KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 9 Mei 2014

Kegagalan ITC Prince Tagoe bukan angkara FAM - Datuk Hamidin Mohd Amin !



Kuala Lumpur: Bukan salah FAM! Itu nada tegas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang menafikan mereka menjadi punca kegagalan Kelantan mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) untuk penyerang import baru Prince Tagoe.
Menurut Hamidin, dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn Bhd (TRW) Kevin Ramalingam seperti disiarkan dalam akhbar tempatan semalam tidak benar sama sekali kerana badan induk itu sudah menguruskan proses mendapatkan ITC Tagoe daripada kelab lamanya Club Africain dengan mengikut prosedur ditetapkan. 
Saya menafikan kami punca Kelantan gagal mendapatkan ITC untuk Tagoe. Kami sudah hantar permohonan mendapatkan ITC, tapi ditolak kelab lamanya dan persatuan bola sepak Tunisia. 

Bukan salah FAM, kami sudah lakukan yang terbaik untuk membantu Kelantan mendapatkan ITC, tapi malangnya permohonan itu ditolak. Malah hari ini (semalam) Kevin ada datang bertemu dengan saya untuk meminta maaf kerana kenyataannya itu.

Saya harap tiada lagi pihak membuat kenyataan melulu terhadap FAM. Sebagai badan induk sudah pasti kami akan sedaya upaya membantu dan melindungi kepentingan pasukan negara ini,katanya.

Kegagalan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mendapatkan ITC untuk menggunakan khidmat bekas penyerang skuad Piala Dunia Ghana, Tagoe bagi baki kempen Liga Malaysia musim ini didedahkan dalam Arena Metro semalam menerusi maklumat diberikan Kevin. 

Beliau mendakwa, mereka boleh mendapat ITC sementara daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya FAM menangguhkan dulu kes itu dan tidak menerima penolakan permohonan Tunisia FA. 

Tanpa ITC, Kevin mengakui kemungkinan besar mereka terpaksa menamatkan kontrak Tagoe, 28, lebih awal selepas kemelut itu timbul berikutan tuntutan gaji tertunggak pemain dengan Club Africain yang berjumlah hampir RM1 juta. 

Hamidin berkata, mereka sudah menerima permohonan KAFA untuk mendaftarkan semula pemain pertahanan Obinna Nwaneri yang ditamatkan pendaftaran pada tempoh perpindahan pemain kedua April lalu bagi mengisi tempat Tagoe. 

Kelantan sudah membuat permohonan rasmi untuk mendaftarkan semula Obinna memandangkan pemain itu masih mempunyai ITC. Perkara ini akan diberikan pertimbangan sewajarnya dalam masa terdekat, katanya

Khamis, 8 Mei 2014

"SAYA RELA CEDERA DARI GAWANG PASUKAN DIBOLOSI"




 Nik Shahrul Azim diangkat sebagai wira Kelantan selepas dia menafikan bola percubaan pemain Felda United, Indra Putra Mahayuddin dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA. "Saya rela cedera dari gawang pasukan dibolosi," itu tegas pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim selepas berjaya mengeluarkan bola percubaan pemain Felda United, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-89 untuk mengekalkan keputusan 3-3.

             Situasi itu mengangkat Nik Shahrul sebagai wira pasukan kerana tindakan itu menyelamatkan pasukannya dari diaibkan pasukan dari Liga Perdana berkenaan. Nik Shahrul menegaskan, Kelantan tidak bermain dengan baik terutamanya di babak pertama bagaimanapun jaringan demi jaringan yang berjaya dihasilkan rakan sepasukan menaikkan kembali semangat mereka untuk berjuang bagi memastikan The Red Warriors tidak tersungkur di laman sendiri.

              Sementara itu, Indra tidak menyangka Nik Shahrul sempat memintas bola yang hampir menerjah gawang Kelantan dan penyerang berusia 33 tahun itu tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa kerana ia peluang terbaik pasukannya mencipta kemenangan pertama di Stadium Sultan Mohammed IV. Aksi kedua di antara Felda menentang Kelantan dijadual berlangsung pada 31 Mei ini di Stadium Shah Alam.

[ Sukan ] Kelantan kecewa hasrat guna khidmat Prince Tagoe berkecai !

Nampak gayanya, hajat Kelantan untuk menggunakan khidmat penyerang baharu dari Ghana, Prince Tagoe tidak kesampaian.
Persatuan Bola Sepak Kelatan (KAFA) terpaksa membatalkan perjanjian dengan pemain berusia 28 tahun itu kerana pemain terbabit gagal mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).
Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn. Bhd (TRW), Kevin Ramalingam mendedahkan, KAFA gagal mendapatkan ITC Tagoe yang didaftarkan pada jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) April lalu ekoran kesilapan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menguruskan kes perpindahan pemain itu dengan Persekutuan Bola Sepak Tunisia (Tunisia FA).
“Tunisia FA menolak permohonan ITC kami kerana kelab lama Tagoe (Club Africain) tidak membayar tiga bulan gaji kepadanya. Sepatutnya kontrak Tagoe sudah terbatal serta-merta dan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) sudah dimaklumkan mengenai kes ini.
“Apabila Tunisia FA menolak permohonan ITC ini menerusi TMS (Sistem Pengurusan Perpindahan), FIFA masih mempunyai hak untuk mengeluarkan ITC sementara.
“Namun masalah lain timbul apabila FAM menerima penolakan Tunisia itu lalu kes itu sudah tiada dalam TMS, sepatutnya FAM membiarkan kes itu ditangguhkan.
“FIFA memaklumkan kepada kami bahawa kes itu sudah digugurkan jadi mereka tidak boleh mengeluarkan ITC sementara.
“Oleh kerana FAM telah menerimaa penolakan daripada Tunisia FA, ia memberi kesan besar kepada kami,” katanya ketika ditemui pemberita kelmarin.
Kini, Kevin mengakui The Red Warriors terpaksa melupakan Tagoeselepas membatalkan kontrak pemain itu selepas gagal mendapatkan ITC.
Jelasnya, KAFA kini mengharapkan FAM membenarkan mereka untuk mendaftarkan semula Obinha Nwaneri yang disingkir pada April lalu, bagi mengisi tempat Tagoe.
Difahamkan, Tagoe yang sepatutnya menggantikan Mohamed Ghaddar pada pusingan kedua Liga M ini, menuntut bayaran gaji tertunggak yang dianggar hampir RM1 juta daripada Club Africain.
“Ada klausa dalam kontraknya di mana kami boleh membatalkan kontrak jika tiada ITC tapi bukan itu yang kami mahu kerana Kelantan nak dia beraksi dengan pasukan ini,” katanya. Credit Kosmo 

Rabu, 7 Mei 2014

Penyokong Keluar Stadium Ketika TRW Ketinggalan 0-3

Sekurang-kurangnya 15-20 peratus peyokong Kelantan meninggalkan tempat duduk dan keluar dari stadium semalam.
Sebahagian penyokong Kelantan dilihat meninggalkan stadium ketika pasukannya itu ketinggalan 0-3 kepada Felda United dalam aksi suku akhir pertama Piala FA malam tadi.
Menurut Wartawan Lokasi Arena Bola, Nurjannah Ali Fiji, sekurang-kurangnya 15-20 peratus penonton The Red Warriors (TRW) bangun meninggalkan tempat duduk dan keluar dari stadium.
“Saya melihat mereka beramai-ramai keluar ketika Kelantan dalam keadaan kelam kabut mempertahankan kubu mereka selepas ketinggalan 0-3.
“Ketika keadaan cemas itu, pengendali baharu Kelantan, George Boateng yang pada awalnya berada di kerusi VIP juga dilihat turun ke bangku simpanan untuk memberi arahan kepada barisan pemainnya, sebelum pasukan itu bangkit menyamakan kedudukan 3-3.
“Ya, cara jurulatih itu sedikit berbeza. Mungkin beliau duduk di kerusi VIP kerana ingin memerhatikan formasi yang ditetapkan atau corak permainan awal pemain-pemainnya” kata Jannah.
Jannah antara penonton yang menyaksikan perlawanan itu dengan dekat menganggap corak pertahanan TRW di awal perlawanan agak kucar kacir.
“Saya melihat bahagian pertahanan Kelantan masih tidak serasi lebih-lebih lagi dengan kemasukan pemain baharu, Hussein Alaa Hussein yang baru sahaja menggantikan Obinna Nwaneri,” tambahnya.
NurJannah turut melaporkan sebilangan penonton kekal berada di astaka stadium biarpun perlawanan sudah tamat. Mereka dipercayai menunjukkan rasa tidak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV itu berkesudahan dengan keputusan 3-3 dan aksi timbal balik akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 31 Mei ini.

Red Warriors Pilih Laluan Berduri

Ahmad Fakri Saarani cuba melepasi pertahanan Felda United, Yaroslav Krushelnitskiy pada perlawanan Piala FA di Stadium Muhamad IV, Kota Bharu malam tadi.
KOTA BHARU – Juara bertahan, Kelantan berdepan laluan sukar di Selayang pada 31 Mei ini selepas di­ikat Felda United 3-3 dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Muhammad IV, semalam.
Beraksi di hadapan kira-kira 20,000 penyokong setia, tuan rumah bermula perlahan berbanding pelawat yang dilihat lebih banyak menguasai permainan dan mengatur serangan demi serangan.
Kelantan yang mendapat sentuhan jurulatih baharu, George Boateng bolos seawal minit ke-17 apabila Edward Junior yang tidak dikawal sesiapa di kawasan kotak penalti menyambut hantaran Zah Rahan Krangar sebelum menolak mudah bola masuk ke dalam gawang.
Kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah dihukum sekali lagi enam minit kemudian apabila tandukan Indra Putra Mahyuddin berjaya mengelirukan Khairul Fahmi Che Mat, sekali gus menghadiahkan gol kedua Felda United.
Indra Putra sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Kelantan selepas tendangan percuma yang dilakukannya dari sebelah kanan padang dimanfatkan sebaik mungkin Mohd. Khairul Ismail untuk menjaringkan gol ketiga The Settlers pada minit ke-36.
Tersentak dengan tiga jaringan awal pelawat, Kelantan memperkemaskan permainan dengan melakukan asakan bertali arus bagi memecah keampuhan benteng Felda United.
Gol yang ditunggu-tunggu tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-41 menerusi tonggak import, Francis Forkey Doe yang bijak memanfaatkan peluang tidak dikawal sesiapa untuk melakukan rembatan kencang tepat ke pintu gawang.
Selang dua minit, The Red Warriors meledak gol kedua selepas bola yang berpunca daripada tendangan percuma oleh Zairul Fitree ditanduk masuk Fakri Saarani, sekali gus menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Farizal.
Sebaik sahaja babak kedua bermula, tuan rumah terus garang mengkucar-kacirkan pertahanan Felda United dan akhirnya berjaya mencari gol penyamaan pada minit ke-51 menerusi rembatan Wan Zaharulnizam Zakaria, hasil hantaran lambung daripada Forkey Doe yang mengelirukan pihak lawan.
Pada minit ke-89, Indra Putra yang telah pun berjaya menewaskan Khairul Fahmi hampir meledakkan jaringan keempat untuk The Settlers, namun Nik Shahrul Azim meluru pantas menyelamatkan gawang yang ternganga luas dengan menyepak bola keluar.

Selasa, 6 Mei 2014

Ujian Sulung





Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan George Boateng sedia menghadapi ujian pertama yang bakal menentukan nasib The Red Warriors (TRW) ketika melayan kunjungan FELDA United dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Tidak menafikan tugas dipikulnya berat, Boateng, 38, yakin kehadirannya menggantikan Steve Darby dianggap tepat pada masanya.
Jurulatih dari Belanda itu turut berkata, tempoh 10 hari membolehkan beliau melihat keupayaan anak didiknya dan percaya mereka tidak mempunyai masalah menang aksi pertama di gelanggang sendiri.
“Persediaan kami bagus dan pemain bekerja keras.
Ini mungkin tugas besar buat saya memastikan Kelantan mempertahankan kejuaraan, tapi saya sudah bersedia kerana kami tidak memandang mudah FELDA United,” katanya di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Mengulas lanjut, Boateng berkata, kelebihan beraksi di tempat sendiri dalam aksi pertama itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, pemain perlu bijak menggunakan peluang itu bagi mencari bekalan untuk aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 31 Mei ini.
Boateng bagaimanapun berkata, penyerang import, Prince Tagoe mungkin tidak diturunkan kerana belum mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).
“Bagaimanapun, kita berusaha mendapatkan ITC untuk Tagoe sebelum sepak mula.
Kita sangat memerlukan penyerang dan Tagoe sangat bersemangat ketika latihan,” katanya.

Boateng Mahu Mula Langkah Kanan

Goerge Boeteng

KOTA BHARU – Pengendali baharu The Red War­riors, Goerge Boateng yang mengambil alih tugas daripada Steve Darby optimis pasukan yang dikendali mampu melakar keputusan positif pada separuh akhir pertama Piala FA bertemu Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

Katanya, sejak mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Kelantan, 10 hari lalu beliau sudah me­nemui ramuan terbaik yang akan menjadi pertaruhannya nanti.

“Segala persediaan untuk bertemu dengan Felda United berjalan dengan lancar, malah semua pemain menunjukkan komitmen yang tinggi dan saya yakin mereka pasti mahu menang pada perlawanan ini.

“Kelebihan beraksi di tempat sendiri juga perlu digunakan sebaik mungkin untuk mencari bekalan selesa menjelang pertemuan kedua nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.

Pertemuan dengan Felda United malam ini merupakan ujian sulung buat Boeteng sebagai jurulatih selepas menamatkan kariernya sebagai pemain pada musim lalu dan memperoleh sijil kejurulatihan bersama bintang Manchester Uni­ted, Ryan Giggs.

Sentuhan Boateng seme­mangnya ditagih penyokong The Red Warriors dalam usaha memulihkan semula reputasi hambar yang dipamer Kelantan dalam saingan Liga Malaysia setakat ini.

Sementara itu kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menegaskan dua tonggak Felda, Indra Putra Mahyudin dan penjaring terbanyak Liga Perdana, Edward Junior Wilson perlu diberi kawalan ketat.

Mohd. Badhri berkata, kedua-dua pemain itu amat berbahaya jika diberi terlalu banyak ruang.

“Indra cukup bahaya kerana bijak memanfaatkan peluang, selain mempunyai kemahiran membawa masuk bola dari sebelah kiri.

“Wilson pula mempunyai naluri pemusnah setiap kali mendapat bola, terutama dalam kotak penalti,” katanya.

Dia berharap rakan-rakan sepa­sukan dapat memberi komitmen tinggi sepanjang 90 minit.

Kata Mohd. Badhri, Kelantan perlu mmencari bekalan selesa pada pertemuan itu bagi menggelak berdepan laluan sukar pada aksi kedua nanti.

“Saya harap Kelantan tidak bolos kerana ia akan menentukan misi The Red Warriors untuk mempertahankan Piala FA,” ujarnya.

'Kelantan mampu sekat Felda'


BOETENG (dua dari kanan) memberi penerangan kepada pemain Kelantan ketika sesi latihan skuad tersebut di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu semalam.


PENGENDALI baharu Kelantan, Goerge Boeteng yang mengambil alih tugas daripada Steve Darby, optimis pasukannya mampu melakar keputusan positif pada aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu malam ini.
Boeteng berkata, sejak mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih The Red Warriors sepuluh hari lalu dia sudah menemui ramuan terbaik yang akan dipertaruhkan pada perlawanan itu nanti.
"Persediaan untuk menghadapi Felda United berjalan dengan lancar, semua pemain telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan saya yakin mereka pasti mahu memenangi perlawanan ini.
"Kelebihan beraksi di tempat sendiri perlu digunakan sebaik mungkin untuk mencari bekalan selesa menjelang pertemuan kedua nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu semalam.
Pertemuan dengan Felda United malam ini merupakan ujian sulung buat Boeteng sebagai jurulatih selepas menamatkan keriernya sebagai pemain pada musim lalu dan dia memperoleh sijil kejurulatihan bersama-sama dengan bintang Manchester United, Ryan Giggs.
Sentuhan Boeteng sememangnya ditagih oleh penyokong The Red Warriors dalam usaha memulihkan semula reputasi hambar yang dipamerkan dalam saingan Liga Super setakat ini.
Dalam pada itu, Beoteng turut mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mengambil mudah keupayaan pasukan lawan walaupun memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Katanya, Felda United sebuah pasukan yang tidak kurang hebatnya dan memiliki pemain berpengalaman beraksi dalam saingan liga.
"Antara pemain Felda United yang cukup bahaya ialah Indra Putra Mahyudin. Dia mempunyai pengalaman luas, begitu juga dengan Edward Junior Wilson.
"Begitupun kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan mereka dan keputusan positif perlu di raih dalam perlawanan tersebut dalam usaha meraih bekalan selesa," ujarnya.
Boeteng berkata dia berharap sijil perpindahan antarabangsa (ITC) milik pemain importnya Prince Tagoe dapat diselesaikan sebelum perlawanan tersebut.
Katanya, khidmat Tagoe amat diperlukan dalam usaha memperkasakan lagi jentera serangan pasukan.


Isnin, 5 Mei 2014

Piya: Jangan biarkan Indra bebas


INDRA (kanan) mampu memusnahkan impian Kelantan andai dibiarkan bergerak bebas.


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menegaskan dua tonggak Felda United Indra Putra Mahyudin dan penjaring terbanyak Liga Premier, Edward Junior Wilson perlu diberikan kawalan ketat pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.
Mohd. Badhri atau Piya berkata, kedua-dua pemain ini disifatkan cukup berbahaya kepada pasukan Kelantan sekiranya diberikan ruang yang secukupnya pada perlawanan tersebut.
"Seperti yang kita ketahui, Indra cukup bahaya kerana dia bijak memanfaatkan peluang yang dimiliki selain memiliki kemahiran membawa masuk bola dari sebelah kiri.
"Begitu juga dengan Wilson, seorang penyerang yang mempunyai naluri pemusnah setiap kali memegang bola terutama di dalam kotak penalti,"
katanya.
Tambahnya, dia berharap rakan-rakan sepasukan yang diturun pada perlawanan tersebut dapat memberikan komitmen tinggi.
Piya memberitahu, Kelantan perlu menang dan mencari bekalan selesa pada pertemuan itu bagi mengelak mereka berdepan laluan sukar pada aksi kedua nanti.
Katanya, dia seboleh-bolehnya berharap Kelantan tidak bolos dalam perlawanan itu nanti yang akan menentukan misi hidup mati The Red Warriors mempertahankan Piala FA.
Ujarnya, kelebihan beraksi di tempat sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan meledakkan seberapa banyak jaringan untuk dibawa ke ibu kota pada pertemuan kedua nanti.
Piya berkata, setakat ini dia tidak mempunyai masalah dengan corak latihan yang diterapkan oleh George Boeteng sejak mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih daripada Steve Darby.
"Setakat ini saya selesa dengan corak latihan beliau walaupun sedikit penat namun itu bukan alasan.
"Saya tidak tahu lagi taktikal yang beliau akan gunakan pada perlawanan Selasa ini, mungkin pada sesi latihan terakhir kita akan mengetahuinya," ujarnya.


Jumaat, 2 Mei 2014

Boeteng mahu pulih reputasi Kelantan




MISI memulihkan reputasi skuad Kelantan menjadi agenda utama Goerge Boeteng (gambar) sebaik memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih baharu skuad The Red Warriors itu pada Isnin lalu, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Menurutnya, keutamaan adalah untuk membina semula kekuatan pasukan yang dilihat agak terumbang-ambing sepanjang kempen Liga Super musim ini.
"Proses tersebut amat penting dalam usaha mengembalikan reputasi Kelantan bagi menghadapi baki saingan liga musim ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan pasukan di Stadium Sultan Muhammad IV, Lota Bharu semalam.
Menurutnya, pembinaan semula itu meliputi aspek kawalan bola bagi memastikan pasukannya mampu mengawal permainan sepanjang perlawanan berlangsung.
"Saya mahu pemain menguasai perlawanan, ini kerana kita mempunyai ramai pemain yang bagus dan berkualiti sama ada tempatan mahupun import," katanya
Tambahnya, dia menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa Kelantan mampu bangkit dalam perlawanan selepas ini walaupun mereka beraksi di bawah keupayaan sebenar sebelum ini.
Jelasnya, dengan ramuan pemain yang ada, beliau optimis Kelantan mampu kembali ke landasan sebenar dalam baki saingan liga selepas ini.
Boeteng dilantik sebagai pengendali baharu The Red Warriors selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil tindakan drastik dengan menamatkan kontrak ketua jurulatih sebelum ini, Steve Darby gara-gara prestasi hambar.
Bekas pemain kebangsaan Belanda itu turut memuji komitmen yang dipamerkan oleh pemain Kelantan yang begitu bersemangat ketika menjalani latihan di bawah kendaliannya.
Katanya, semua pemain menunjukkan semangat juang tinggi dan yakin mereka akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan selepas ini.
Boeteng bakal menempuh ujian pertamanya apabila Kelantan bakal menentang Felda United pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu pada 6 Mei nanti.


Khamis, 1 Mei 2014

KAFA Yakin Kemampuan George Boateng

George Boateng


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) yakin pengendali baharu skuad ‘The Red Warriors’ (TRW) George Boateng mampu menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Steve Darby yang dipecat sebelum ini.
Naib Presidennya Datuk Rosmadi Ismail berkata pihaknya yakin bekas pemain antarabangsa Belanda itu mampu membawa perubahan kepada skuad TRW meskipun tidak mempunyai pengalaman mengendalikan mana-mana pasukan.
“Walaupun dia tidak pernah menjadi jurulatih tetapi kami dah nilai rekod-rekod beliau yang lepas dan kita yakin dia dapat melaksanakan tugas yang diberi dengan jayanya,” katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan pemain terbaru TRW di ‘The Red Warriors Cafe’ di Kota Bharu, hari ini.
Rosmadi berkata, dua pemain baharu TRW iaitu pemain pertahanan dari Iraq, Hussein Alaa Salman dan penyerang Ghana, Prince Tagoe dijangka dapat di turunkan pada perlawanan akan datang.
“Hussein telah mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) manakala untuk Tagoe kita dah dapat kelulusan cuma tunggu sijil dari pihak atasan.
“Kontrak kedua-dua pemain ini adalah selama enam bulan dan mereka akan menjalani latihan bersama skuad esok,” katanya.
Kedua-dua pemain itu menggantikan Mohammad Ghaddar (Lubnan) dan Obinna Nwaneri (Nigeria) yang ditamatkan kontrak, namun khidmat dua lagi penyerang import, Mohamed Shawky Yazid dari Mesir dan Francis Forkey Doe (Liberia) dikekalkan.
Pasukan Kelantan mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga  Super ketika ini selepas berada pada tangga ketujuh dengan kutipan 20 mata dalam 14 perlawanan.
Mereka turut tersingkir daripada saingan ke pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas menduduki tangga tercorot  daripada empat pasukan Kumpulan G, dengan kutipan tiga mata daripada enam perlawanan.
Sementara itu, Boateng menegaskan bahawa pasukan Kelantan masih berada di landasan untuk memenangi salah satu kejuaraan musim ini.
“Saya masih percaya pasukan mampu mencapai sesuatu khususnya dengan adanya pemain terbaru. Selain itu, saya banyak mengetahui tentang pasukan ini serta majoriti pemain, sebab itu saya menerima tanggungjawab ini,” katanya. – Bernama

Red Warriors Kena Potong Mata








rp_Logo-Persatuan-Bolasepak-Kelantan.png




PETALING JAYA – Jawatan­kuasa Pertandingan Tem­patan (JKPT) Persatuan Bo­la Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan memberikan kemenangan 3-0 ke­pada Terengganu ke atas Kelantan dan membatalkan keputusan seri 1-1 pada pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang berlangsung 29 Mac lalu.
Timbalan Pengerusi JKPT, Datuk Osman Salleh berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati Kelantan melakukan kesalahan dengan menurunkan Mohd. Fitrie Omar yang ketika itu sedang digantung permainan.
Berdasarkan keputusan yang dibuat itu katanya, Kelantan kehila­ngan satu mata manakala Terengganu meraih dua lagi mata tambahan menerusi perlawanan itu dan berkuat kuasa serta merta.
“Keputusan itu dibuat selepas kami menilai fakta yang ada dan kami mendapati terdapat satu kesalahan berlaku iaitu dari segi status pemain yang diturunkan. Dalam perlawanan itu Terengganu diberikan kemena­ngan 3-0 dan Kelantan turut diberikan amaran.
“Saya ingin tegaskan di sini, setiap pasukan perlu melihat dengan teliti status seseorang pemain sebelum diturunkan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM di sini semalam.
Sementara itu Pengerusi JKPT, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, perlawanan separuh akhir pertama Piala FA akan berlangsung pada 5 Mei ini melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos manakala 6 Mei ini akan menyaksikan pertemuan di antara Kelantan dan Felda United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Katanya, separuh akhir kedua melibatkan Felda United menentang Kelantan akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 30 Mei manakala pertemuan di antara Pahang dan JDT akan berlangsung di Stadium Darul Makmur pada keesokan harinya.
“Final Piala FA 2014 akan berlangsung pada 7 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya menolak permohonan Felda United untuk meminda tarikh perlawanan menentang Negeri Sembilan dan menetapkan perlawanan antara kedua-dua pasukan itu akan tetap diteruskan pada 9 Mei ini mengikut jadual yang ditetapkan.
Afandi juga memberitahu pihaknya bersetuju membenarkan mana-mana perlawanan suku akhir melibatkan saingan Piala Presiden untuk beraksi pada sebelah malam berbanding waktu petang seperti sebelum ini sekiranya terdapat permohonan daripada pasukan tuan rumah.
Bagaimanapun katanya, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan teliti terhadap lokasi permainan bagi memastikan ia mengikut piawaian yang ditetapkan FAM sebelum dibenarkan beraksi.
“Sekiranya ada pasukan yang berminat, mereka boleh kemukakan permohonan untuk diberikan pertimbangan seperti mana yang dilakukan pasukan Kedah yang meminta untuk mengubah jadual perlawanan mereka dari 4.45 petang kepada 8.45 malam di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok,” katanya.

Catatan Popular