KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 11 Jun 2011

Irfan berang, Karathu tetap bertenang

[ Stadium Nasional Bukit Jalil ]
JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim meluah- kan rasa marah dan kecewa apabila sesi latihan terakhir pasukannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam ‘diintai’ lawan mereka, Kelantan.

Kehadiran para pemain Kelantan lebih awal daripada waktu ditetapkan bagi Irfan telah mengganggu sesi latihan pasukan Terengganu, terutamanya untuk mereka membuat latihan sepakan penalti.

“Sepatutnya mereka (pasukan Kelantan) tiba di stadium pada pukul 5.30 petang kerana sesi latihan kami patut berakhir pada pukul 5.45 petang. Tetapi mereka sudah tiba ketika kami baru saja mula latihan.

“Saya cukup kecewa. Bukan sebab kami nak buat taktikal saat akhir pun tetapi ia menyebabkan perasaan tidak selesa. Ia sesuatu yang tidak beretika, melihat pasukan lawan berlatih.

“Sebab itulah juga saya terpaksa membatalkan latihan sepakan penalti kerana nanti Kelantan akan tahu pemain mana akan sepak ke kiri atau kanan,” kata Irfan ketika ditemui selepas sesi latihan itu.

Biarpun ia mungkin dianggap perkara remeh, namun harus diingat bahawa lima final terakhir Piala FA (2006- 2010) menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti kecuali pada final 2008.

Namun Irfan tetap melaungkan keyakinan bahawa Terengganu akan bergelar juara Piala FA musim ini seterus- nya menempah tiket beraksi di Piala AFC 2012.

“Insya-Allah kami akan menang. Saya cukup yakin dan optimis ditambah kehadiran semula Ashari Samsudin dan Zubir Azmi yang tidak beraksi pada Isnin lalu.

“Lagipun kami sudah melupakan kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi Liga Super itu. Ketika itu, lima pemain kami keletihan kerana baru pulang dari Hong Kong beraksi untuk skuad kebangsaan,” jelas Irfan.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu tampak lebih tenang dari raut wajahnya tetapi tidak mahu para pemainnya terlalu yakin dengan kemenangan pada aksi Liga Super itu.


“Perlawanan itu sudah berlalu dan ini final, satu perlawanan yang berbeza. Memang kami akan turun dengan pendekatan berbeza untuk menghadapi 90 minit yang cukup penting ini.

“Tetapi dari segi permainan dan taktikal, kita tidak akan melakukan perbezaan. Cuma saya harap para pemain dapat beraksi pada tahap sebenar,” ujar Karathu.

Jumaat, 10 Jun 2011

Kelate Tidok Ganah, Ganung Jange Nelang.


Debaran kemuncak Piala FA makin terasa.

Ketika ini, berpusu-pusu kenderaan dari Kelantan dan Terengganu menuju satu destinasi yakni Kuala Lumpur sebelum bertembung 90 +++ minit dalam stadium Nasional Bukit Jalil, 48 jam dari sekarang.

Kita harapkan tiada insiden buruk berlaku kepada kedua-dua penyokong semasa dalam perjanan ke destinasi masing-masing.

Selain itu, kita juga harap tiada pergaduhan akan berlaku dikalangan penyokong Kelantan dan Terengganu di Lebuhraya Karak, Tol Gombak serta sepanjang jalan menuju kawasan perlawanan sama ada hari ini, esok dan Ahad nanti.

Paling penting, diharapkan semua pihak sama ada dari Negeri Cik Siti Wan Kembang atau Peteh tidak melakukan provokasi melampau memungkinkan pergaduhan besar tercetus sebelum perlawanan bermula.

Tiada hero sebenar jika anda melakukan kekacauan selain merosakkan imej bola sepak negeri anda sendiri di sepanjang perjalanan tersebut.

Kehadiran kita ke Stadium Bukit Jalil bukan untuk melakukan kerosakan, menimbulkan permusuhan tetapi semata-mata untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kedua-dua pasukan yang bertanding.

Lupakan insiden lalu dengan menerapkan semangat kesukanan yang tinggi selaras dengan pesanan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihak berkuasa.

Kita tidak mahu suasana perlawanan akhir dicemari insiden yang menjatuhkan maruah negeri sejiran kepada peminat bola sepak tanah air lain.

Hint Dari Subra! Kemungkinan Tidak Menyambung Kontrak 2012?


Laporan dari sumber yang boleh dipercayai mengatakan beberapa pemain tidak akan menyambung kontrak dengan pasukan Kelantan 2012.

Tanpa diduga, S. Subramaniam telah mengeluarkan satu kenyataan di Facebook mengatakan mahu keluar seandainya tidak disenaraikan dalam perlawanan selepas ini.

Berikut adalah kenyataan beliau " i will quit................... if i dint start...............im sure... ".

RedsFC News tidak mahu mengulas panjang dengan kenyataan pemain pertahanan Kelantan ini namun berharap S. Subramaniam terus memberikan aksi terbaik kepada pasukan jika disenarai dalam kesebelasan ketika menentang Terengganu dalam perlawanan akhir.

Walau apa pun, beliau tetap pemain utama yang membantu Kelantan merangkul Piala Sumbangsih, kedudukan teratas Liga Super (masih berbaki 2 perlawanan) dan melayakkan diri ke pentas Final FA bagi tahun 2011.

S. Subramaniam tetap tersenarai antara 25 pemain membantu Sang Kijang menjuarai Piala Malaysia. Jasamu tetap dikenang.

sumber dari reds fc news

Nik Aziz Minta Penyokong Jaga Tingkah Laku



MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, meminta penyokong pasukan The Red Warriors menjaga tingkah laku bagi memelihara nama baik negeri itu dalam keghairahan mereka menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS turut berdoa Kelantan akan mencapai kemenangan dalam perlawanan itu dan menaikkan imej negeri itu sebagai gergasi bola sepak di negara ini.

“Saya minta seluruh rakyat Kelantan dan juga pemain menjaga tingkah laku mereka. Tidak perlu bersorak-sorak (melampaui batasan) dan bermain mercun. Jagalah imej Kelantan sebagai Serambi Mekah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Ketika ditanya sama ada pemain Kelantan akan mendapat imbuhan daripada kerajaan negeri, jika memenangi Piala FA itu, Nik Aziz berkata, tiada sebarang ganjaran disediakan.

“Kita jangan terlalu manjakan pemain (dengan imbuhan),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood, berkata kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan untuk mengisytiharkan cuti sekiranya Kelantan memenangi Piala FA, Sabtu ini.

Perang Psikologi Bermula


Mohd Izuan Salahudin

Kelantan sedia ulangi pencapaian sama dalam Liga Super tempoh hari

PERANG psikologi final Piala FA sudah pun bermula dengan Kelantan seperti sudah bersedia mengulangi pencapaian sama dalam Liga Super tempoh hari menewaskan pasukan tetangga, Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pemain muda The Red Warriors, Mohd Izuan Salahudin, 20, berkata dia dan rakan sepasukan akan berjuang memastikan dapat menang dan menghadiahkan trofi itu kepada peminat setia mereka.

Katanya, harapan untuk menjulang Piala FA pada tahun ini amat tinggi dan berharap diberi peluang mencipta sejarah manis bersama Kelantan.

“Perasaan saya sekarang begitu berdebar kerana hari perlawanan bakal menjelma beberapa hari lagi dan sementara itu saya akan mengadakan latihan bersama jurulatih dan rakan yang lain bagi meningkatkan prestasi sendiri mahupun pasukan.

“Perlawanan 11 Jun ini begitu bermakna bagi semua pemain dan penyokong setia Kelantan dan saya harap kemenangan akan menjadi milik kami,” katanya.

Izuan yang menjaringkan gol awal pada minit kesembilan ketika menewaskan Terengganu 3-0, Isnin lalu, turut berharap ketua jurulatih, Datuk M Karathu akan memberi peluang kepadanya untuk menyarung jersi kesebelasan utama dalam final nanti bagi membuktikan kemampuannya.

Dia akur cabaran beraksi sebagai pemain utama di final Piala FA tampak sukar berikutan prestasi memberangsangkan pemain lain namun pemain yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu, tetap menanam keazaman untuk membantu Kelantan mendapatkan Piala FA.

“Semua perancangan di tangan ketua jurulatih tapi jauh di hati saya menaruh harapan untuk beraksi sebagai pemain utama seandainya mendapat kepercayaan jurulatih.

“Siapa yang tidak mahu bermain di kejohanan yang bakal disaksikan puluhan ribu penyokong sendiri dan ini membuat saya lebih bersemangat untuk bergandingan bersama-sama rakan yang lebih berpengalaman ketika menentang Terengganu di final nanti,” katanya ketika di hubungi semalam.

Rabu, 8 Jun 2011

Piala FA 2011: KELANTAN Road To Final.




Pusingan Pertama:
T-Team 1-1 Kelantan
[Kelantan menang Penalti 6-5]


Isu panas melibatkan pengurusan Kelantan dan tiga pemain yang menyertai T-Team tidak menggugat The Red Warriors untuk melepasi peringkat pertama saingan Piala FA. Gol jaringan awal dari Rizal Fahmi Rosid mudah dipadamkan Indra Putra Mahayudin. Namun Kelantan mendapat peluang keemasan untuk menamatkan perlawanan lebih awal tetapi sepakan penalti Norshahrul Idlan Talaha pada minit akhir gagal menepati sasaran. Tambahan masa yang diberikan turut gagal disudahkan dengan nota kemenangan. Dalam penentuan penalti, kesemua pemain Kelantan menyempurnakan sepakan manakala sepakan terakhir dari Norfazly Alias jauh tersasar untuk memberikan kemenangan pertama kepada Datuk M. Karathu dalam Piala FA.

Pusingan Kedua
Johor FC 0-1 Kelantan


Corak hambar dan gaya permainan tidak menarik disajikan kedua-dua pasukan mengundang cemuhan para penyokong yang bertandang memberi sokongan. Tiada yang menarik untuk diperkatakan terhadap perlawanan ini kecuali gol jaringan menerusi tandukan dari jarak dekat Mohd Badri Radzi pada minit ke-45 memisahkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA.

Suku Akhir Pertama.
Kelantan 2-2 Felda


Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri ternyata tidak memberi tuah buat Kelantan selepas terikat 2-2 dengan kelab Felda United. Gol penalti kontroversi hadiah Khairul Fahmi Che Mat kepada kelab berpengkalan di Kuala Lumpur pada minit akhir perlawanan tersebut mengundang kemarahan para penyokong kepada pengadil perlawanan. Jaringan awal Mohd Badrol Azam mudah disamakan kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi. Sang Kijang merekodkan pendahuluan pada babak kedua selepas Norshahrul Idlan Talaha menyempurnakan peluang terhidang hasil keadaan kelam kabut didepan pintu gol Felda namun kekasaran "Apek" keatas Ramesh Lai Ban Huat pada minit akhir memberi gol penyamaan kepada pelawat hasil sepakan penalti Liew Kit Kong.

Suku Akhir Kedua
Felda United 0-3 Kelantan


Keadaan padang sendiri tidak menepati spesifikasi yang telah ditetapkan FAM menyebabkan pihak pengurusan Felda United terpaksa memilih untuk bermain suku akhir kedua di padang Sang Kijang. Kelebihan tersebut digunakan sebaik mungkin anak didik M. Karathu dengan menewaskan lawan dengan tiga jaringan. Bermula jaringan S. Chanturu pada pertengahan babak pertama, Nurul Azwan Roya mengandakan kedudukan pada babak kedua sebelum Nidzad Ayub tampil selaku "super sub" dengan jaringan ketiga pada minit akhir perlawanan untuk kemenangan besar keatas Felda United. Kemenangan tersebut membuka laluan kepada Kelantan layak ke separuh akhir menempah pertemuan dengan Selangor.

Separuh Akhir Pertama
Selangor 1-5 Kelantan


Kelantan turun dengan status underdog bagaimanapun mencatatkan kemenangan bergaya selepas menewaskan Gergasi Merah Kuning 5-1 dihadapan penyokong setia mereka, Berbekalkan sorakan hampir 20 000 penyokong sendiri, Kelantan tampil garang seawal babak pertama dengan dua jaringan jarak dekat Ramzul Zahini Adenan. Bersambung babak kedua, Kelantan terus mendominasi perlawanan dengan menambah tiga lagi jaringan melalui Nurul Azwan Roya, Mohd Badri Radzi dan Norshahrul Idlan Talaha. Cubaan demi cubaan "Red Giants" akhirnya membuahkan hasil untuk gol saguhati pada minit pertama masa tambahan.

Separuh Akhir Kedua
Kelantan 1-1 Selangor


Kemenangan besar keatas Selangor pada saingan separuh akhir pertama menggamit kehadiran puluhan ribu penyokong setia The Red Warriors ke gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu. Gol sepakan menarik Shakir Shaari pada awal babak pertama menambah keghairahan para penyokong untuk terus berpesta sepanjang perlawanan. Namun, gol penyamaan dari Rudie Ramli mengsunyikan seketika mulut penyokong Kelantan. Wisel panjang pengadil pada akhir perlawanan menggamatkan kembali sorakan Gomo Kelate Gomo, meraikan kejayaan sulung 2011, Kelantan ke pentas Final FA buat kali kedua sepanjang sejarah penganjuran bermula dari tahun 1990 lagi.

Perlawanan Akhir
Terengganu [ ? - ? ] Kelantan

Pertemuan seimbang dijangkakan bakal dipersembah kedua-dua pasukan dimana Terengganu dan Kelantan mempunyai peluang sama rata untuk muncul pemenang. Khabar angin tersebar deras mengatakan The Red Warriors menjual perlawanan demi memberi kemenangan kepada pasukan lawan pantas dinafikan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang media. Komen ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu yang ditemui sumber RedsFC-News mengatakan bahawa mereka dan Terengganu mempunyai kelebihan masing-masing dalam perlawanan 11 Jun nanti. Kita harapkan kedua-dua pasukan yang bertanding dapat memberikan aksi luar biasa dan menepati status selaku pertembungan terhangat merebut nama Gergasi Pantai Timur.

Mat Yo buru ‘Kasut Emas’

NORSHAHRUL berharap dapat mengekalkan momentum untuk terus memburu gol dalam pertemuan menentang Terengganu dalam final Piala FA, Sabtu ini.
15 jaringan dikumpul setakat ini jadi pembakar semangat

NORSHAHRUL Idlan Talaha membuktikan dia lebih berbisa daripada penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya, apabila meledakkan dua daripada tiga gol di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin, sehingga mematikan segala semangat tuan rumah.

Kini dengan 15 jaringan dikumpul dalam saingan Liga Super, jumlah yang sama dikumpul Abdul Hadi, membakar semangatnya bagi memburu gelaran penjaring terbanyak - sekali gus merebut Anugerah Kasut Emas, musim ini.
“Saya berharap dapat meneruskan rentak cemerlang bagi mengharumkan nama pasukan Kelantan dalam Liga Super musim ini.

Dua gol dijaringkan adalah hadiah bermakna kepada saya sendiri selain menyuntik semangat rakan untuk memburu impian menjuarai Liga Super musim ini.
“Tapi saya tetap menganggap dia (Abdul Hadi) adalah seorang penyerang yang hebat dan saya juga akan melakukan yang terbaik untuk pasukan ketika bertemu Terengganu dalam saingan final Piala FA nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo, berharap dapat mengekalkan momentum untuk terus memburu gol dalam pertemuan dengan Terengganu dalam final Piala FA, Sabtu ini.

Sementara itu, ketua jurulatih, M Karathu berbangga dengan kejayaan anak didiknya kerana mampu meraih kemenangan besar ke atas pasukan liat, Terengganu.
“Semua pemain menunjukkan kesungguhan terutamanya pada posisi tengah dan pertahanan yang dapat mengawal permainan dengan baik dan berjaya mematahkan serangan pihak lawan,” katanya

Skuad negara menentang Myanmar di Kota Bharu

SKUAD bola sepak kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal akan berkunjung ke Kota Bharu bagi mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Myanmar, 18 Jun ini selepas FAM bersetuju mengadakan perlawanan itu di luar Lembah Klang.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad keputusan dibuat selepas mempertimbangkan permohonan rasmi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menganjurkan perlawanan itu di Stadium Sultan Mohamed ke-IV.

“Keputusan ini akan memberi peluang kepada penyokong skuad kebangsaan di Pantai Timur melihat aksi pemain negara. Malah selepas perbincangan dengan Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah), selepas ini mana-mana persatuan negeri yang mahu menjadi tuan rumah perlawanan persahabatan antarabangsa boleh berbuat demikian asalkan stadium yang digunakan menepati standard yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media semalam.

Azzuddin berkata, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah memberikan kelulusan bagi perlawanan itu diadakan di stadium yang mempunyai kapasiti penonton sebanyak 18,000.

Skuad kebangsaan Myanmar yang dibimbing jurulatih Milan Zivadenovic akan tiba di Kota Bharu pada 16 Jun sementara skuad Malaysia akan berkumpul pada 15 Jun bagi sesi latihan pusat di Wisma FAM Kelana Jaya sebelum bertolak ke venue perlawanan pada 17 Jun.

Perlawanan persahabatan itu antara rangka persiapan Rajagobal dalam menyediakan skuad terbaik menjelang perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil 29 Jun ini dan akan bertandang ke gelanggang lawan pada 3 Julai.

Tiket bagi perlawanan di Kota Baharu berharga RM15 bagi tempat duduk terbuka, RM30 hingga RM50 bagi Grand Stand dan RM5 untuk kanak-kanak.

Kemboja benam skuad Olimpik

SKUAD Olimpik negara menerima tamparan hebat selepas kecundang 0-1 kepada Kemboja dalam siri persahabatan antarabangsa di Stadium Olimpik Phnom Penh,semalam - kira-kira 10 hari lagi menjelang perlawanan pra-Olimpik menentang Lubnan.


Jelas sekali kelebihan fizikal, stamina dan pengalaman milik skuad negara bimbingan Ong Kim Swee itu gagal dimanfaatkan sebaliknya tunduk kepada aksi lincah pemain tuan rumah.

Walaupun mengawal hampir keseluruhan permainan yang diiringi hujan lebat pada 20 minit terakhir, kepantasan barisan depan Kemboja melakukan serangan balas menjadi racun buat pelawat.

Skuad negara ketinggalan 0-1 pada minit ke-10 hasil permainan pantas tuan rumah yang berpunca daripada gerakan solo Kouch Sokumpheak sebelum dia merembat deras melepasi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (kiri).

Selepas rehat, Malaysia memulakan permainan dengan lebih terkawal tetapi beberapa hantaran kurang tepat menyaksikan lawan mudah memintas bola dan melakukan serangan balas.

Namun ketenangan Fadhli Shas dan Muslim Ahmad mempertahankan kubu negara berjaya menafikan beberapa percubaan Kemboja.

Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada anak buah Kim Swee yang berjuang hingga ke minit-minit terakhir walaupun terpaksa bermain dengan keadaan padang yang becak dan bertakung.

Catatan Popular