KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 6 Januari 2011

Tujuh pasukan main pada waktu petang


LAMPU limpah di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu antara yang tidak memenuhi piawaian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). - Gambar hiasan


SAINGAN Liga Super 2011 yang akan bermula 29 Januari depan bakal menyaksikan tujuh daripada 14 pasukan bertanding terpaksa bermain pada sebelah petang untuk aksi di gelanggang sendiri.
Kelantan, Terengganu, T-Team, Johor FC, Perak, Harimau Muda A dan Sabah adalah tujuh pasukan yang terlibat kerana lampu di stadium yang mereka gunakan untuk aksi di tempat sendiri tidak mencapai tahap pencahayaan minimum 800 lux seperti yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ia melibatkan enam stadium iaitu Stadium Sultan Muhammed IV (Kota Bharu), Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (Kuala Terengganu), Stadium JCorp (Pasir Gudang), Stadium Perak (Ipoh), Stadium MBPJ (Kelana Jaya) dan Stadium Likas (Kota Kinabalu).
Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud yang juga Ketua Jabatan Pertandingan FAM berkata, perlawanan pada sebelah petang akan kekal dilaksanakan di enam venue tersebut andai pemeriksaan kedua esok tetap dengan keputusan negatif.
“Pada pemeriksaan pertama yang telah kita lakukan pada 20 Disember lalu, pencahayaan lampu limpah di keenam-enam stadium ini didapati gagal mencapai tahap minimum 800 lux.
“Jadi kita minta mereka atasi kekurangan tersebut jika mereka tetap mahu bermain pada sebelah malam dan pemeriksaan kedua akan dibuat pada 7 Januari (esok).
“Hasil pemeriksaan kedua akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) pada 10 Januari ini dan keputusan akhir akan dibuat selepas itu,” kata Ahmad Fuad ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jika venue-venue terbabit masih gagal melepasi tahap minimum itu, maka aksi tempat sendiri bagi Kelantan, Terengganu, T-Team, Johor FC, Perak dan Harimau Muda A musim ini akan berlangsung pukul 4.45 petang manakala Sabah pada pukul 4.15 petang.
Namun andai melepasi tahap minimum 800 lux itu, mereka akan dibenarkan kembali beraksi pada sebelah malam.
Baki tujuh pasukan lain yang tidak menghadapi masalah untuk beraksi pada waktu biasa iaitu pukul 8.45 malam ialah Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Felda United.
Aksi Liga Super 2011 bakal berlangsung setiap Selasa dan Sabtu dengan perlawanan sulungnya pada 29 Januari depan manakala perlawanan ke-26 (terakhir) dijadual pada 30 Julai depan.
Hanya satu perlawanan berlangsung sepanjang Januari, empat perlawanan Februari, dua perlawanan Mac, sembilan perlawanan April, lima perlawanan Mei, tiga perlawanan Jun dan dua perlawanan pada Julai.

Rabu, 5 Januari 2011

Khairul 'Apex' mula cipta nama


KHAIRUL atau 'Apex' kini makin memperlihatkan kematangan dalam permainannya meskipun baru berusia 21 tahun.


MUNGKIN sebelum ini tidak ramai yang mengenalinya dan tidak keterlaluan jika dikatakan peminat bola sepak tempatan cukup sangsi terhadap kemampuan pemain ini ketika jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menyenaraikan namanya ke Piala Millenium di Vietnam baru-baru ini.

Namun, itulah hakikatnya – tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Segalanya bermula dengan kesungguhan, keazaman serta sema- ngat untuk sentiasa mahu menjadi yang terbaik dan akhirnya telah membuahkan hasil.

Sosok yang bergelar Khairul Fahmi Che Mat sebelum ini tidak begitu dikenali seantero negara seperti hari ini, malah peminat Kelantan juga seperti ‘enggan’ mengenalinya terutama ketika dia dibayangi kehebatan beberapa lagi penjaga gol utama pasukan The Red Warriors itu.

Berada di belakang Halim Napi dan Shahrizan Ismail, cukup membuatkan anak muda yang baru me- nginjak ke umur 22 tahun itu ‘lemas’ sehingga pernah memasang hajat untuk meninggalkan pasukan negeri kelahirannya.

Khairul Fahmi atau dikenali sebagai ‘Apex’, tidak pernah menyangka bahawa musim 2010 adalah musim paling bermakna buatnya.

Sebaik pulang dari Tanah Suci selepas mengerjakan umrah bersama pemain-pemain The Red

Warriors, ia membuka lembaran baru buat karier bola sepaknya.

Bagaimanapun, sebelum itu ‘Apex’ terpaksa melalui ranjau yang terlalu beronak selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan ketua jurulatih, B. Sathia- nathan membuat keputusan untuk mendapatkan bekas penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussin.

Kehadiran penjaga gol tinggi lampai itu bermakna ‘Apex’ bukan lagi menjadi penjaga gol ketiga tetapi turun satu tahap lagi kepada pilihan keempat yang tentu- nya membuatkan masa depan yang lebih kelam.

Namanya terus disisihkan sehingga dia tidak mempunyai pili- han selain beraksi bersama skuad Piala Presiden semata-mata untuk mengekalkan prestasi dalam saingan liga kompetitif.

Kosmo! memetik ayat yang ditulis di dalam blog jejariruncing. blogspot milik Aimie Harmelia Mohd. Hashumi, buah hati penjaga gol kebangsaan itu sebagai berkata: “Saya teringat masa tu sering kali mendengar keluhan My Incik Apex (Khairul Fahmi), “Nak buat macam mana yunk, I tak bagus, tak main la.”

Luahan tersebut sudah cukup untuk menggambarkan betapa ‘Apex’ berperang dengan perasaan untuk membuktikan bakat yang terpendam serta semangat cintakan pasukan kelahirannya menyebabkan dia memilih untuk terus bersabar.

Sejarah penglibatan ‘Apex’ dalam dunia bola sepak cukup sempurna apabila menerima asuhan di Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) kemudian meneruskan cita-citanya di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Dia kemudiannya menyertai pasukan PKNS pada tahun 2007 dan seterusnya dipanggil menyertai pasukan Harimau Muda pada tahun 2008 sebelum memilih untuk pulang menyertai pasukan negeri kelahirannya, ‘Negeri Cik Siti Wan Kembang’.

Pulang ke pangkuan pasukan negeri bermakna cabaran besar perlu dihadapi olehnya, sementelah ketika itu satu reformasi besar- besaran dilakukan oleh KAFA yang diambil alih oleh Tan Sri Annuar Musa membentuk sebuah pasukan negeri yang cukup mantap dengan membariskan beberapa pemain yang lebih berpenga- laman dan berkaliber.

Kembalinya Shahrizan Ismail yang bekelana ke Terengganu sebelum ini serta penampilan semula Halim Napi sudah pasti menipiskan lagi peluang ‘Apex’ beraksi dalam skuad utama dan musim 2008 kelibat pemain yang mengenakan jersi nombor 30 ini langsung tidak kelihatan.

Musim 2009 sekali lagi menyaksikan ‘Apex’ terus tersisih apabila kekebalan Halim dengan sosok tubuh yang tegak dan ketinggiannya menyebabakan pemain vateran itu sentiasa menjadi pilihan jurulatih Peter James Butler manakala Shahrizan pula sentiasa mengintai peluang.

Turun menjalani latihan dengan status sebagai rakan sparring, ‘Apex’ tahu peluangnya juga makin tertutup selepas KAFA sekali lagi membuat kejutan membawa masuk bekas penjaga gol kebangsaan, Syed Adney.


KHAIRUL 'Apex' melayan permintaan peminat yang mahu merakamkan gambar bersamanya.


Segala-galanya bermula pada 6 Mac tahun lalu apabila dia disenaraikan oleh B. Sathianathan ketika Kelantan terpaksa berkunjung ke Terengganu untuk aksi Liga Super menentang T-Team.

Ketika itu Sathia seperti tiada pilihan lain kerana Syed Adney mengalami kecederaan selain keyakinan pengurusan dan penonton terhadap pemain tersebut juga sedikit berkurangan ekoran bebe- rapa kesilapan mudah yang dilakukan.

Selain itu, Shahrizan juga mengalami kecederaan manakala Halim yang baru pulih daripada kecederaan, belum cergas sepenuhnya menyebabkan ‘Apex’ terpaksa disenaraikan memikul tanggungjawab di gawang Kelantan.

Sama ada takdir atau kebetulan, bermula dari situ ‘Apex’ enggan menoleh ke belakang lagi apabila aksi demi aksinya amat meyakinkan para penonton dan namanya mula menjadi sebutan puluhan ribu penyokong fanatik The Red

Warriors.

Kemuncak prestasinya apabila Kelantan bertemu Selangor pada peringkat suku akhir Piala Malaysia apabila dia berjaya menyela- matkan beberapa percubaan bahaya pasukan lawan selain membantu Kelantan ke peringkat sepa- ruh akhir menewaskan gergasi Lembah Klang.

Kepantasan serta keyakinannya di padang mula memikat jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal yang mula memantau kelibatnya dan mula menaruh minat untuk memanggilnya menyarung jersi kebangsaan.

Impian yang lama dipasang menjadi kenyataan apabila ‘Apex’ dipanggil melaporkan diri ke Wisma Persatuan Bola Sepak Malay- sia (FAM) untuk menyertai skuad kebangsaan dalam misi kejohanan Piala Millenium di Vietnam awal Oktober lalu.

Pulang dari kejohanan tersebut, namanya semakin memuncak selepas Kelantan buat pertama kali- nya berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia selepas penantian selama lebih 80 tahun dan ‘Apex’ adalah antara pemain utama yang membantu Kelantan.

Tugasnya semakin sibuk. Belum pun sempat meraikan kejayaan tersebut, dia diarahkan melaporkan diri bersama skuad Rajagobal untuk persiapan ke Sukan Asia Guangzhou, namun langkah Malaysia hanya terhenti di pusingan kedua.

Akhirnya sinar kegemilangan anak kelahiran Kampung Cherang, Kota Bharu ini semakin jelas kelihatan apabila bersama skuad kebangsaan berjaya membawa pulang Piala Suzuki AFF ke Malaysia setelah menunggu selama 14 tahun.

Ramai yang bersetuju salah satu faktor kejayaan pasukan Malaysia adalah disebabkan kecekapan ‘Apex’ di gawang.

Buktinya, perlawanan menentang Indonesia pada pusingan akhir kedua di Stadium Utama Gelora Bung Karno memperlihatkan bakat sebenarnya.

Mentalnya terlalu kuat untuk ‘diganggu’ para penyokong fanatik sang Garuda walaupun pelbagai cubaan dilakukan dan dia juga de- ngan tenang menyelamatkan sepakan penalti ketua pasukan Indo- nesia, Firman Utina.

Saya Tidak Panik: Sathianathan


Pemain pertahanan Kelantan cuba menyekat kemaraan penyerang Sarawak dalam perlawanan persahabatan yang menyaksikan Kelantan tewas 1-2 kepada Sarawak di Kelana Jaya baru-baru ini.

KOTA BHARU – Tiga kekalahan dan seri sekali daripada empat perlawanan persahabatan pramusim skuad Liga Super Kelantan ketika berkunjung ke Lembah Klang penghujung Disember lalu, tidak merisaukan Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan untuk menekan butang panik, tatkala sepak mula Liga Malaysia berbaki tiga minggu lagi.

Dalam siri perlawanan persahabatan itu, Kelantan tewas 4-1 kepada Harimau Muda ‘A’, kecundang 2-1 kepada Sarawak, tewas 4-1 KL Felda United FC serta sekadar seri dengan pendatang baru Liga Perdana musim ini, Sime Darby FC dengan keputusan 1-1.

B Sathianathan ketika dihubungi berkata, keputusan perlawanan persahabatan itu adalah satu pengajaran cukup berguna bagi beliau dan juga pemain Kelantan dalam menghadapi sepak mula menentang Selangor bagi merebut Piala Sumbangsih pada penghujung bulan ini.

“Kekalahan ini memberi pengajaran kepada Kelantan. Kita ada masa kira-kira tiga minggu lagi untuk memperbetulkan keadaan ini dan saya berharap kita mampu mengatasi masalah tersebut sebelum sepak mula Liga Malaysia nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Kecergasan pemain belum mencapai tahap yang saya kehendaki. Tumpuan kita selepas ini sudah pasti kepada memperbaiki aspek tersebut dan saya turut akui kegagalan pemain kita untuk bermain secara bertahan dalam perlawanan tersebut juga antara faktor kekalahan kita. Itu juga saya harus perbaiki selepas ini.

“Saya harap peminat faham dan menerima kekalahan tersebut. Memang saya rombak sana, rombak sini kesebelasan pemain dalam perlawanan tersebut dalam mencari keserasian pemain. Saya turut bagi peluang kepada semua pemain turun beraksi. Kita cari kelemahan kita sendiri dan pada masa yang sama kita mencari kekuatan kita. Ini yang harus kita faham apabila kita mengadakan perlawanan persahabatan kompetitif seperti ini,” katanya.

Sathianathan turut mengakui pemain Kelantan harus mempunyai kekuatan mental dalam menghadapi saingan liga yang bermula tidak lama lagi kerana sinonim sebagai sebuah pasukan yang bergelar juara Piala Malaysia sudah pasti mengundang semangat luar biasa pasukan lawan untuk menumbangkan Kelantan.

“Ianya sudah jauh berbeza kerana kita sekarang digelar pasukan juara. Kalau kita juga mana-mana pasukan sekalipun, pasukan tersebut memang bersemangat untuk mengalahkan kita. Itu sebab saya katakan mental pemain kena berubah.

“Tidak kira pasukan daripada Liga Super atau Liga Perdana, mereka akan sentiasa berusaha untuk mengalahkan Kelantan. Jadi ini merupakan satu peringatan yang penting kepada para pemain bahawa ini merupakan sebahagian daripada tekanan yang terpaksa mereka tempuhi apabila semua pasukan mahu mengalahkan pasukan kita. Mereka kena terima tekanan tersebut asalkan mereka dapat bekerja lebih kuat lagi selepas ini,” katanya.

Sathianathan mengakui jentera serangan Kelantan masih kurang efektif dalam siri perlawanan persahabatan tersebut memandangkan penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha tidak bersama mereka ketika itu kerana mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan.

“Kita tidak menggunakan kekuatan pasukan keseluruhannya dalam empat perlawanan persahabatan itu. Kita tanpa Apek (Khairul Fahmi Che Mat), Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) yang bersama skuad kebangsaan dan kita juga tidak dapat menggunakan khidmat S Subramaniam dan S Chanturu yang masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan lama mereka sebelum ini,” katanya.

KAFA Perkenal Pemain Jumaat Ini

Datuk Afandi Hamzah

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan memperkenalkan barisan pemain skuad Liga Super Kelantan musim ini dalam satu majlis yang akan diadakan di ruang legar KB Mall, Kota Bharu pada jam tiga petang hari Jumaat ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Afandi Hamzah berkata, serentak dengan majlis itu juga pihak Kafa akan mengumumkan satu jawatankuasa baru Kafa yang baru dibentuk selepas Mesyuarat Agung dan Kongres Pemilihan bagi penggal 2010/2013 yang telah diadakan baru-baru ini.

“Setelah majlis memperkenalkan barisan pemain skuad Liga Super Kelantan tertangguh sebelum ini atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, maka pihak Kafa amat berbesar hati telah memutuskan untuk mengadakan majlis ini pada Jumaat ini setelah kesemua pemain dihimpunkan kembali menyertai pasukan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Lebih menarik lagi, setelah sekian lama menunggu akhirnya peminat bola sepak tempatan juga berpeluang melihat dengan lebih dekat jersi baru yang akan digunapakai oleh skuad Kelantan dalam pertandingan Liga Malaysia musim ini kerana kita akan turut melancarkan jersi baru tersebut pada Jumaat ini.

“Disamping itu juga, pihak Kafa akan mengumumkan senarai nama syarikat-syarikat yang akan menjadi penaja utama dan bersama skuad The Red Warriors pada musim ini dalam majlis tersebut,” katanya.

Afandi berkata, semua pengunjung yang menghadiri majlis tersebut turut berpeluang merebut hadiah-hadiah istimewa yang disediakan oleh pihak Kafa.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada peminat bola sepak Kelantan, ambillah peluang pada cuti hujung minggu ini dengan hadir beramai-ramai ke majlis ini bagi menyemarakkan lagi industri bola sepak negeri ini.

“Selain itu, pihak Kafa juga akan membuka secara rasmi keahlian kepada semua peminat bola sepak Kelantan untuk menjadi ahli berbayar dengan Kafa dengan yuran disifatkan amat berpatutan.

“Bagi peminat bola sepak Kelantan yang mendaftar menjadi ahli pada hari itu juga akan menerima hadiah istimewa daripada pihak Kafa. Kita berharap, para peminat Kelantan bersedia bersama dengan kita, menyokong kita dengan menjadi ahli berbayar. Ada banyak kelebihan bagi yang menjadi ahli ini termasuk mendapat diskaun harga tiket perlawanan.

Afandi juga turut mengumumkan bahawa Pengerusi kelab bola sepak Cardiff City iaitu Datuk Chan Tien Ghee akan turut hadir dalam majlis tersebut sebagai tetamu jemputan khas.

Datuk Chan Tien Ghee merupakan seorang tokoh ahli perniagaan dari Malaysia yang memiliki kelab tersebut yang kini beraksi dalam Liga Divisyen Satu di England.

Kejayaan Tidak Melalaikan Saya – Apek


Apek serius menyatakan sesuatu kepada Exco Kerajaan Negeri, Abdul Fattah Mahmood.

KOTA BHARU – Penjaga gol utama skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat tidak menyangka bakal menerima hadiah sebuah rumah oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan di atas kejayaan beliau membantu pasukan negara muncul juara buat pertama kali Kejohanan Piala AFF Suzuki minggu lalu.

“Alhamdulilah ini satu rezeki yang tidak diduga. Saya bersyukur sangat-sangat dan hadiah ini begitu bermakna bagi keluarga saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana menghadiahkan sebuah rumah kepada saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Majlis Sambutan Kepulangannya di Kampung Cherang dekat sini semalam.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat seperti Kerajaan Negeri yang meraikan kepulangan saya dan juga penduduk kampung yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini. Saya memang tidak menyangka dengan sambutan luar biasa bermula dari Machang sehingga ke sini (Kampung Cherang, Kota Bharu).

“Walaupun diberi publisiti meluas oleh pihak media tetapi saya percaya kejayaan yang saya kecapi pada hari ini tidak akan melalaikan saya. Tekanan tetap ada tetapi saya harus meletakkan semangat juang yang tinggi pada kedudukan yang sama. Saya harus memikirkan perkara-perkara yang positif sahaja,” katanya.

Khairul Fahmi berkata, beliau belum layak digelar pemain bintang kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk itu tumpuan beliau kini terarah untuk memperkembangkan karier bola sepak beliau.

“Saya mahu fokus kepada karier saya selepas ini. Keluarga merupakan sumber inspirasi utama diatas kejayaan saya ini selain daripada rakan-rakan sepasukan dan penduduk kampung.

“Ini merupakan satu permulaan, saya akan buat yang terbaik untuk untuk negeri dan juga negara. Apa yang lebih penting selepas ini ialah terus memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memantapkan lagi persembahan saya,” katanya.

Menurut Khairul Fahmi, belum pasti bila akan kembali menjalani latihan bersama skuad Kelantan setelah baru menyelesaikan tugasan bersama skuad kebangsaan minggu lalu.

“Saya perlu menghubungi jurulatih terlebih dahulu. Saya tidak ada banyak masa untuk berehat kerana perlu kembali menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan Kelantan dalam masa terdekat.

Menyentuh azam sempena tahun baru ini, Khairul Fahmi atau lebih disapa dengan panggil Apek berazam membawa Kelantan menjuarai piala yang belum pernah dimenangi oleh Kelantan sebelum ini iaitu Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Majlis memperkenalkan pemain TRW 2011

Tempat : Ruang legar KB Mall
Hari : Jumaat
Tarikh : 7 Januari 2011
Masa : 3.30 Petang
Aktiviti : Memperkenalkan pemain-pemain baru,Jersi baru serta panaja-penaja TRW musim 2011

Tetamu kehormat : Pemilik Cardiff City dan Isteri

Selasa, 4 Januari 2011

Tok Guru & Khairul Fahmi Che Mat

Gambar Dipetik Dari Jeming Hassan

Halatuju Red Warriors 2011.


Dalam kita memperkatakan tentang kejayaan pasukan bola sepak Malaysia yang baru sahaja menjulang kejuaraan pertama saingan Piala AFF Suzuki, Kelatewaz Bola tertarik untuk membicarakan tentang halatuju pasukan bola sepak Kelantan sebelum sepak mula Liga Malaysia 29 Januari nanti.

Pasukan yang mula dikenali dengan kejayaan demi kejayaan membanggakan sejak tiga tahun kebelakangan ini mengalami pelbagai masalah bermula dengan penghijrahan beramai-ramai pemain utama.

Bukan mahu mengeruhkan lagi keadaan tetapi sekadar ingin membuka mata kebanyakan pihak di luar sana bahawa Sang Kijang yang gah pada nama sebenarnya terpalit dengan kontroversi pada tiap-tiap musim.

Dengan keghairahan dan kefanatikan penyokong setia, The Red Warriors dilihat pada sudut positif bagaikan satu pasukan mantap dengan pengurusan terbilang dari pihak yang dipercayai mampu membawa kepada kenaikan berterusan.

Namun hakikatnya, satu persatu khabar tidak enak mula melingkari pengurusan pasukan dan penghijrahan tiga pemain utama kepada sebuah kelab di Terenganu bagaikan kemuncak kepada masalah yang melanda pasukan Kelantan.

Tetapi perpindahan keluar pemain tidak harus dijadikan alasan untuk kejayaan sesebuah pasukan. Lihat contoh yang telah kelab besar lakukan sebelum mencatatkan kejuaraan demi kejuaraan saban tahun.

Berbalik pada pasukan Kelantan menghadapi saingan tertinggi negara pada musim ini.

Persiapan mereka sedikit terencat dikala kebanyakan pasukan pesaing utama sudah mampu menarik nafas lega dengan penubuhan pasukan terbaik untuk mencabar atau sekurang-kurangnya mendapat kedudukan baik dalam liga.

Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor antara pasukan terawal mengumumkan pasukan mereka untuk menghadapi gelora saingan paling berprestij di Malaysia.

Tidak pada Sang Kijang, mereka gagal mengumumkan nama-nama pemain lebih awal malah yang memeningkan kepala peminat tempoh hari ialah ketidak tentuan dari pihak pengurusan untuk mengekalkan pemain.

Hasilnya, Kelantan kehilangan separuh pemain kesebelasan terbaik kepada pasukan lain manakala selebihnya yang memilih setia bersama pasukan Pahlawan Merah kebanyakan adalah tonggak gantian bukan berstatus utama.

Walau berjaya mengontrakkan lapan pemain baru dalam pasukan termasuk empat nama besar dalam arena bola sepak tempatan, Kelantan bakal kehilangan kembali keserasian pemain seperti yang ditunjukkan pemain pada musim lalu.

Mantapnya pasukan memasang impian juara ialah mampu menghadirkan gerun kepada pasukan lawan dan dapatkah situasi ini berlaku lagi pada 2011 memandangkan rekod Kelantan dalam saingan persahabatan sangat buruk dan tidak mampu melangkah jauh.

Tidak disalahkan kepada pihak kejurulatihan dan para pemain tetapi inilah kenyataan harus diakui segera pihak pengurusan bahawa pasukan Kijang bakal kehilangan nama antara pasukan terbilang yang dicipta bagi mencetuskan fenomena kegilaan pada sukan nombor satu di Malaysia.

Kekalahan moral pertama pasukan Cik Siti Wan Kembang yang mencatat kejuaraan pada musim lepas ialah mengakui pasukan Kijang tidak mantap selain tidak mampu memberikan aksi garang untuk setiap perlawanan.

Justeru itu, target awal pihak KAFA hanya ingin melihat pasukan Red Warriors mengekalkan Piala Malaysia, separuh akhir Piala FA dan kedudukan empat terbaik Liga Super dilihat realistik dan wajar dipuji.

Tiada tekanan diberikan kepada pemain Kelantan untuk mengharung saingan liga Malaysia yang panjang dikala pasukan bintang lain sudah mengharapkan pemain yang diambil mereka dapat membantu menjulang kejuaraan.

Tidak perlu menyalahkan sesiapa dan kita hanya perlu lihat kemana halatuju pasukan Kelantan. Mampu mereka mengejar sasaran, dapatkah menjadi lebih baik seperti musim lepas atau membuktikan kata-kata Che Mat Jusoh yakni The Red Warriors hanyalah sebuah pasukan bergelar mee segera.

Kita harapkan yang terbaik dari pemain serta pihak pengurusan bagi membuktikan kenaikan Kelantan sejak 2007 adalah bukan kerana mee segara atau faktor lain tetapi berdasarkan kekuatan sebenar generasi emas berdarah pahlawan Tok Janggut.

Permulaannya, rampas Piala Sumbangsih dari Gergasi Merah dan sedia membawa pulang salah satu piala yang masih belum dimenangi iaitu Piala FA atau pingat kejuaraan Liga Super.

Gomo Kelate Gomo.
Kontroversi Berpanjangan.


Pasukan Kelantan terus dirundung kontroversi ekoran pendedahan demi pendedahan akan sumber kewangan KAFA selain isu perpindahan tiga pemain oleh presiden, Tan Sri Annuar Musa di halaman Facebook miliknya.

Perkara yang sepatutnya disembunyikan dari pengetahuan umum akhirnya pecah sudah menyebabkan timbulnya banyak komen pro dan kontra kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan.

Banyak pihak mengutarakan pendapat yang menyokong 100% Tan Sri Annuar serta tidak terkecuali juga banyak kata nista dilepmparkan kepada bapa pembangunan bola sepak Red Warriors ini.

Saban tahun isu yang dikemukakan tidak pernah padam dari membelenggu pasukan Kelantan menyebabkan nama baik yang dicipta dengan susah payah musnah begitu sahaja.

Siapa sangka pasukan yang menggajikan ramai pemain ternama, mencipta rekod baru dalam arena bola sepak tanahair terpalit dengan kontroversi memalukan.

Isu yang mulanya hangat dengan rasa simpati dari peminat akhirnya memakan diri kerana banyak sangat kenyataan memburukkan pihak lain.

Diharapkan Persatuan Bola Sepak Kelantan dan Kerajaan Negeri duduk semeja dengan segera demi sukan kegemaran rakyat. Bincang dengan keinginan membangunkan sukan bola sepak negeri bukan bercakap atas kapasiti politik.

Catatan Popular