KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 25 Februari 2011

Rekod Pertemuan Liga Super
Kedah dan Kelantan

Liga Super 2009:

Kedah 1-2 Kelantan
Kedah: Badrol Bakhtiar (Pen) (m-25), Kelantan: Farhan (m-61), Khalid (m-65)
Kelantan 0-1 Kedah
Wan Zaim Wan Azizan (m-49)

Piala Malaysia 2009:

Kelantan 1-0 Kedah
Indra Putra Mahayudin (m-49)
Kedah 1-0 Kelantan
Sabree Abu (m-45)

Piala FA 2010:

Kedah 0-0 Kelantan
Kelantan 1-1 Kedah
Kelantan: Indra Putra Mahayudin (m-71), Kedah: Badrol Bakhtiar (m-74)

Liga Super 2010:

Kelantan 0-1 Kedah
Azlan Ismail (m-41)
Kedah 0-0 Kelantan

Kedah mln Kelantan




Sang Kijang turun berdepan lawan sebenar apabila bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk saingan Liga Super 2011 menentang Kedah.

Perlawanan sebelum ini menyaksikan Kelantan terpaksa bergelut dengan prestasi untuk menewaskan T-Team FC dalam saingan Piala FA manakala Kedah pula tidak bermain setelah mendapat 'bye' ke pusingan kedua.

Untuk rekod pertemuan kedua-dua pasukan sepanjang 2010, Kelantan menewaskan Kedah dalam penentuan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia namun dalam saingan Liga dan Piala FA, Kedah lebih bernasib baik untuk mengatasi Kelantan.

Bagi Kelantan, prestasi hebat permulaan musim 2011 menjadi tanda aras kepada mereka untuk mencapai kejayaan di Alor Setar malam nanti dan Kedah pula pasti tidak mahu sekali lagi mengecewakan hati peminat setia mereka yang terguris setelah persembahan hambar dalam perlawanan sebelum ini.

Melihat pada prestasi semasa dan purata jaringan setiap perlawanan, Kelantan memiliki peluang besar untuk menang setelah Kedah hanya mampu menjaringkan satu gol melalui sepakan penalti selepas empat perlawanan.

Saingan 90 minit di Stadium Darul Aman akan menjadi detik yang dinanti-nantikan para peminat kedua-dua pasukan setelah pertembungan sebelum ini menyaksikan perlawanan sengit ditunjukkan dari babak awal sehingga wisel penamat.

Namun, segalanya belum muktamad dan Ahmad Yusof ketika ini berada diatas zon tekanan kerana harapan tinggi peminat Sang Kenari untuk menyaksikan beliau dan anak buahnya dapat menamatkan permulaan buruk. Walau apa jua alasan yang diberikan, tiga mata wajib diraih dan kesebelasan utama yang dipilih diharuskan memberi aksi terbaik bagi menghapuskan seketika kritika yang dilontarkan kepada pemain dan pengurusan Kedah sewaktu ini.

Di kem Kelantan, para pemain dan pihak pengurusan pasti mahukan kemenangan sebagai hadiah pertama buat Datuk M. Karathu yang menyambut hari lahirnya pada hari kelmarin. Bukan senang mahu menundukkan Kedah sementelah pula beraksi di gelanggang lawan namun mereka pasti berjuang habis-habisan demi penghormatan buat ketua jurulatih baru tersebut.

Formasi

Kedah.

Ahmad Yusof menerima kritikan demi kritikan dari peminat pasukan Kedah kerana menampilkan corak tidak menarik bagaikan ketandusan idea menyebabkan skuad Kenari hanya mampu membolosi gawang lawan hanya sekali dari empat perlawanan Liga Super.

Tidak diketahui dimana silapnya bagi kem Kedah ketika ini kerana dengan barisan pemain yang sedia ada termasuk dengan kehadiran beberapa pemain yang beraksi dalam skuad negara, mereka langsung gagal menjaringkan gol yang diperlukan.

Dijangkakan dalam perlawanan ini, berlaku sedikit perubahan formasi dari Ahmad Yusof bagi menambah keinginan para penyerang untuk menembusi gawang Sang Kijang. Mungkin taktikal 4-4-2 atau 4-3-3 bakal diterjemahkan dengan mengharapkan jentera tengah lebih kreatif mengatur gerak melalui sayap dan melakukan hantaran lebih kerap kedalam kawasan penalti Kelantan.

Kelantan

Seperti biasa, Datuk M. Karathu pasti mahukan yang terbaik dari pemain Kelantan dalam setiap perlawanan dan setakat ini, setiap taktikal yang diatur berjaya dituruti para pemain dan empat kemenangan dari lima perlawanan membuktikan sentuhan mantan jurulatih Perak tersebut masih berbisa.

Setakat ini, dua corak digunakan M. Karathu iaitu formasi 4-5-1 dalam dua perlawanan awal dan 4-4-2 pada tiga perlawanan seterusnya. Dijangkakan formasi 4-4-2 bakal digunakakan Karathu bagi memberikan lebih ruang buat pemain penyerang melakukan serangan dengan lebih kerap.

Taktikal 4-5-1 mungkin diguna pakai andai Kelantan bertandang dengan niat mencatatkan seri atau mahu melakukan jaringan melalui serangan balas dan tidak mahu memberi tekanan pada bahagian benteng tetapi ia akan memberi kesan kepada pemain serangan yang bertindak keseorangan.

Karathu pasti tidak mengambil risiko dengan menerapkan taktikal yang mampu memberikan kelebihan pada pasukan lawan namun dalam perlawanan besar seperti ini kita harapkan Kelantan lebih agresif mengatur serangan kearah kubu pasukan lawan.

Kesebelasan Jangkaan

Kedah.


Berdasarkan pertemuan dengan Perak baru-baru ini, posisi penjaga gol pasukan Kedah diisi AL Hafiz Johari. Mungkin penjaga gol muda ini akan terus dikekalkan untuk melawan Kedah.

Bagi posisi pertahanan, Kedah dijangka menurunkan pertahanan Kebangsaan, Sabree Abu untuk mengetuai jentera benteng. Kemungkinan besar V.Thirumugan, Azmi Muslim dan Fauzie Nan turut dikekalkan dalam skuad untuk mengawasi penyerang Kelantan. Selain mereka berempat, Kedah tidak ketandusan pemain simpanan terbaik di posisi pertahanan kerana mereka turut memiliki Fazliata Taib, Shafizan Hashim serta dua pemain muda yang mampu menggalas tugas jika diperlukan.

Posisi tengah pula menghadapi tugasan berat untuk merencana serangan kearah kubu Kelantan dalam perlawanan ini. Namun, Ahmad Yusof pasti mahukan pemain yang diturunkan nanti dapat memberikan aksi lain dari perlawanan sebelum ini. Dijangka gandingan Badrol Bakhtiar, Amar Rohidan, Khairul Helmi Johari dan Ahmad Fauzie Shaari selaku ketua pasukan akan terus diletakkan dalam kesebelasan utama manakala Fiqry Isa dan Khayril Muhaimeen kekal di bangku simpanan.

Pemain serangan bakal mempertaruhkan penyerang kebangsaan, Ahmad Shakir Ali selaku penyerang utama dan rakan gandingan pemain ini mungkin menjadi rebutan antara Azlan Ismail dan Mohd Firdaus Fauzi. Berdasarkan perlawanan lepas, Azlan Ismail dilihat lebih berkeupayaan untuk diletakkan dalam kesebelasan utama kerana rekod jaringan pemain ini menentang bekas pasukan diwakili dilihat sangat baik. Mungkin Ahmad Yusof akan memberi Azlan Ismail dan Shakir Ali di permulaan pertama dan meletakkan Firdaus Fauzi serta beberapa penyerang lain di bangku simpanan.

Kelantan


Kelantan tidak tertekan untuk menurunkan barisan pemain dalam kesebelasan utama kerana pada waktu ini hampir kesemua pemain bebas dari masalah kecederaan kecuali S. Chanturu yang masih bergelut untuk sembuh dari kesakitan lutut.

Dijangkakan, penjaga gol nombor satu Malaysia ketika ini, Khairul Fahmi Che Mat akan diturunkan selaku pemain pertama dengan Mohd Shahrizan terus mengisi posisi simpanan buat kesekian kalinya. Walaupun baru pulang dari tugasan antarabangsa, Khairul Fahmi terus diharapkan kerana prestasi konsisten setiap perlawanan memberikan beberapa keputusan terus berpihak buat Sang Kijang.

Bahagian pertahanan pula kelibat Rizal Fahmi Rosid bersama dengan Farisham Ismail, Daudsu Jamaludin dan Zairul Fitree Ishak dalam kesebelasan utama. Namun Karathu masih mempunyai pilihan jika berlaku sebarang kecederaan kepada pemain utama kerana Wan Rohaimi, S. Subramaniam dan Aziz Ismail turut cergas untuk diturunkan.

Posisi tengah turut dijangka kekal dengan pemain sedia ada kerana Badri Radzi, selaku ketua pasukan Nurul Azwan Roya, Shakir Shaari dilihat menampilkan aksi baik setakat ini untuk membantu Kijang. Perlawanan ini juga menjadi detik istimewa buat seorang lagi pemain sayap Kelantan, Solehin Kanasian Abdullah kerana akan melawan bekas pasukan yang dibantunya pada 2007 mencatatkan kejuaraan treble. Jika diturunkan dalam kesebelasan utama, pastinya dia diharapkan memberikan persembahan menarik didepan peminat setia pasukan tuan rumah. Jika Karathu memilih untuk merehatkan Solehin, kemungkinan besar, Zulyusri atau Nidzad Ayub dijangka akan berada di posisi sayap kanan.

Pemain penyerang pula terus mengekalkan Norshahrul Idlan dan Ramzul Zahini dimana dua penyerang ini sudah membuktikan gandingan mereka mampu memberikan pulangan lumayan kepada pasukan Kelantan. Berhasil menterjemahkan lima gol dari sembilan jaringan keseluruhan setakat ini sudah cukup menunjukkan ketajaman mereka berdua di hadapan pintu gol pelawat. Dan Karathu pasti mengharapkan dua pemain ini terus berada dalam prestasi terbaik untuk membolos gawang pasukan Kedah. Khalid Jamlus kekal selaku penyerang simpanan namun jika pihak kejurulatihan mahukan sedikit kelainan, kemungkinan dia bakal dimasukkan selaku penyerang utama dengan Ramzul atau Norshahrul bakal direhatkan buat seketika.

Yang pastinya, Karathu mahukan anak buahnya dapat mencari jaringan di tempat lawan sambil mengharapkan pemain utama yang diturunkan tidak mengalami kecederaan serius. Perlawanan selepas ini menyaksikan Kijang bakal bertemu antara pasukan pilihan dan jikalau berlaku sesuatu pada pemain yang diturunkan, mungkin sedikit kesusahan bakal dialami dalam percaturan pasukan untuk mencari kejuaraan sulung saingan Liga Super.

Penyokong.

Seperti biasa, arena Darul Aman dijangka terus bergegar dengan sorakan emosi penyokong setia kedua-dua pasukan. Seperti pertemuan sebelum ini, puluhan ribu penyokong kedua-dua pasukan akan bertandang ke venue perlawanan. Diharapkan mereka semua terus menampilkan semangat kesukanan tinggi seperti mana ditunjukkan pada musim lepas. Talian persaudaraan antara penyokong Kedah dan Kelantan begitu tinggi dan biarlah ia kekal tanpa membawa sebarang insiden yang akan mencemarkan nama pada kedua-dua penyokong.

Datang Beri Sokongan Bukan Datang Bawa Hukuman, Bola Sepak Kita, Sokongan Bukan Ketika Menang kerana Sokonga Kita Untuk Sepanjang Zaman.

Ramalan Keputusan Kelatewaz
Kedah 1-3 Kelantan

Khamis, 24 Februari 2011

Kelantan perlu tonik

Kelantan bakal menghadapi Kedah dalam saingan Liga Super esok di Alor Star.Setelah bernasib baik hanya menang melalui sepakan penalti menentang T.Team,Kelantan sekali lagi diuji oleh satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan Kelantan iaitu Kedah musim lalu dalam saingan liga.

Walaupun pasukan Kedah telah kalah sekali dalam saingan liga super iaitu kepada Sabah,Pemain-pemain Kelantan seharusnya tidak memandang mudah pertemuan ini.Kedah yang membariskan ramai pemain kebangsaan sudah pasti ingin memadam rekod Kelantan yang belum kalah selepas empat perlawanan liga.

Sejak akhir-akhir ini kita boleh lihat kemerosotan beberapa pemain Kelantan yang ternyata telah merencatkan permainan keseluruhan pasukan.Aksi kapten pasukan,Piya ternyata dibawah prestasi sebenar beliau.Beliau sekarang lebih gemar bermain dibahagian serangan dan bahagian tengah yang ditinggalkannya dilihat kurang berfungsi kerana ketiadaan beliau.

Apa yang menghairankan Nizab Ayub masih lagi diberi kepercayaan oleh M.Karathu walaupun aksi beliau cukup membosankan...seolah-olah beliau adalah 'anak emas' kepada pasukan.

Perlawanan-perlawanan sebelum ini membuktikan bahawa bahagian sayap kanan Kelantan gagal mencipta ruang buat penyerang dan perlu perubahan drastik.K.Soley,Ramzul dan Nizab yang pernah diletakkan dibahagian ini telah gagal memainkan peranannya.,mengapa dan kenapa?

Ketua jurulatih M.Karathu perlu menambah tonik kepada pasukan andai ingin melihat Kelantan berjaya mengatasi Kedah jumaat ini.Pesan kepada Karathu jangan endahkan 'tangan-tangan ghaib' yang cuba mempengaruhi corak taktikal beliau,kita tidak mahu lihat kisah lama semasa B.Sathinathan berulang kembali.Kita juga tidak mahu melihat skuad 'kroni atau anak-beranak' menguasai pasukan,gunakanlah pemain-pemain yang ada,pilihlah yang betul-betul boleh bermain dan bukan berdasarkan 'anak emas' atau 'anak beranak' dalam skuad Kelantan.

Kami dibelakang menyokong penuh M.Karathu tanpa sebarang prejudis...jadikanlah Kedah mangsa terbaru kebangkitan The Red Warriors!!!
Malaysia 2 - 0 Pakistan

Separuh Masa Pertama :

Malaysia 2(W.Zaharul Nizam 3',Irfan fazail 45' + 3) - 0 Pakistan

Pakistan bermain dengan 10 orang setelah pemainya dibuang padang kerana mengasri Khairul Fahmi diminit-minit akhir separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan kekebalan penjaga gawang Pakistan menafikan peluang Malaysia untuk menambah gol.

Siaran Langsung RTM1 dan Astro Arena

Rabu, 23 Februari 2011

Malaysia vs Pakistan

Info Kelayakan Olimpik London 2012 bagi peringkat Asia.

Tempat :Stadium Shah Alam
Tarikh :23 Feb 2011
Masa : 8.30 mlm
Live Astro Arena 801

Harga tiket : Dewasa RM 20,Kanak-kanak bawah 12 tahun RM 12

Tarikh dan tempat jualan tiket :
Pada 22 Februari 2011. Bermula pukul 9 am - 5 pm di Wisma FAM.
Pada 23 Februari 2011. Bermula pukul 9 am - 12 pm di Wisma FAM.
Pada 23 Februari 2011 juga dijual di Stadium Shah Alam bermula pada pukul 4 pm.

Perlawanan kedua melibatkan skuad olimpik Kebangsaan pada Rabu,9 Mac 2011 akan berlangsung di Staium Punjab,Lahore,Pakistan.

Selasa, 22 Februari 2011

Prebiu Kelayakan Olimpik 2012
Malaysia mln Pakistan


RedsFC
RedsFCNews@gmail.com

Keupayaan skuad Kebangsaan bawah 23 tahun bakal teruji apabila turun menentang Pakistan dalam aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam, malam esok.

Jika sebelum ini pasukan senior berjaya mengungguli pentas Asia Tenggara dengan muncul juara dalam Piala AFF, skuad muda negara menghadapi tugasan berat untuk meneruskan rekod kecermerlangan bola sepak Malaysia.

Dibarisi pemain serba pengalaman termasuklah pernah beraksi di Piala AFF dan Liga Slovakia, para pemain yang terpilih untuk perlawanan getir ini harus bijak menangani tekanan seterusnya mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke arena lawan untuk perlawanan kedua.

Untuk catitan, Malaysia dan Pakistan bertemu sebanyak enam kali dalam perlawanan antarabangsa dengan pasukan Kebangsaan menang empat pertemuan dan seri dua kali. Berdasarkan rekod pencapaian tersebut, kelebihan berpihak kepada pasukan kendalian Ong Kim Swee dimana dapatkah mereka meneruskan rekod tersebut dalam perlawanan itu nanti.

Persoalannya, berapa banyak jaringan mampu mereka hasilkan keatas pasukan yang menduduki tangga ke 173 dunia tersebut.

Berbanding pasukan lawan, dengan kemudahan terhad disamping negara bergolak dengan permasalahan politik tidak kunjung tamat, dikhabarkan di laman rasmi Persatuan Bola Sepak Pakistan, dua pemain yang mungkin diturunkan pada perlawanan itu nanti berpangkalan di luar negara termasuk kelab divisyen di England.

Namun, sejarah sudah membuktikan bahawa negara yang serba kekurangan mampu mengejutkan pasukan yang lebih mempunyai kelebihan. Bagaimana persiapan pasukan negara untuk menghadapi gelora dari negara yang penuh dengan sejarah tersebut.

Malaysia

Telah diumumkan Ong Kim Swee senarai 18 pemain yang akan menggalas tugas negara dalam perlawanan menentang Pakistan malam esok dimana jurulatih Kebangsaan tersebut memilih beberapa pemain dari pasukan senior untuk memperkuatkan Malaysia.

Dengan kelibat pemain seperti Fadzli Shas, Muslim Ahmad, Mahali Jasuli , Wan Zaharulnizam dan K. Gurusamy dalam skuad olimpik, tugas mudah bagi pengendali negara tersebut untuk merencana taktikal ampuh kerana pengalaman yang dimiliki mereka semua sepanjang berada di peringkat senior boleh diterjemahkan dalam perlawanan menentang Pakistan nanti.

Pemilihan Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani dan Shakir Ali kedalam skuad bawah 23 tahun dilihat tepat dengan prestasi semasa mereka dimana harapan besar tergalas dibahu tiga pemain ini untuk membantu pasukan negara mencatatkan kemenangan di tempat sendiri.

Dua perlawanan persahabatan telah dilalui dan kemenangan besar dalam perlawanan terakhir menjadi faktor utama kepada Ong Kim Swee memilih pemain yang dapat memberikan pulangan berbaloi. Namun ia tidak boleh dijadikan ukuran selain mengharapkan pemain utama yang dijangka akan diturunkan nanti dapat mempamerkan persembahan baik serta fokus sepanjang masa perlawanan.

Senarai Pemain Malaysia

Khairul Fahmi Che Mat
Izham Tarmizi Roslan
Muslim Ahmad
Fadhli Shas
Mahali Jasuli
Affize Faisal Mamat
Faizal Muhamad
Ferris Danial
K. Gurusamy
Irfan Fazail
Gary Steven Robbat
S. Sivanesan
Wan Zaharulnizam Wan Zakaria
Wan Zack Haikal Wan Noor
Fandi Othman
Faizal Abu Bakar
Ahmad Shakir
Ahmad Fakri




Pakistan


Kunjungan singkat mereka ke negara Gajah Putih sebagai langkah persediaan awal sebelum menentang Malaysia mencapai satu keputusan yang memuaskan apabila mencatatkan dua perlawanan seri tanpa jaringan dengan kelab teratas Liga Divisen Satu sebelum tewas 1-2 kepada skuad Thailand bawah 23 tahun.

Perlawanan yang diatur Persatuan Bola Sepak Pakistan tersebut menunjukkan tahap keseriusan mereka untuk mengejutkan Malaysia dalam kelayakan olimpik nanti.

Kehadiran mereka ke Kuala Lumpur bukan semata-mata untuk bertahan tetapi memberikan saingan sengit kepada tuan rumah sebelum menanti kunjungan Malaysia ke Lahore untuk saingan timbal balik.

Pemain Pakistan

Tidak banyak diketahui tentang pemain Pakistan namun berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan di laman web Football Pakistani, pasukan pelawat dijangka akan menurunkan barisan terkuat untuk mencari keputusan positif sebelum balik ke negara mereka.

Dua pemain yang disenaraikan iaitu Yousof Ejaz Butt beraksi di Birkerod IF Skjold, Denmark dan Irfan Khan beraksi Bradford Park Avenue Association Football Club, England manakala pemain selebihnya bermain dengan pasukan tempatan.

Senarai pemain Pakistan.

Yousof Ejaz Butt (Birkerod IF Skjold, Denmark),
Amir Gul (NBP),
Muhammad Omar (KESC),
Manzoor Ahmed (WAPDA),
Alamgir Khan (Police),
Ahsan Ullah (PEL),
Obaid Majeed (KPT),
Ansar Abbas (Army),
Faisal Iqbal (NBP),
Syed Arif Hussain (WAPDA),
Hussnain Abbas (PIA),
Muhammad Tauseef (WAPDA),
Muhammad Adil (KRL),
Mahmood Khan (KRL),
Irfan Khan (Bradford Park Avenue Association Football Club, England),
Saddam Hussain (PIA),
Fahad Ullah Khan (PTV),
Jadeed Khan Pathan (WAPDA),
Rizwan Asif (KRL),
Kalim Ullah (KRL)





Ramalan Keputusan Kelatewaz News
Malaysia 2-0 Pakistan
Kijang Muda Raih Kemenangan.




Skuad Piala Presiden Kelantan bangkit dari kekalahan lalu untuk menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Beraksi dengan 10 pemain, anak buah Zahasmi Ismail memberi aksi luar biasa sebelum memperoleh jaringan kemenangan pada minit ke-69 hasil tandukan ketua pasukan, Mohamad Faiz Suhaimi.

Permulaan babak pertama menyaksikan pemain kedua-dua pasukan saling mengatur rentak untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Kedah terlebih dahulu berpeluang didepan apabila Hattapon berjaya menjaringkan gol namun dibatalkan kerana pengadil mendakwa berlaku kekasaran kepada penjaga gol Kelantan, Judtanna Eh Put.

Kedah sekali lagi mengancam apabila sepakan percuma yang diperoleh mereka di luar kotak penalti terkena palang gol pada minit ke-25.

Kelantan yang seringkali bertahan akhirnya berhasil menjaringkan gol pertama melalui tandukan Aris Zaidi pada minit ke-33. Gol berpunca dari sepakan sudut Khairul Izuan Salahudin muntah dari tangkapan Mohd Muhaimin Mohamad sebelum Ariz Zaidi pantas menanduk masuk kedalam gol yang ternganga luas.

Tidak berputus asa, Kedah melancarkan serangan pantas untuk mendapatkan gol penyamaan namun beberapa gerakan yang dilakukan Hattapon, Muhammad Aminudin dan Mohd Aidi Huzaini melalui bantuan Tan Yang Wei seringkali tersekat di bahagian pertahanan Kelantan.

Akhirnya Kedah berjaya membolosi gawang Kelantan pada minit akhir separuh masa pertama melalui tandukan Mohd Aidi Huzaini menewaskan sama sekali Judtanna di pintu gol Kelantan.

Bersambung babak kedua, perlawanan berubah sedikit tegang apabila berlaku beberapa kekasaran tidak perlu daripada pasukan Kelantan dan Kedah.

Tanpa disangka, hasil dari pergelutan di sebelah kiri pada minit ke-50, Tuan Mohd Norhafizi menyiku pemain Kedah dan pengadil perlawananan tidak teragak-agak melayangkan kad merah terus kepada pemain pertahanan Kelantan tersebut.

Beraksi dengan 10 pemain, Zahasmi melakukan perubahan taktikal dengan mengarahkan anak buahnya mengatur serangan pantas melalui pemain sayap.

Serangan demi serangan yang dilakukan akhirnya berjaya memberikan Kelantan gol kedua melalui tandukan Mohd Faiz Suhaimi pada minit ke-69 setelah bola sepakan sudut dari Khairul Izuan terus ditanduk masuk ketua pasukan Kijang tersebut.

Kelantan sekali lagi hampir menambah jaringan melalui Farhan Yaacob tetapi situasi satu lawan satu dengan Mohd Muhaimin gagal menerjah jaring.

Kedah tidak mengalah apabila melakukan beberapa gerakan bahaya ke arah kubu Kelantan namun semua serangan mereka berjaya dikawal pertahanan tuan rumah selain masalah penyudah dari jentera serangan Sang Kenari.

Bagi memperkukuhkan kawasan pertahanan, Nick Chan dikeluarkan untuk digantikan dengan Mohd Faizol Nazlin pada minit ke-86 dan percaturan tersebut memberikan lebih kekuatan kepada Kelantan di bahagian benteng.

Setelah tambahan masa, kedua-dua pasukan gagal melakukan tambahan jaringan sebelum pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat.

Sorakan penonton bakar semangat Fahmi

Khairul Fahmi Che Mat



Yakin boleh tewaskan Pakistan esok

“SAYA masih yakin sorakan penyokong menjadi faktor pembantu yang kuat untuk cabaran kami,” kata penjaga gol skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat menjelang pertemuan menentang Pakistan dalam kelayakan Olimpik di Stadium Shah Alam, malam esok.

Penjaga gawang Kelantan yang menjadi antara 18 pemain terakhir dipilih semalam meminta rakan sepasukan lain mengaut peluang beraksi di halaman sendiri untuk mendapatkan modal selesa sebelum menentang lawan sama dalam perlawanan kedua di Lahore pada 9 Mac ini. “Saya yakin dengan sokongan padu peminat terhadap skuad kebangsaan, kita mampu mencatat kemenangan di Stadium Shah Alam nanti.

Saya akan cuba sebaik mungkin memastikan gawang negara tidak dibolosi dengan mudah oleh lawan,” kata Fahmi yang mula menyertai kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak Sabtu lalu.

Empat pemain negeri dengan selebihnya pemain Harimau Muda A mengisi senarai 18 pemain skuad kendalian Ong Kim Swee, yang berdepan dua misi penting tahun ini - kelayakan Olimpik 2012 dan mempertahan pingat emas Sukan Sea, November ini.

Sandaran Kim Swee memastikan Pakistan berputih mata dalam kunjungan ke Shah Alam, terletak di bahu barisan pertahanan kental diterajui Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Affize Faisal Mamat, Mohammad Fadhli Mohd Shas dan Mohd Faizal Muhamad.

Bagi mempertajam jentera serangan yang kehilangan khidmat Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Awari Ibrahim akibat kecederaan, Kim Swee memanggil dua tonggak Kedah, Ahmad Shakir Ali dan Faizal Abu Bakar serta penyerang Negeri Sembilan, Mohd Fakri Saarani.

Mahali Jasuli, K Gurusamy, Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Nor kemungkinan diberi kepercayaan sebagai perancang utama di bahagian tengah untuk mencorak permainan skuad Olimpik negara sekali gus merobek gawang Pakistan yang dikawal pemain kelab Denmark (Birkerod IF Skjold), Yousof Ejaz Butt.

Tiket perlawanan akan dijual mulai, hari ini di Wisma FAM, Kelana Jaya daripada jam 9 pagi sehingga 5 petang dengan harga RM20 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

INFO

Senarai terakhir 18 pemain

Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Shakir Ali (Kedah), Faizal Abu Bakar (Kedah), Mohd Fakri Shaarani (Negeri Sembilan), K Gurusamy, Mahali Jasuli, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Affize Faisal Mamat, Mohd Faizal Muhamad, S Sivanesan, Mohd Irfan Fazail, Wan Zack Haikal Wan Nor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohd Izham Tarmizi Roslan, Mohammad Fadhli Mohd Shas, Gary Steven Robbat, Mohd Fandi Othman, Mohd Ferris Daniel Mat Nasir

Isnin, 21 Februari 2011

Logo Akademi Bola Sepak Kelantan
Alhamra Red Warriors Academy
Dari Laman FB Tan Sri Annuar Musa.

Catatan Popular