KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 25 Ogos 2013

TRW Raih Kemenangan Pertama



KOTA BHARU – Juara bertahan, The Red Warriors meraih kemenangan pertama dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia  setelah menewaskan musuh tradisi, Terengganu 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan Kelantan menduduki tangga kedua Kumpulan C setelah berkongsi mata dengan Pahang yang turut melakarkan kemenangan bergaya 5-3 ke atas Negeri Sembilan dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Paroi.
Kelantan bermula garang ketika perlawanan baharu memasuki minit kelima apabila Mohd Norfarhan Muhammad melakukan hantaran silang sehingga mencetuskan situasi kelam-kabut di depan gawang Terengganu namun rembatan leret Mohd Faiz Subri tersasar di sebelah kanan.
Terengganu yang turun dengan misi memburu kemenangan melakukan serangan balas pantas tiga minit kemudian setelah Indra Putra Mahayuddin hilang bola di kawasan tengah padang  namun hantaran lintang G Puaneswaran gagal disambut rakan sepasukannya.
Dickson Nwakaeme bagaimana pun memastikan Kelantan berada di depan apabila meledakkan gol pertama dua minit kemudian. Hantaran lambung Kapten, Mohd Badhri Radzi dari tengah berjaya memerangkap Vincent Bikana sekali gus membolehkan penyerang import Nigeria itu menanduk masuk menewaskan Mohd Shamirza Yusoff.
Tertekan dengan jaringan tersebut, Terengganu kembali mengatur serangan pada minit ke-12. Hasilnya Jean Emmanuel Effa Owona sempat melepaskan rembatan meski pun dikawal ketat pertahanan tuan rumah namun terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Tuan rumah kembali mempamerkan aksi menghiburkan di hadapan hampir 12,000 penyokong setia apabila Indra Putra mencipta peluang dua minit kemudian dengan menolak bola ke belakang untuk Nwakaeme namun rembatan derasnya terus ke dakapan Mohd Shamirza.
Pelawat bagaimana pun hampir mengimbangi kedudukan pada minit ke-15 apabila Mohd Ashari Samsudin melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti setelah mengutip tandukan ke belakang Effa Owona namun tiang gol pula menjadi penghalang.
Menuju minit ke-22, Kelantan hampir menggandakan jaringan apabila Indra Putra memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Sang Penyu namun rembatan kencangnya terkena bucu sebelah kiri gawang pelawat.
Tindakan Ketua Pasukan Terengganu, Hasmizan Kamarodin melakukan kekasaran ke atas Mohd Norfarhan pada minit ke-26 mengundang padah apabila pengadil, Abd Nafeez Wahab tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.
Namun Obinna Nwaneri yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan tersebut mensia-siakan peluang keemasan untuk membawa Kelantan lebih selesa di depan apabila rembatannya berjaya ditepis keluar Mohd Shamirza.
Pelawat yang lega dengan situasi tersebut turut mempunyai peluang pada minit ke-42 apabila Mohd Ashari menyambut umpanan ke belakang Effa Owona namun rembatan pemain yang terkenal dengan jolokan ‘The Silent Killer’ itu sedikit tersasar di sebelah kiri gawang Kelantan.
Minit-minit akhir babak pertama, Terengganu sekali lagi nyaris-nyaris menyamakan kedudukan namun Hasmizan gagal menolak masuk ke gawang tuan rumah berpunca sepakan penjuru Khairan Eruan Razali.
Memasuki babak kedua, Kelantan melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan Zairul Fitree Ishak beraksi di bahagian sayap kiri namun kedua-dua pasukan tampak memperlahankan rentak permainan.
Hanya gerakan satu dua menarik di antara Nwakaeme bersama Mohd Norfarhan pada minit ke-49 mencuri perhatian namun rembatan penjaring gol kemenangan Kelantan dalam final Piala FA itu tersasar tinggi.
Ini disusuli percubaan Mohd Norfarhan sekali lagi pada minit ke-59 turut gagal menghasilkan jaringan sementara rembatan Mohd Badhri empat minit kemudian dari luar kotak penalti juga melewati gawang Terengganu.
Tertekan memburu jaringan penyamaan, Elavarasan akhirnya membuat dua pertukaran serentak pada minit ke-64 apabila memasukkan Farderin Kadir dan Mohd Fakrurazi Musa namun itu tidak banyak mengubah jentera tengah dan serangan mereka.
Sebaliknya, Kelantan terus menampilkan aksi berbisa dua minit kemudian apabila Zairo Anuar Zalani bijak menolak bola kepada Nwakaeme sebelum penyerang bertubuh sasa mengumpan pula kepada Indra Putra namun rembatan pemain sayap itu tinggi melepasi gawang pelawat.
Satu-satunya peluang terbaik Terengganu hadir pada minit ke-70 apabila Mohd Ashari melakukan umpanan kepada Farderin namun percubaan bekas penyerang Felda United FC itu hanya tersasar beberapa meter di sebelah kanan gawang tuan rumah.
Kebuntuan jaringan lebih sejam perlawanan berlangsung bagaimana pun terlerai bagi Kelantan apabila Zairo Anuar akhirnya mencetak nama selaku penjaring gol dalam perlawanan malam tadi.
Tindakan Bikana mengasari Nwakaeme memaksa pengadil memberikan sepakan percuma pada minit ke-73 dan Zairo Anuar sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila rembatannya terus menerjah jaring sekali gus gagal diselamatkan Mohd Shamirza.
Menghampiri minit ke-78, Kelantan terus ghairah memburu gol ketiga apabila Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim membuat larian ‘overlapping’ dan melakukan hantaran silang mengelirukan namun Mohd Shamirza sempat melayangkan badan untuk menepis keluar bola.
Tempoh 10 minit terakhir ternyata tidak memberi apa-apa erti buat bekas juara Piala Malaysia musim 2001 itu untuk sekurang-kurangnya memperoleh gol sagu hati apabila segala usaha mereka menembusi gawang terutama menerusi Effa Owona sering dipatahkan benteng pertahanan tuan rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular