KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 16 Mac 2012

Prebiu Perlawanan : Perak mln Kelantan


Kelantan dan Perak meneruskan misi penting untuk memungut tiga mata penuh dalam saingan Liga Super yang disambung kembali di Stadium Ipoh, malam esok.


Tepatnya, Perak kembali dengan rasional untuk menumpukan kepada saingan Liga Super setelah ditunjukkan jalan keluar dari Piala FA namun perlu mencari rentak segera termasuk memperbaiki jentera serangan yang kelihatan semakin tumpul pada saat ini.

Sang Kijang yang hadir selaku pasukan pelawat sudah tentu berada dalam tempoh selesa selepas berehat beberapa hari dari kejohanan peringkat domestik dan Asia menyaksikan kehadiran ke Ipoh bukan satu tempat untuk "makan angin"

Bagi Perak, kehadiran The Red Warriors ke gelanggang mereka bakal diberikan sambutan biasa sementelah pula pihak pengurusan bertekad mahu pemain mereka mencalar imej pasukan pelawat buat kali kedua dalam masa dua tahun.

Kelantan yang hadir selaku pendahulu liga turut dikhabarkan mahu mendapatkan kemenangan seterusnya mengukuhkan kedudukan mereka di singgahsana dari dicabar pencabar terdekat yang lain.

Kem Perak sedikit lega setelah menerima perkhabaran kesemua pemain utama bebas dari masalah kecederaan dan pengantungan perlawanan, situasi berbeza bagi Sang Kijang apabila dua hingga tiga pemain masih lagi dilaporkan tidak cergas.

Berdasarkan rekod pertemuan di Stadium Ipoh, Perak dilihat mempunyai kelebihan berbanding pasukan lawan kerana mereka mencatatkan kemenangan besar pada dua tahun terakhir ini sejak kekalahan memalukan pada 2009. Bagi rekod semasa, Kelantan menang keatas Seladang pada dua pertemuan persahabatan termasuklah dengan jaringan 3-1 pada persiapan pra-musim dimana pada ketika itu mereka masih dibawah bimbingan Peter Butler.

Formasi dan Taktikal.

Perak dibawah kendalian Norizan Bakar berada dalam keadaan tekanan untuk beraksi baik kerana ketumpulan penyudah selain ketidak tentuan prestasi pemain import menyaksikan segala perancangan yang telah diatur terus gagal direalisasikan. Apa tidaknya, dengan 11 jaringan berbanding 10 bolos dalam 9 perlawanan meletakkan mereka setakuk dibawah Kelantan. Norizan perlu berusaha keras pada perlawanan malam esok dengan mengatur strategi baru sementelah kehadiran kembali Akmal Rizal dan Failee Ghazali meredakan sedikit tekanan untuk mencari pemain serangan. Pada perlawanan malam esok, "fans" Seladang mengharapkan formasi menyerang diteruskan dengan corak taktikal 4-4-2.

The Red Warriors turut hadir dengan sedikit kelemahan apabila kehilangan pemain serangan yang masih mengalami kecederaan. Bojan masih lagi memantau situasi Norshahrul dan ketiadaan penjaring terbanyak Kelantan setakat ini biarpun pada awalnya tidak berdepan masalah besar mungkin bakal menghukum mereka di gelanggang lawan, esok. Namun, rekod semasa yang mereka lakar pada tiga saingan yang disertai setakat ini mungkin menjadi bekalan selesa kepada Bojan mengatur taktikal terbaik dan memantapkan kembali beberapa kelemahan yang dikesan termasuk bahagian pertahanan. Dijangka, formasi 4-4-2 juga akan digunakan beliau disamping semua pemain bebas untuk menjana bahagian masing-masing dalam tekad memburu jaringan kemenangan.

Senarai Kemungkinan.

Perak


Tiada sebab bagi Norizan Bakar untuk melakukan pertukaran di posisi penjaga gol dimana Nasril Nourdin kekal mengemudi kubu terakhir mereka berbanding mengharapkan tenaga simpanan yang mungkin memberikan sedikit risiko pada pertemuan menentang Sang Kijang.

Jentera pertahanan yang dilihat masih lemah dan kurang daya ketahanan pula bakal diterajui oleh Mohd Khairi Zainuddin, Mohamad Hisyamudin, Mohd Syazwan Roslan serta K. Nanthakumar. Mereka diberi peranan cukup luas untuk menghalang gerakan yang bakal dilakukan barisan serangan Kelantan. Andai corak permainan mereka berjaya mengekang asakan lawan, mereka berempat bakal menjadi kunci kepada kejayaan Perak untuk memungut tiga mata.

Bagi posisi tengah, Norizan mempertaruhkan ketua pasukan, Shahrulnizam Mustapha untuk digandingkan dengan pemain import dari Slovakia, Michal Kubala. Pemain ini diberi harapan oleh barisan pengurusan dan penyokong setia Seladang untuk melakukan sesuatu pada perlawanan malam esok. Kubala sudah melakukan enam jaringan dan menjadi antara penjaring prolifik Liga Malaysia setakat ini dan kehebatan Kubala bakal menyukarkan barisan pertahanan Sang Kijang dengan ditambah aksi beberapa pemain muda seperti Fahrul Razi serta Mohd Fazrul Hazli, Perak bakal menjelmakan satu asakan padu didepan penyokong mereka sendiri ke kubu Kelantan.

Posisi serangan yang seringkali memberi masalah kepada Perak mungkin turut berubah setelah import yang digunakan dijangka tidak akan diturunkan oleh Norizan menyaksikan kelibat Akmal Rizal dan Failee Ghazali digandingkan untuk mencari jaringan. Tetapi siapa tahu, Popovic yang telah dikritik hebat sejak 10 perlawanan lepas mungkin menjelmakan aksi menarik untuk melakar jaringan pertama di Liga Super andai terus diberi peluang beraksi. Selain mereka, Shafiq Jamal yang kelihatan tumpul sejak akhir-akhir ini mungkin menjadi penyerang alternatif seandainya pemain lain masih berterusan gagal meledak didepan gawang pelawat.

Kelantan


Sang Kijang dikhabarkan sudah boleh menerima khidmat Khairul Fahmi yang dilanda kecederaan setelah aksi Pra Olimpik. Pemain ini diberi harapan untuk memulihkan segera kecederaan kerana saingan yang akan dilalui bukan calang-calang. Namun andai "Apek" gagal kembali, Shahrizan Ismail masih mempunyai aura untuk berada di tempat tersebut.

Barisan pertahanan, tiada perubahan bakal dilakukan oleh Bojan setelah Obinna dan Farisham masih kekal konsisten sejak ketiadaan S. Subramaniam yang dilanda kecederaan pangkal paha. Daudsu turut mungkin berada dalam skuad selain Zairul Fitree kembali merampas tempat di posisi pertahanan kiri setelah Aziz dilihat masih mencari kecergasan.

Jentera tengah, Mohd Badri Radzi selaku ketua pasukan diberi peranan lebih luar berbanding pemain lain dimana dia turut diharapkan untuk melakukan jaringan selain hantaran-hantaran baik ke kawasan lawan. Shakir Shaari biarpun beraksi di posisi "defensive" mungkin turut diberi sedikit kelonggaran untuk naik keatas bagi membantu Chanturu dan Indra pada posisi sayap. Mereka bertiga akan memainkan peranan penting bagi mengemudi jentera serangan Kelantan dengan hantaran dan larian pantas dari kawasan tengah.

Posisi serangan, ketiadaan Norshahrul bakal membuka satu peluang kepada Norfarhan untuk kembali ke posisi asal selepas beberapa tahun beraksi di sebelah kanan. Dia mungkin digandingkan dengan pemain import, Nwoha Onyekachi manakala Ramzul Zahini diletakkan di bangku simpanan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular