KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 5 Mac 2011

Kelantan Layak Ke Suku Akhir

PASIR GUDANG – Pendahulu Liga Super, Kelantan mudah melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA semalam apabila mengetepikan Johor FC dengan jaringan 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium J-Corp, Pasir Gudang, malam tadi.

Kelantan yang membariskan hampir kesemua kesebelasan utama mereka kecuali penjaga gol utama kebangsaan, Mohd Khairul Fahmi yang diganti penjaga gol kedua negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Mohd Sharizan Ismail.

Kelibat pemain jersi nombor 12, Mohd Nurul Azwan Roya dan pemain kebangsaan, NorShahrul Idlan Talaha nyata membuatkan pasukan tuan rumah goyah pada separuh masa pertama.

Gol sulung skuad Kijang muncul hasil tandukan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi yang menyambut kemas hantaran silang Nor Shahrul Idlan Talaha pada minit ke-9.

Mohd Badhri hampir menambah satu lagi gol melalui sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-25 namun gagal apabila berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Johor FC, Mohd Anis Faron.

Sokongan padu diiringi pukulan gendang penyokong skuad kijang membuatkan barisan anak buah M Karathu semakin rancak melancarkan serangan.

Usaha anak buah bimbingan Azuan Zain untuk menyamakan kedudukan hampa apabila sepakan percuma pemain nombor 15, Mohd Riduwan Maon pada minit ke-43 gagal disempurnakan.

Perlawanan semalam turut dicemari beberapa oleh beberapa insiden kecil apabila penyokong kedua-dua belah pasukan saling melakukan provokasi antara satu sama lain pada waktu rehat sebelum separuh masa kedua bermula namun kecekapan polis berjaya mengawal keadaan.

Babak kedua menyaksikan penjaga gol Kelantan terpaksa bekerja keras dalam memastikan gawang tidak dibolosi ekoran asakan bertali arus yang dilancarkan oleh pemain tuan rumah, Johor FC.

Pasukan pelawat yang menguasai perlawanan hampir menambah mata namun sepakan padu Mohd Badhri tepat di hadapan gawang gol berjaya di tangkis keluar oleh Mohd Anis.

Pemain nombor 11 Johor FC, Khairi Kiman hampir membuatkan pasukan pelawat berada di kedudukan selesa apabila hampir menyumbat gol sendiri pada minit ke-76 apabila cuba menghantar bola kepada penjaga gol namun bernasib baik apabila tandukannya itu hanya terkena tiang gol.

Pasukan tuan rumah terus tempang apabila hanya beraksi dengan 10 pemain setelah pemain gentian, Wan Mohd Haoesne Wan Hassan dilayangkan kad merah pertama perlawanan setelah mengasari Mohd Bahdri pada minit ke-79.

Namun pada minit ke-80, pengadil perlawanan, Mohd Yusoff Mat Karim terpaksa memberhentikan perlawanan selama dua minit berikutan insiden baling botol daripada penyokong tuan rumah.

Insiden itu menyebabkan rentak pasukan tuan rumah terganggu.

Sementara itu, Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu ternyata menjadi orang yang paling gembira sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan pengadil berikutan kejayaan pasukannya mengekalkan pencapaian rekod tanpa kalah dalam musim ini apabila pasukannya menewaskan tuan rumah Johor FC 1-0.

“Perlawanan ini adalah penting bagi Piala FA dan sememangnya pasukan kami mengejar kemenangan bagi mengekalkan rekod tanpa kalah yang dipegang sekarang.

“Aksi babak separuh masa pertama kita mempunyai banyak peluang, namun sekadar memperoleh satu gol sahaja sehingga masa penamat.

“Apa yang pasti, pasukan Kelantan berjaya melangkah ke perlawanan suku akhir dan saya tidak mahu mengulas lebih lanjut berhubung insiden layangan kad merah kepada pemain Johor FC,” katanya.

Bagi Jurulatih Johor FC, Azuan Zain berkata, secara keseluruhan pasukannya sudah bermain dengan baik dan persembahan anak buahnya wajar mendapat pujian walaupun kalah kepada pasukan pelawat.

“Saya melihat pasukan ini mempunyai masalah pada barisan serangan kerana setiap peluang yang hadir pada babak separuh masa pertama dan kedua sering kali tidak menemui penyudahnya malah ia berlaku di setiap perlawanan.

“Pasukan saya tidak mempunyai sebarang masalah di bahagian tengah dan pertahanan. Kita menerima padah apabila barisan depan gagal menjaringkan gol,” katanya.

Selain itu, Azuan ketika mengulas insiden layangan kad merah kepada Wan Mohd Hoesne Wan Hassan berkata, pengadil sewajarnya perlu memberikan kad kuning (amaran).

“Saya tidak berapa jelas dengan tindakan yang dibuat olehnya (Wan Mohd Hoesne) kepada pemain pelawat malah jika terjahan dibuat itu keras, sudah pasti pemain pelawat tidak boleh bermain lagi,” katanya.

Piala FA 2011:Jadual Suku Akhir/P3

Selangor tunggu Kelantan...
Semua perlawanan akan diadakan secara timbal balik pada 15 dan 19 march ini.

sumber kelatefc

Piala FA 2011 : Johor FC 0 - 1 Kelantan

Kelantan mara ke pusingan ketiga setelah menang tipis keatas Johor FC hasil jaringan ketua pasukan,Badri Radzi pada minit ke-10 perlawanan.

Kelantan bakal bertemu Felda United nanti di Kota Bharu,Tahniah Kepada sumua pemain kerana tidak menghampakan penyokong-penyokong setia.

Keputusan-keputusan lain :


ATM 2 - 3 Terengganu

Felda Utd 1 -0 Kedah

PKNS 1 - 3 Pahang

Selangor 2 - 1 Harimau Muda B

Perak 3 - 0 Sime Darby

Harimau Muda A 1 - 2 Johor

Negeri Sembilan 0 - 0 K.Lumpur
(K.L menang penalti 4 - 2) setelah tambahan masa masih 0 - 0

Jumaat, 4 Mac 2011

Disiplin Penyokong Kelantan


Assalamualaikum w.b.t.

Tahniah buat THE RED WARRIOR atas kejayaan menumbangkan Negeri Sembilan tempoh hari. Semoga kejayaan sentiasa menjadi milik kita, insyaallah. Tetapi bukan itu sebenarnya yang ingin saya perkatakan tetapi mengenai DISIPLIN penyokong-penyokong kita.

Kadang-kadang saya sendiri malu melihat karenah penyokong-penyokong kita yang terlalu fanatik hingga berlaku pergaduhan sesama sendiri. Tidak salah anda menjadi penyokong tetapi SALAH jika anda tidak pandai menjaga DISIPLIN & NAMA BAIK pasukan kita.

Apa yang ingin saya luahkan adalah mengenai tingkahlaku segelintir penyokong yang suka membaling objek pada kaum hawa yang masuk ke dalam stadium dan juga balingan objek ke dalam padang. Apa yang ingin saya tekankan adalah berkaitan dengan balingan objek pada kaum hawa. Apa salah mereka jika mereka juga turut meminati sukan bola sepak dan tidak pernah ada larangan bahawasanya kaum hawa tidak dibenarkan masuk stadium untuk menyaksikan bola sepak.

Saya salah seorang penyokong setia bola sepak Kelantan, setiap kali ada kesempatan dan masa saya akan pergi ke stadium untuk menyaksikan pasukan kesayangan saya beraksi. Apa yang saya pelik, jika saya ke stadium luar selain SSMIV, penyokong-penyokong kita tidak pula memperlihatkan sikap jakun (darak).

Tiada pula objek-objek seperti bekas air melayang ketika kaum hawa berjalan masuk ke stadium tapi lain sungguh di Kota Bharu.
Jika kelibat kaum hawa sedang berjalan masuk, mencari tempat duduk maka boleh dilihat bermacam-macam objek melayang. Tidak cukup dengan itu,macam2 maki hamun disertakan bersama layangan objek-objek tersebut. Bagi saya sikap begitu sungguh memalukan.

Cuba anda bayangkan jika kaum kerabat anda yang terkena seperti apa yang kaum hawa tersebut kena. Tentu anda akan marah dan maki hamun tidak tentu pasal. Macam tu la juga orang yang terkena itu rasa. Anda perlu fikir sebelum membuat sesuatu tindakan yang tidak mendatangkan kebaikan malah menambahkan lagi keburukan.

Seperti apa yg berlaku tempoh hari. Kakak saya cerita ada kes bergaduh sesama sendiri disebabkan si suami/kekasih kaum hawa tersebut marah apabila isteri/kekasih terkena objek yang dibaling. Anda sendiri fikir la samada berbaloi ke anda bertindak demikian pada orang yang tidak bersalah. Anda marah jika kita dilabelkan sebagai penyokong ganas tetapi kita sendiri tidak pernah berusaha untuk membuktikan bahawa kita tidak seperti apa yang orang luar fikir.

Patut la saya lihat di SSMIV tidak ramai kaum hawa yang BERANI datang. Saya pernah bertanya pada seorang peminat bola juga kaum hawa. Saya tanya kenapa tidak pernah nampak dia di SSMIV sedangkan di stadium lain selalu sangat saya nampak dia. Dia cakap dia tidak berani masuk sebab takut kena baling. Kawan dia pernah kena baling walaupun masuk dengan suami dia.

Saya sendiri bila ke SSMIV terpaksa masuk awal bagi mengelak dibaling. Anda nilai la sendiri, sampai macam tu sekali orang takut nak jejak kaki ke SSMIV. Saya rasa salah tempat anda nak tunjuk gedebe, yang buruk nama adalah kita semua, penyokong kelantan.

Saya harap sesiapa yang terasa sila la ubah sikap dan cara anda. Jangan terlalu kuno, kami sebagai kaum hawa juga minat dengan sukan bola sepak. Tidak salah kami menyokong pasukan kesayangan kami. Luahan saya ini adalah untuk kebaikan bersama dan berharap agar semua penyokong kita berubah. Alhamdulillah sekarang saya tengok di SSMIV sudah jarang kedengaran bunyi mercun dan kadang-kadang dalam 1 game tidak pernah langsung kedengaran bunyi mercun.

Tahniah penyokong kelate… Sokong bia bijok…

Gomo kelate gomo.

Sekadar luahan,

Yaya (Kelate Dot Net Lemboh Keley)

sumber kelate.net

Kelantan Tak Rela Diratah



NORSHAHRUL (tengah) menjadi sandaran Kelantan pada aksi Piala FA bertemu Johor FC malam ini.

AKSI konsisten yang dipamerkan anak-anak buah Datuk M. Karathu dalam setiap perlawanan menghadirkan bayangan bahawa Kelantan tampak bersedia untuk mencabar gelaran dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Kredibiliti Kelantan selaku pendahulu Liga Super pastinya mahu diteruskan oleh barisan pemainnya apabila berkunjung ke Stadium JCorp, Pasir Gudang bertemu Johor FC pada perlawanan pusingan kedua Piala FA malam ini.

Berdepan dengan pasukan yang menghuni tangga ke-12 dalam carta liga serta berdasarkan aksi semasa, The Red Warriors dijangka tidak berdepan laluan sukar untuk menjinakkan Johor FC seperti yang dilakukan pada perlawanan liga Februari lalu.

Beraksi dalam saingan kalah mati ini, kedua-dua pasukan baik Kelan- tan mahupun Johor FC, tidak boleh mendabik dada mengatakan pasukan mereka mampu melangkah mudah ke pusingan seterusnya.

Jika formasi di atas kertas menjadi ukuran, ia tampak memihak kepada Kelantan.

Namun, dari segi matematiknya cukup mudah, pasukan yang kurang melakukan kesilapan serta bijak memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh, maka pasukan tersebut akan dinobatkan sebagai pemenang seterusnya mara ke peringkat suku akhir.

Begitupun, kemampuan anak didik Azuan Zain perlu diberikan perhatian, kemampuan mengikat juara bertahan Liga Super Selangor dan Felda United serta mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri tidak boleh dipandang enteng oleh Kelantan.

Meskipun dibelasah teruk oleh Terengganu 3-0 pada perlawanan Selasa lalu, pasukan yang diberi jolokan Sang Lebah pasti akan turun bermati-matian untuk memusnahkan impian Kelantan mara ke pusi- ngan seterusnya.

Seandainya menang pada perlawanan malam ini, ia merupakan tonik buat skuad bimbingan Azuan untuk melakar lebih banyak keja- yaan selepas ini.

Bagi Karathu, perlawanan malam ini cukup penting buat pasu- kannya jika mahu layak ke pusi- ngan suku akhir.

Meskipun turun tanpa kelibat penyerang lincah, Muhammad Ram- zul Zahini Adenan yang mengalami kecederaan ketika membenam Negeri Sembilan Selasa lalu, beliau berkata, ketiadaan pemain itu tidak merencatkan perancangannya untuk mengharungi perlawanan malam ini.

“Kita bermain seperti biasa, mungkin dengan formasi 4-5-1 dengan Norshahrul Idlan (Talaha) seperti biasa diberi tugas sebagai penggempur. Danial Fadzly (Abdullah) dan S. Chanturu pula berperanan sebagai pembantunya.

“Saya tidak memandang mudah pertemuan dengan Johor FC malam ini.

“Perlawanan ini berbeza sama sekali dengan perlawanan liga, kita berada dalam situasi kalah mati dan pemain harus bersedia dengan kekuatan mental dan fizikal sekira- nya berlanjutan ke masa tambahan ataupun penentuan sepakan penalti,” katanya.

Tambahnya, apa yang penting, pemain harus memberi sepenuh perhatian sepanjang perlawanan itu kelak.

“Sudah pasti kita akan lebih berhati-hati kerana Johor FC tidak mahu kecundang lagi setelah mereka tewas 0-3 kepada Terengganu dalam saingan Liga Super baru-baru ini.

“Kita ke Johor Bahru dengan satu matlamat iaitu mencipta kemenangan. Sekiranya pemain membawa karakter iaitu bermain untuk menang serta mempunyai kekuatan mental ke arah tersebut, saya percaya pasukan kita mampu melangkah ke pusingan suku akhir,” ujarnya.

Isu tiket..Penyokong TRW minta penjelasan KAFA


Rumah siap pahat masih berbunyi…itulah ungkapan yang sesuai dilontarkan ekoran ketidakpuasan segelintir penyokong-penyokong Kelantan yang tidak dapat memasuki stadium walaupun telah membeli tiket perlawanan.

Walaupun Kelantan telah memahatkan memori indah pada malam tersebut kerana berjaya membelasah musuh utama Negeri Sembilan namun isu ini sedikit sebanyak telah merencatkan keriangan penyokong-penyokong.

Pihak pengurusan KAFAterutamanya presiden Tan Sri Annuar Musa perlu memberi penjelasan tentang isu ini kerana ada segelintir penyokong mendakwa tiket pada malamtersebutdijual melebihi tempat duduk yang disediakan.

Mereka juga mendakwa tiket perlawanan dijual semula setelah penyokong memasuki stadium,ini menyebabkan Stadium Sultan Muhammadke-IV yang hanya boleh menampung 25000 orang pada satu-satu masa menjadi sesak dengan penyokong-penyokong yang ingin menyaksikan perlawanan tumpuan tersebut.
Sebahagian Penyokong-penyokong yang tiada tempat duduk
Ada juga tuduhan yang mengatakan pihak KAFA sengaja menjual tiket berlebihan kerana ingin mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana penyokong terpaksa ke stadium kerana tiada siaran langsung melibatkan perlawanan tersebut. Kegilaan penyokong-penyokong The Red Warriors terhadap bolasepak sekarang memang tidak boleh dibendung lagi dan berada dikemuncak setelah pasukan Kelantan sekarang merajai takhta liga super tanpa sebarang kekalahan lagi.
Isu keselamatan juga perlu diutamakan KAFA kerana pada perlawanan tersebut penyokong terpaksa berhimpit-himpit sehinggakan ada kanak-kanak yang sesak nafas.Penyokong-penyokong yang tidak dapat melihat perlawanan dilihat memanjat pagar atau penghadang tempat duduk masuk semata-mata ingin menyaksikan pemain-pemain kesayangan mereka beraksi,ini membahayakan nyawa mereka kerana risiko terjatuh.
Isu ini sebenarnya menjadikan KAFA seperti ‘diluah mati emak ditelan mati bapak’kerana jika KAFA memperuntukan tiket yangsedikit,penyokong-penyokong yang tidak dapat membeli tiket perlawanan pastikan marah tetapi mereka tidak sedar bahawa Stadium kita bukanlah seperti Stadium negeri lain yang boleh menampung jumlah penyokong yang ramai.
Aksi berbahya penyokong Kelantan
Isu ini tidak akan selesai selagi Stadium baru tidak dibina,masalah ini akan berlanjutan tanpa penyelesaian…Marilah sama-sama kita berdoa agar Kelantan akan mendapat stadium baru dan penyokong-penyokong Kelantan tidak perlu bersesak-sesak lagi untuk memasuki stadium serta dapat menonton perlawanan dengan selesa dan tenang
Diharapkan KAFA dapat mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif selepas ini bagi menangani isu ini.

Khamis, 3 Mac 2011

Kelantan dalam kelas tersendiri


NORSHAHRUL (tengah) membuktikan dirinya sebagai penggempur berbisa dalam skuad Kelantan pada aksi menentang Negeri Sembilan kelmarin.


KELANTAN berada pada kelas tersendiri apabila membenam cabaran Negeri Sembilan 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Apa yang nyata, ia adalah suatu yang cukup sempurna untuk diraikan seluruh kem Kelantan ketika pencabar utama, Perak hanya sekadar berkongsi mata selepas mencatat keputusan seri dengan Harimau Muda A sekali gus membolehkan The Red Warriors mendahului kedudukan liga dengan kelebihan dua mata.

Skuad yang dibimbing jurulatih Datuk M. Karathu itu bingkas daripada aksi hambar pada babak pertama perlawanan dengan mempamerkan permainan yang cukup bertenaga sehingga memaksa bahagian pertahanan Negeri Sembilan terpaksa bekerja keras.

Menurut Karathu, keyakinan anak-anak buahnya berada pada tahap yang cukup baik selepas keluar daripada bilik persalinan untuk aksi babak kedua selain komitmen serta disiplin yang ditunjukkan terutama di benteng pertahanan.

"Apabila pemain tidak meragui keyakinan yang ada pada mereka, sasaran akan menjadi jelas. Nyata mereka (pemain) mahukan kemenangan dan itu yang dilakukan pada perlawanan malam tadi (kelmarin).

"Sasaran kami adalah untuk sentiasa menunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan.

"Kami mahu menjadi pasukan yang kompetitif dan sentiasa bersedia memberi saingan," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, babak pertama perlawanan menyaksikan Kelantan dan Negeri Sembilan bergilir-gilir melakukan serangan menyebabkan keseluruhan permainan yang dipamerkan agak pantas sehingga menyebabkan tekanan terhadap pemain agak tinggi.

Jelasnya, separuh masa kedua beliau menukar sedikit taktikal pasukan dengan menggunakan Nurul Azuan Roya dan S Chanturu yang berada di bahagian sayap untuk melancarkan gerakan.

"Separuh masa pertama kita cuba bawa masuk bola melalui kawasan tengah dan itu menyebabkan kita kerap kehilangan bola kerana Negeri Sembilan memiliki pemain yang cukup baik. Kemudian kita menyerang menggunakan pemain sayap dan perubahan tersebut berhasil.

"Pujian juga harus saya berikan kepada kesemua pemain terutama di bahagian pertahanan yang cukup kental mengekang asakan lawan. Semua pemain telah memainkan peranan dengan baik," katanya.

sumber kosmo

Norshahrul Idlan Pilihan Peminat.




Penyerang utama The Red Warriors, Norshahrul Idlan Talaha dinobatkan pemain terbaik Kelantan untuk bulan Februari. Norshahrul Idlan dipilih berdasarkan undian peminat yang diterima di laman Blog Kelatewaz.

Undian yang mula dibuka di Blog Kelatewaz pada 25 Februari menerima 328 undian dari peminat setia pasukan Bola Sepak Kelantan dimana Norshahrul Idlan Talaha mendapat undian tertinggi dari lima pemain tersenarai iaitu sebanyak 190 undian (57 %).

Pemain sayap, Nurul Azwan Roya pula berada di kedudukan kedua selepas mendapat 66 undian (20%) manakala penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat di kedudukan ketiga dengan selepas menerima 57 undian (17 %) dari peminat.

Dua lagi pemain, Mohd Badri Radzi serta Ramzul Zahini Adenan pula hanya menerima 1-3 % dari keseluruhan undian.

- Ulasan Kelatewaz -

Pilihan yang dilakukan para peminat sememangnya tepat selepas Norshahrul terus membuktikan ketajaman didepan pintu gol apabila berjaya menghasilkan enam jaringan setakat ini buat pasukan Kelantan.

Malah, Norshahrul turut menempatkan diri selaku pemain kesayangan penyokong dengan aksi terbaik dipamerkan pada setiap perlawanan.

Paling membanggakan, gol jaringan Norshahrul Idlan pada perlawanan menentang Kedah dan Negeri Sembilan memberi mata berharga buat Kelantan terus unggul di persada Liga Super.

Sebelum ini, anak kelahiran Besut ini turut menerima pujian melambung dari peminat selepas membantu pasukan Kebangsaan menjulang Piala AFF buat kali pertama.

Banyak kelemahan perlu diatasi

KOTA BHARU – Walaupun berjaya membenam Negeri Sembilan dengan kemenangan 3-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam semalam, namun masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi pasukan Kelantan untuk menghadapi perlawanan liga seterusnya.

Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim mengakui di sebalik kejayaan Kelantan berjaya mengutip tiga mata dalam perlawanan tersebut, namun pada masa yang sama, beliau tidak mahu pemainnya berpuas hati dengan kemenangan tersebut.
“Sudah pasti kita gembira dengan kemenangan ini, lebih-lebih lagi mengalahkan Negeri Sembilan di hadapan penyokong sendiri. Namun, saya tidak mahu pemain Kelantan mendabik dada mengatakan itu adalah persembahan terbaik kita setakat ini.

“Kalau kita lihat pada separuh masa pertama, aksi pemain kita serba tidak menjadi dengan banyak hantaran tidak tepat dilakukan oleh pemain. Malah banyak gerakan kita mudah dipatahkan benteng pertahanan lawan. Mujur pasukan Negeri Sembilan tidak dapat menjaringkan gol awal, kalau tidak, keputusan perlawanan sudah pasti berbeza.

“Namun, tidak dinafikan gol pada awal babak kedua hasil jaringan S Chanturu berjaya merubah rentak permainan pemain kita dalam perlawanan tersebut. Hasilnya, corak permainan kita kembali agresif dan kita berjaya menjaringkan dua gol selepas itu,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan pemain Kelantan secara keseluruhan dalam perlawanan itu, Azman mengakui persembahan yang ditunjukkan pemainnya tidak mencapai tahap kemampuan yang sebenar dimiliki sebagai pasukan bergelar juara bola sepak.

“Ada dua atau tiga pemain yang diturunkan masih belum mempunyai tahap keyakinan yang tinggi. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Perjalanan liga masih jauh kerana kita baru mengharungi enam perlawanan liga setakat ini.

Ditanya mengenai kecederaan yang dialami S Chanturu dan Muhammad Ramzul Zahini Adenan dalam perlawanan itu, Azman berharap situasi itu tidak memberi kesan kepada prestasi semasa pasukan Kelantan,

“S Chanturu mengalami kekejangan otot, tetapi saya percaya dia mampu pulih dalam masa terdekat. Cuma yang membimbangkan nasib Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) yang mengalami kecederaan hamstring. Dia mungkin perlu berehat sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan.

“Namun kita tidak mempunyai masalah kerana mempunyai pemain lain seperti Mohd Nizab (Ayub) Solehin (Kanasian Abdullah) malah S Chanturu juga boleh memikul tanggungjawab beraksi diposisi serangan,” katanya.

Catatan Popular