kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Mempertaruhkan senarai 23 pemain berkaliber yang dikumpul dari serata negeri, harapan besar tergalas di bahu mereka untuk meneruskan kecemerlangan bola sepak tempatan.

Selepas kejayaan bersejarah Si Adik layak ke peringkat kumpulan saingan Olimpik London, kini giliran Abang untuk mencipta sejarah melayakkan diri ke pusingan yang seterusnya.

Melawan skuad yang berada di kedudukan 153 dunia, Malaysia sebenarnya tidak menghadapi laluan berliku untuk mencatatkan kemenangan selesa keatas lawan dihadapan penyokong sendiri.

Malaysia yang berada pada kedudukan 143 dalam rangking terbaru FIFA sudah tentu tidak mahu dikecewakan pasukan lawan termasuklah dimalukan seawal pusingan pertama.

Namun, jangan dilupakan dengan skuad Taiwan kerana mereka mampu untuk menewaskan Malaysia andai pemain tidak fokus kepada perlawanan yang akan mereka hadapi.

Taiwan masih gagal menunjukkan persembahan baik malahan perlawanan antarabangsa yang mereka lalui sejak kebelakangan ini berkesudahan tewas semua perlawanan.

Untuk catatan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, pertembungan terakhir pada tahun 2000 dimenangi Taiwan 3-2 manakala untuk rekod keseluruhan dalam semua kejohanan masih berpihak kepada pasukan Negara dengan rekod 7 kemenangan dan tiga kali kalah serta 4 seri.

Perlawanan ini akan menunjukkan sama ada skuad negara mampu meneruskan kecemerlangan kerana mereka berada pada laluan mudah namun ianya tidak menjanjikan kelayakan andai tunduk kepada pihak lawan yang jauh berada di kedudukan bawah.

Kesebelasan Kemungkinan Malaysia.


Resah di pihak Malaysia kerana beberapa pemain tonggak harapan dilanda kecederaan. Ketiadaan Norshahrul Idlan pantas dituruti Khairul Fahmi dan Azmi Muslim. Malah situasi masih samar adakah Abdul Hadi Yahya turut tidak dapat diturunkan untuk perlawanan ini.

Kehilangan Khairul Fahmi bagaimanapun memberi peluang kepada Sharbinee untuk beraksi di posisi pertama. Keupayaan penjaga gol berasal dari Terengganu ini tidak dinafikan masih berbisa walau kadangkala melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya. Ketiadaan Khairul Fahmi turut memberikan peluang kepada Nasril Nourdin untuk mendapat kedudukan kedua posisi penjaga gol pasukan negara.

Jentera pertahanan melihat kembalinya bekas ketua pasukan, Aidil Zafuan dari kecederaan. Dijangkakan Aidil akan digandingkan dengan Fadzli Shas di bahagian pertahanan tengah. Pilihan di tangan K Rajagobal setelah Aidil memberikan aksi baik ketika digandingkan dengan Farisham Ismail dalam "international friendly" menentang Myammar, tempoh hari. Pengendali Malaysia itu sebenarnya turut mempunyai pilihan untuk memasukkan Muslim Ahmad di jentera pertahanan tengah. Pertahanan kiri kanan pula kemungkinan besar Helmi Rameli dan Asrarudin Putra akan dimasukkan dengan Mahali Jasuli selaku simpanan.


Posisi tengah pula melibatkan persaingan sengit empat pemain untuk mengisi bahagian "center". Namun satu tempat sudah terjamin menjadi milik kapten pasukan, Safiq Rahim manakala satu lagi tempat menjadi rebutan antara Shakir, Amar Rohidan dan K. Gurusamy. Shakir baru kali kedua turun dalam perlawanan bertaraf antarabangsa pantas menyesuaikan diri, Amar Rohidan tenang mengawal bola membantu Safiq manakala K. Gurusamy mampu menguasai bahagian tengah dengan hantaran menarik. Kesemua pemain ini mempunyai kaliber tersendiri dan kemungkinan K. Rajagobal bakal memilih salah seorang pemain yang telah menunjukkan kesungguhan tinggi ketika sesi latihan. Bahagian sayap pula kemungkinan Amirul Hadi Zainal dan S. Kunalan bakal diturunkan dengan S. Chanturu dan Ashaari Shamsudin berada di bangku simpnanan.

Safee Sali pula dijangka mengetuai barisan serangan negara bersama dengan Abdul Hadi Yahya andai pemain ini sudah pulih dari kecederaan. Jika Hadi masih tidak dapat diturunkan, Badrol Bakhtiar kemungkinan besar akan menjadi rakan gandingan Safee selepas Norshahrul Idlan sudah dinyatakan akan tersisih untuk perlawanan ini. Ahmad Fakri Saarani turut berpeluang namun berdasarkan situasi semasa, dia terus diletakkan di bangku simpanan.
**Berita baru diterima, Safee injured. Kemungkinan Hadi dan Badrol mengetuai serangan pasukan negara**

Kesebelasan Kemungkinan Taiwan.


Taiwan tidak datang untuk tewas, kami datang untuk menang disini. Itulah kata semangat yang dilaungkan dua pemain mereka yang berpengkalan di Eropah ketika ditemui pihak media. Kata semangat itu diakui sendiri jurulatih mereka bahawa mereka akan sedaya upaya menyekat Malaysia untuk menang di gelanggang sendiri.

Taiwan dijangka menggunakan taktikal 4-2-3-1 dalam perlawanan ini namun keputusan di tangan ketua jurulatih mereka sama ada kekal dengan formasi yang digunakan ketika tewas kepada Pakista atau menggunakan taktikal bertahan.

Kapten mereka, Cheng Yu Lin turun selaku penyerang utama perlawanan malam ini mengharapkan rakan sepasukan dapat memberikan aksi menarik selain menyerang pasukan lawan dengan habis habisan untuk mencari kemenangan.


Walaupun begitu, laporan menyatakan hampir separuh pemain utama Taiwan adalah pelajar dan ini memberi banyak kelebihan kepada Malaysia untuk mengejutkan pelawat dengan jaringan besar.

Posisi penjaga gol turut menyaksikan Taiwan kehilangan pemain utama ekoran masalah kecederaan tangan menyebabkan ketua jurulatih mereka mengharapkan penjaga gol simpanan Linbo Chen.

Namun, kehadiran dua tonggak pertahanan yang beraksi di Liga Sepanyol dan Belgium dijangka membantu pengendali Taiwan, Lo Chih Tsung untuk mempamerkan taktik bertahan sambil berharap tidak bolos banyak sebelum timbal balik di gelanggang mereka. Victor Chou dan Xavier Chen tidak asing di luar negara dan kelibat mereka sudah tentu menyukarkan Safee Salee dan rakan sepasukan untuk membolosi gawang Taiwan. Bahagian pertahanan mereka turut mendapat khidmat pemain veteran bertubuh kecil, Caixian Tang serta kelibat pemain Olimpik mereka Zhanzhe Yuan.


Selain itu,Taiwan turut mengharapkan pemain serangan mereka dapat melakukan sekurang-kurangnya satu jaringan gol untuk dijadikan bekalan sebelum timbal balik nanti. Gandingan yang diatur melalui tiga pemain tengah iaitu Chan Han di bahagian center, Lo Chih An di sebelah kiri serta Lo Chih En di sayap kanan manakala Chen Bo Liang selaku tengah menyerang.

Secara keseluruhan, RedsFC menjangkakan Taiwan akan datang dengan taktik "defensive" dengan melakukan serangan sekali sekala selain menunggu peluang melakukan serangan balas.

Keputusan Jangkaan Perlawanan
Malaysia 3-0 Taiwan

Sumber:redsfc news

Pelita Jaya uji pemain Kelantan

KOTA BHARU – Penyerang utama kebangsaan, Mohd Safee Sali antara pemain yang akan mengesahkan tempat beraksi untuk pasukannya, kelab Pelita Jaya dari Indonesia bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 9 Julai ini.

Selain Mohd Safee, kelab yang dikemudikan oleh Misha Ravodic juga bakal mempertaruhkan beberapa tonggak importnya seperti Christopher Doig (Scotland), Juan Andres Nohuera Ramirez (Paraguay), Dramane Coulibaly (Mali), Troy Hearfield (Australia) dan Jhon van Beukering dari Belanda.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Afandi Hamzah selepas kejayaan menganjurkan perlawanan persahabatan di antara skuad kebangsaan menentang Myanmar baru-baru ini, pihaknya sekali lagi bersedia menganjurkan perlawanan persahabatan bertaraf antarabangsa di Kota Bharu.

“Perlawanan ini pasti menjanjikan aksi yang menarik kerana bakal menemukan penyerang kelab Pelita Jaya, Mohd Safee Sali dan penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dimana mereka merupakan rakan sepelatih dalam skuad kebangsaan ketika ini.

“Perlawanan persahabatan ini diadakan bertujuan untuk menghargai sokongan peminat bola sepak Kelantan yang sentiasa berdiri teguh memberi sokongan kepada pasukan sepanjang musim ini. Selain itu, perlawanan ini juga dijangka menarik minat rakyat Indonesia yang bekerja di negeri ini.

“Untuk itu, sebanyak 3,000 keping tiket perlawanan tersebut akan diagihkan secara percuma ketika majlis Karnival The Red Warriors (TRW) di Machang pada 2 Julai yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak,” katanya dalam sidang media, semalam.

Menurutnya, bagi peminat yang menyimpan dua keratan tiket perlawanan Kelantan menentang Perak (14 Jun) dan Malaysia menentang Myanmar (18 Jun), mereka hanya perlu hadir ke pejabat Kafa untuk menukarkan keratan tiket tersebut dengan kad jemputan.

“Mereka yang mempunyai keratan tiket tersebut boleh mengemukakan kepada pihak Kafa selewat-lewatnya pada 7 Julai. Sekiranya mereka hanya mempunyai satu keratan tiket sahaja, mereka perlu membayar separuh harga ketika membeli tiket itu.

“Kafa memperuntukkan sebanyak 15,000 tiket dijual bagi perlawanan ini. Harga tiket bagi tempat duduk terbuka ialah RM10, tempat duduk astaka dua RM12 dan tempat duduk astaka utama berharga RM20. Sementara bagi kanak-kanak bawah umur 12 tahun dibenar masuk secara percuma bagi kawasan tempat duduk terbuka,” katanya.

Sementara itu, Afandi juga turut mengumumkan Kelantan bakal menguji tiga pemain import iaitu dua dari negara Croatia dan seorang lagi dari Bosnia Hersegovina dalam perlawanan persahabatan tersebut.

“Kita buat persediaan awal (memilih pemain) sekiranya Liga Malaysia pada tahun depan membenarkan kembali penggunaan pemain import. Ini merupakan percubaan pertama kita dan saya fikir perlawanan ini cukup sesuai bagi kita menguji pemain import tersebut,” katanya.-Sinar Harian

Kelantan buat persiapan awal hadapi Sabah

KOTA BHARU - Jurulatih skuad Red Warriors, Datuk M. Karathu menggunakan tempoh rehat selama tiga minggu untuk merencanakan persiapan terbaik menjelang pertemuan terakhir Liga Super menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 6 Julai ini.
Menurut Karathu, meskipun sesi latihan skuadnya dijalankan tanpa enam pemain tonggak yang beraksi bersama skuad kebangsaan, ia tidak menjejaskan persiapan untuk memastikan pemain berada pada prestasi terbaik.
"Selepas berehat seminggu, pemain kembali melaporkan diri menjalani latihan dua hari lalu.
"Saya tidak mahu memberi penekanan yang lebih terhadap pemain dalam sesi latihan ini memandangkan mereka telah lama bercuti.
"Sebaliknya, saya akan memberi penekanan kepada aspek meningkatkan tahap kecergasan terlebih dahulu.
"Kami hanya ada satu perlawanan sahaja lagi (bertemu Sabah) dan saya tidak mahu aspek ini tertinggal apabila kita menyambung kembali latihan sekarang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Mengulas kecederaan otot paha yang dialami penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha, Karathu mengakui ia sedikit membimbangkan, namun berharap pemain itu pulih sebelum perlawanan menentang Sabah.
"Saya difahamkan Norshahrul masih mengalami kecederaan dan mungkin tidak boleh bermain menentang Taiwan pada perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Dunia pada 29 Jun. "Dia berpeluang bermain pada perlawanan timbal balas pada 3 Julai di tempat lawan. "Saya belum lagi berhubung dengannya. Saya akan memantau tahap kecederaannya. "Saya berharap dia segera sembuh dan mengikuti latihan fisioterapi dengan tersusun," katanya.

Ahad, 26 Jun 2011

Kolumnis: Kekal atau Berpisah.

Walaupun musim 2011 masih panjang, sudah dengar perkhabaran akan berlaku perubahan besar-besaran dalam skuad TRW musim hadapan.

Photo oleh: Berita Harian
Bermula dari jawatan ketua jurulatih hinggalah kepada senarai pemain, semuanya dikhabarkan akan menjadi serba baru.

RedsFC tidak mahu mengulas panjang tentang perpindahan masuk keluar para pemain tetapi yang ingin ditekankan disini ialah jawatan ketua jurulatih pasukan The Red Warriors.

Cakap-cakap dari kedai kopi mengatakan tugasan yang dilakukan Datuk M. Karathu hanya sekadar pada nama setelah banyak tangan cuba mencampuri urusan pentadbiran kejurulatihan pasukan.

Tapi dilihat pada pasukan Kelantan sejak era kepimpinan Tan Sri Annuar Musa, tidak ramai jurulatih mampu menghabiskan tugasan semusim walaupun diakui mereka ini hebat dan mampu memberi lebih kejayaan kepada pasukan jika kekal.

Jika benar ada campur tangan pihak lain dalam menentukan hala tuju skuad Kelantan, mengapa Karathu dipanggil membimbing pasukan sedangkan masih ada jurulatih lain yang rela dikambing-hitamkan.

Malah dikhabarkan, Datuk M. Karathu tidak dihormati oleh sesetengah pemain menyebabkan suasana didalam pasukan tidak harmoni.

Dikatakan juga musim ini adalah yang terakhir (setahun sahaja) khidmat M. Karathu digunakan yakni untuk tahun 2012, B. Sathianathan akan kembali mengambil alih tugas nombor satu menguruskan pasukan The Red Warriors.


Bagi RedsFC, tepat tindakan yang dilakukan Karathu untuk keluar dari pasukan Kelantan kerana tekanan yang dihadapi membimbing TRW tersangat berat dan sukar.

Ramai sudah jurulatih berkaliber telah angkat kaki dari skuad Kijang termasuklah K. Rajagobal, Peter James Butler dan Norizan Bakar.

Semua jurulatih ini dikatakan tidak tahan dengan karenah pihak berkepentingan yang dilihat hanya tahu "cah keting" jika ketua jurulatih tersebut tidak dari kalangan pilihan mereka.

Satu pesanan kepada pihak berkepentingan, ubahlah sikap anda dari terus menjadi barah dalam pasukan Kelantan. Jangan hanya gah diluar tetapi sebenarnya membusuk didalam. Kita tidak mahu delegasi yang telah menaikkan nama Kelantan ke kemuncak, jatuh merudum dalam masa singkat.

Pilihan di tangan Datuk M. Karathu sama ada untuk mengekalkan tempat atau berpisah dengan Kelantan lebih awal.

Sumber:Redsfcnews

Sabtu, 25 Jun 2011

President Warriors Benam Johor.

Skuad Piala Presiden Kelantan menewaskan Johor 2-0 dalam saingan suku akhir pertama Piala Presiden 2011 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.


Dua jaringan Mohd Farhan Yaacob dan Zamri Ramli pada pertengahan babak kedua memberikan Kelantan bekalan selesa dua gol sebelum aksi timbal balik, penghujung bulan ini.

Permulaan babak pertama menyaksikan Kelantan melakukan cubaan awal melalui sepakan kencang Akid Ramli terkena jaring tepi selepas membias pertahanan Johor pada minit ke-6.

Tidak lama kemudian, Kelantan mendapat satu peluang terbaik untuk mendahului pelawat namun Aris Zaidi dan Izuan Rosli gagal menterjemahkan ruang gol yang telah terbuka luas.

Selepas itu, kedua-dua pasukan saling melakukan serangan bertali arus kearah kubu pasukan masing-masing tetapi tetap gagal menembusi pintu gol.

Bermula sepakan tepat Aris Zaidi pada minit ke-37, Mohd Khairul Izuan pula mengsia-siakan tiga peluang terbuka dihadapan pintu gol Johor.

Sepakan tersasar Akid Ramli pada minit ke-45 menutup tirai separuh masa pertama dengan kedudukan 0-0.


Pada babak kedua, Johor terlebih dahulu melakukan satu serangan balas pantas pada minit ke-48 tetapi sepakan Yuhendri Rusdi jauh tersasar.

Terkejut dengan serangan lawan, Kelantan memperkukuhkan bahagian tengah untuk menguasai keseluruhan perlawanan.

Percubaan Izuan Rosli pada minit ke-50 terus kedakapan penjaga gol pelawat manakala tandukan terbuka Akid Ramli seminit kemudian hasil satu hantaran cantik Norhamizi Haron disudahkan dengan tidak mengancam pintu gol Johor.

Minit ke-53, Mohd Rafef Raya melakukan larian solo namun dia memilih menyepak lemah kearah penjaga gol President Warriors, Mohd Syazwan.

Farhan Yaacob yang masuk mengantikan Akid Ramli memberi impak segera dengan cubaan pertama dari jarak 35 meter ditumbuk keluar Amaro pada minit ke-60 dan dia terus cemerlang dengan tindakan refleks pantas menepis tandukan Faizol Nazlin hasil sepakan sudut selepas itu.

Usaha berterusan Kelantan berbaloi pada minit ke-69 hasil jaringan pembukaan Mohd Farhan Yaacob melalui tandukan kencang hasil hantaran lintang Aris Zaidi dari sebelah kiri.

Seminit kemudian, Johor hampir menyamakan kedudukan selepas Yuhendri Rusdi yang berada dalam situasi satu lawan satu dengan Mohd Syazwan memilih menyepak keluar ke sebelah kanan.

Kem Johor terus hampa, kali ini giliran Rafee Raya membazirkan peluang walaupun pada awalnya berjaya melepasi kawalan ketat Faizol Nazlin untuk menyepak lemah mudah ditepis Mohd Syazwan pada minit ke-73.

Menyedari pihak lawan makin menunjukkan peningkata, Zahasmi melakukan perubahan posisi pemain dan hasilnya dapat dilihat segera selepas Zamri Ramli menyambut tenang hantaran Azyu Ikmal pada minit ke-77 sebelum meledak menewaskan Amaro Shafiq buat kali kedua.

Gol tersebut menyemarakkan semangat pemain Kelantan dengan serangan bertali arus terus diatur kearah pintu gol Sang Jengking.

Dua cubaan Mohd Farhan Yaacob pada penghujung babak gagal menambah jaringan.

Selepas tiga minit masa tambahan, perlawanan akhirnya ditamatkan dengan tiga kad kuning dilayangkan pengadil bertugas, Mohamad Romzi Zahari.

Dengan kemenangan ini, Kelantan bertandang ke Stadium Tan Sri Haji Hasan Yunos dengan bekalan dua gol tanpa balas.

Kesebelasan Pemain:

Kelantan: Zahasmi Ismail.
Mohd Syazwan (Gk), Faizol Nazlin Sayuti, Md. Khairul Izuan, Md. Zamri Ramli, Md. Aris Zaidi, Nicholas Chan, Nik Mohd Shahrul Azim (Kp), Norsyahrul Hawari (Azyu Ikmal), Muhd Akid Ramli (Mohd Farhan Yaacob), Norhamizi Haron (Zabeel Mat Nor) dan Tuan Mohd Norhafizie.

Johor: Ahmad Hassan
Md. Amaro Shafiq (Gk) (Kp), Muhd Fazly Mazlan, Muhd Sabri Zainuddin (Muhd Riduan), Muhd Alif Haiqal, Yuhendri Rusdi, Muhd Nazri Yusof, Muhd Syafiq Ghani (Che Ismail), Afendy Shamsudin, Muhd Rafef Raya, Muhd SaifulAzmi Zulkifli (Muhd Afiq Amin) dan Md. Nurfitah Md. Shah.

Pengadil: Mohamad Romzi Zahari
Pen 1: Abd. Halim Ramlan
Pen 2: Mohd Erwan Othman
Peg 4: Mohd Rahimi Mohd Nor

Statistik Perlawanan

Gol
Kelantan 2-0 Johor

Kad Kuning
Kelantan 2-1 Johor

Kad Merah
Kelantan 0-0 Johor

Posisi Bola
Kelantan 60-40 Johor

12 Pasukan Asia Bersaing Ke Olimpik London.

Dua Belas pasukan termasuk Malaysia akan bersaing di peringkat kumpulan untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Olimpik 2012 di London.


Selain skuad kebangsaan, Qatar, Iraq, Palestine, Australia, Syria, UAE, Korea Selatan, Uzbekistan, Arab Saudi dan Oman turut melayakkan diri.

Setiap pasukan akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan juara setiap kumpulan akan layak secara automatik manakala tiga pasukan naib juara kumpulan bakal bersaing dalam penentuan playoff.

Walaupun kejayaan tidak terduga berjaya digapai anak didik Ong Kim Swee, mereka tidak harus berasa selesa kerana 11 pasukan lain bukan pasukan yang remeh untuk ditewaskan.

Melihat pada situasi dan pasukan yang layak, peluang Malaysia layak ke peringkat akhir sangat sukar namun dalam bola sepak banyak perkara boleh berlaku tanpa diduga.

Untuk catatan, Malaysia melayakkan diri ke peringkat kumpulan selepas menewaskan Lebanon 2-1 secara agregat seterusnya menempah tempat setelah kali terakhir melakukannya pada tahun 1984.

Catatan Popular