KOTA BHARU – Kelantan mahu meneruskan momentum kemenangan berdepan Negeri Sembilan pada aksi ketiga Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, malam ini.
Meskipun masih segar dengan kemenangan menewaskan seteru tradisi Terengganu 2-0 Sabtu lalu, pengendalinya, Bojan Hodak enggan mendabik dada, sebaliknya meramalkan pasukannya bakal berdepan ujian getir dalam perlawanan tersebut.
Hodak berkata, Negeri Sembilan pasti bangkit dan beraksi bermati-matian selepas mereka tumbang 5-3 kepada Pahang pada perlawanan Sabtu lalu.
“Mereka (Negeri Sembilan) merupakan salah satu pasukan yang liat untuk ditewaskan. Walaupun kalah kepada Pahang tempoh hari, namun mereka kuat bekerja dan berjaya bangkit menjaringkan tiga gol walaupun ketinggalan.
“Kesungguhan tersebut membuktikan kemampuan mereka tidak boleh diambil mudah. Oleh itu kita perlu kuatkan mental dan fizikal untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam pada itu, Kelantan menerima khabar gembira apabila penyerangnya Ahmad Fakri Saarani yang digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning dalam aksi pertama dengan Pahang lalu sudah bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan itu.
Hodak memberitahu, kehadiran Ahmad Fakri dijangka memberikan variasi pilihan kepadanya untuk merencana ketajaman penyudah di bahagian serangan The Red Warriors.
“Saya yakin dan percaya ketumpulan jentera serangan dijangka dapat diatasi dengan kehadiran pemain berkenaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hodak berkata, jika The Red Warriors menang pada perlawanan itu, pasukannya dijangka mempunyai kelebihan untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Kita masih ada empat perlawanan termasuk malam esok (ini). Apa-apa pun boleh berlaku, tetapi saya percaya jika menang malam esok (ini). Ia akan menjadi suntikan moral buat pemain untuk menghadapi baki perlawanan selepas ini,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan