SEORANG pemain simpanan Kelantan ‘menconteng arang’ kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) apabila disahkan terbabit dalam isu penyalahgunaan dadah ketika perlawanan akhir Piala FA 29 Jun lalu.
Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak kelantan yang enggan dikenali berkata, terdapat salah seorang pemain simpanan The Red Warriors dikecualikan daripada sesi latihan, selepas gergasi Pantai Timur itu menjulang Piala FA kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemain berkenaan, sebaliknya hanya mahu menunggu hari memberi keterangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu depan.
“Buat masa sekarang, pemain berkenaan tidak dibenarkan menjalani latihan bersama pasukan. Kita mungkin tidak akan melakukan ujian doping kedua, sebaliknya akan menunggu hari memberi keterangan dan menerima apa saja hukuman yang dikenakan oleh FAM,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jika didapati bersalah,pemain yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah itu berkemungkinan bakal berdepan hukuman berat digantung seumur hidup oleh FAM.
Tertuduh yang hanya disenaraikan sebagai pemain simpanan didapati bersalah selepas positif dadah menerusi ujian doping selepas perlawanan antara Kelantan dengan Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil itu berakhir. Dalam aksi kemuncak Piala FA itu, Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraan hasil kemenangan 1-0.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net) Mahizi Mahmood berkata, pihaknya kesal apabila isu penyalahgunaan dadah mencemari sukan bola sepak tanah air. Katanya, pihak yang terbabit dalam isu ini perlu tampil memberi penjelasan supaya tidak memanjangkan masalah berkenaan selain perlu membalas surat yang dikeluarkan FAM supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.
“Kita amat kecewa dengan perkara ini. Sebelum ini sukan bola sepak hanya dicemari dengan kegiatan bookie, namun kali ini membabitkan penyalahgunaan dadah. Saya harap pihak yang terbabit perlu tampil memberi penjelasan. Kita juga memuji sikap profesional FAM yang tidak terus mengambil hukuman, sebaliknya masih memberi peluang kepada pemain yang didapati bersalah itu memberi penjelasan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan