Selamat Tahun Baru...
SELAMAT TAHUN BARU...SELAMAT TINGGAL 2010...

JAKARTA – ”Saya memang sudah jangka Firman Utina akan melakukan sepakan di sebelah kiri. Ini kerana jurulatih, K. Rajagobal awal-awal lagi telah memberitahu saya bahawa dia (Firman) gemar melakukan sepakan di arah itu”.
Itu pendedahan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang menyelamatkan penalti Firman pada minit ke-19 final kedua Piala Suzuki AFF di Jakarta, kelmarin.
Khairul, yang dikenali sebagai Apek, mengakui dia cukup tenang ketika pemain lawan melakukan penalti, kerana berpegang kepada nasihat Rajagobal.
”Jurulatih telah mengkaji sepakan penalti yang dilakukan oleh Firman dan pemain Indonesia yang lain, ia jelas membantu saya.
”Saya bersyukur kerana agakan saya tepat, sekali gus membantutkan hasrat Indonesia untuk meraih gol awal kerana saya sedar jika mereka berjaya, situasi mungkin berubah dan memberikan mereka lebih semangat untuk bangkit,” jelasnya ketika di Lapangan Terbang Soekarno Hatta, sebelum berangkat pulang ke tanah air, semalam.
Mengenai pancaran laser, Khairul tidak tergugat dengan gangguan psikologi oleh penyokong Indonesia.
”Memang ia sedikit mengganggu penglihatan tetapi mental dan fokus saya tetap kepada perlawanan, walau apa pun yang mereka cuba lakukan.
”Saya sama sekali tidak terfikir akan membuat tindakan untuk meminta perlawanan dihentikan, seperti yang pernah dilakukan oleh penjaga gol Indonesia, Markus Harison,” katanya.
AKSI lincah penyerang berbisa negara, Norshahrul Idlan Talaha pada saingan Piala Suzuki AFF akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memikat dua kelab dari Indonesia.
Norshahrul ketika ditemui di Wisma FAM semalam sejurus tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengesahkan menerima tawaran dari pasukan Sriwijaya FC yang beraksi di Liga Super Indonesia (ISL) dan sebuah lagi pasukan yang belum dapat dipastikan.
Penyerang berusia 24 tahun itu berkata, ejen kedua-dua pasukan itu ada menemuinya dan menyatakan minat mendapatkan khidmatnya.
“Benar saya mendapat tawaran pasukan Sriwijaya dan sebuah lagi pasukan dari Jawa Tengah. Saya bersedia untuk keluar dari Malaysia dan beraksi untuk pasukan ini jika mereka memang serius mahu menggunakan khidmat saya,” katanya.
Aksi Norshahrul sepanjang kempen Piala Suzuki AFF sememangnya tidak mengecewakan apabila berjaya mencipta gerakan cantik untuk rakan sepasukan, terutama kepada seorang lagi penyerang negara, Mohd Safee Mohd Sali yang muncul penjaring terbanyak kejohanan itu dengan lima gol.
Malah ada yang mengatakan dia bakal menerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP), namun ia akhirnya menjadi milik kapten Indonesia, Firman Utina biarkan semasa aksi final kelmarin, Firman gagal menyempurnakan sepakan penalti. Malah, Firman sendiri mengaku yang dia terkejut kerana dipilih untuk menerima anugerah itu.
Norshahrul mengakui yang dia agak terkilan kerana tidak dipilih untuk meraih anugerah berkenaan, namun kekecewaan itu terubat apabila dapat membantu memastikan pasukan negara menjulang Piala Suzuki AFF buat kali, pertama sekali gus menambah koleksi peribadinya selepas meraih pingat emas Sukan Sea 2009 Laos serta menjulang Piala Malaysia bersama Kelantan.
“Tahun ini serta musim lalu memang amat bermakna bagi saya kerana banyak kejuaraan yang saya kecapi bersama Kelantan serta skuad kebangsaan. Harap-harap saya dapat mengekalkan prestasi terbaik selepas ini.
“Menjuarai Piala Suzuki AFF ini juga amat bermakna buat saya kerana ia hadiah paling berharga selepas baru melangsungkan perkahwinan,” katanya.
28hb Disember 2010 – Kelantan (1) lwn (2) Sarawak, Padang PKNS, 4.45pm.
29hb Disember 2010 – Kelantan (1) lwn (4) FELDA United, Stadium MBPJ, 4.45pm.
Khairul Fahmi Che Mat
KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) — Persembahan cemerlang penjaga gawang Malaysia Khairul Fahmi Che Mat bukan sekadar mampu menarik peminat baru ke akaun Facebook beliau, malah menempatkannya di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini rangkaian sosial Twitter.
Dalam tempoh sejam, penjaga gawang kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima, menumpaskan ‘Support Timnas’, yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.
Fahmi juga menjadi topik paling popular untuk Twitter di Indonesia.
Laman Facebook beliau (Khairul Fahmi Che Mat) mendapat hit sebanyak 57,000 daripada peminat, ketika artikel ini ditulis kurang daripada dua jam, berbanding tidak lebih daripada 50,000 peminat sebelum perlawanan bermula.
Khairul Fahmi 21, berupaya menyelamatkan lebih daripada 10 percubaan mendebarkan oleh pasukan Indonesia yang menyerang secara agresif sejurus selepas wisel perlawanan dibunyikan.
“Terima kasih kerana mengembalikan ‘keseksian’ dalam bola sepak Malaysia,” kata seorang peminat dalam laman bola sepak pemain itu.
Lima daripada 10 trend teratas Twitter seluruh dunia didominasi perlawanan bola sepak yang berlangsung selama 90 minit pada pertandingan akhir kedua Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno.
Sebelum ini, Twitter juga menjadi platform kepada penyokong bola sepak Indonesia yang berang dan mendakwa Malaysia memenangi perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur secara tidak adil, manakala penyokong Malaysia lebih gemar menunjukkan sokongan dan kecintaan mereka menerusi Facebook.
Seorang lagi pemain cemerlang, Mohd Safee Mohd Sali, hampir mendapat hit 17,000 “Like” dalam Facebook dari 15,000 pada separuh masa perlawanan.
Mohd Safee yang menjaring gol pertama pada perlawanan akhir kedua, turut merangkul gelaran sebagai penjaring terbanyak dengan jumlah lima gol.
Apa yang paling menarik ialah pemain Manchester United iaitu Rio Ferdinand turut mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya dalam akaun twitternya, @rioferdy5.
“Tahniah kepada Malaysia yang menewaskan Indonesia pada final Piala Suzuki. Saya pernah bermain menentang pasukan bawah 23 tahun Malaysia 18 bulan lepas. Memang satu pasukan yang bagus,” katanya.
Dilaporkan bahawa penduduk Asia Tenggara merupakan pengguna terbesar Twitter dan Facebook dengan Indonesia mempunyai 15 juta ‘tweeters’, ketiga tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Brazil, manakala rakyat Malaysia mempunyai ‘friends’ Facebook paling ramai dengan purata 230 setiap pengguna