Piala AFC 2012 : Prebiu - Misi Tiga Mata Penuh.
Selepas kejayaan mara ke pentas suku akhir Piala FA, The Red Warriors turun tanpa persediaan rapi apabila bertandang ke Yangon untuk aksi kedua AFC melawan Ayeyawady United FC.
Cabaran besar menanti pemain Sang Kijang untuk membawa pulang tiga mata penuh selepas terpaksa berkongsi mata dengan Navibank Saigon pada perlawanan pertama beberapa minggu lalu.
Bukan satu tugasan mudah kepada barisan pengendali Kelantan untuk merencana strategi ampuh bagi mengekang tuan rumah seterusnya mengaut semua mata yang ditawarkan pada perlawanan ini.
Begitu juga dengan Ayeyawady United, perlawanan di tempat sendiri sudah tentu mahu dibuktikan dengan catitan kemenangan keatas pendahulu Liga Malaysia tersebut.
Sementelah kejayaan meraih satu mata di Malang, Indonesia pada perlawanan pertama pasti mahu diterjemahkan pada pungutan mata penuh.
Berdasarkan situasi semasa, kelebihan nyata berpihak pada Ayeyawady setelah kesemua pemain utama mereka cergas dari masalah kecederaan berbanding Kelantan yang telah kehilangan sehingga lapan pemain.
Ayeyawady United tentu akan menggunakan segala kelebihan yang dimiliki mereka termasuklah persekitaran, cuaca, stadium dan penyokong untuk menewaskan Kelantan dengan habis-habisan.
Taktikal dan Formasi.
Ayeyawady United bukanlah pasukan yang mantap bila bersaing di Liga Myammar namun keupayaan dalam kejohanan piala begitu dikagumi pasukan lawan. Justeru itu, pengendali mereka, Joseph Harel dijangka meneruskan dominasi saingan peringkat kumpulan Piala AFC untuk mengejutkan pasukan Kelantan. Formasi 4-4-2 bakal diterjemahkan jurulatih berasal dari Slovakia tersebut.
Bojan Hodak tiada pilihan lain selain menurunkan barisan serangan untuk mencari gol awal dan disebabkan itu beliau kemungkinan terus mengekalkan formasi perlawanan pertama dengan menjalankan 4-3-3 namun memberi penekanan pada hantaran pendek selaras dengan hasrat untuk bermain "one touch football".
Senarai Kemungkinan.
Ayeywady United FC
Pada perlawanan ini dijangka penjaga gol yang pernah beraksi dengan skuad Kebangsaan Myammar, Thiha Si Thu terus dikekalkan kerana prestasi konsisten sepanjang diturunkan dalam liga domestik dan piala.
Barisan pertahanan turut dijangka tiada perubahan besar dimana pemain import, Karangwa John bakal menggalas tugasan pertahanan bersama dengan Zaw Zaw Oo serta Na Ling Auw. Melengkapkan senarai pertahanan ialah U Tun Lin Aung.
Jentere tengah, import baru, Miroslav Latiak dijangka menjadi "play maker" Ayeyawady United untuk merencana gerakan membolosi gawang pelawat. Miroslav dibantu Nanda Lin Kyaw Chit, Kyaw Zayar Min serta Sai Than Aung. Keempat-empat pemain ini dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatur gerakan kerana gandingan mereka dilihat cukup rasi untuk mengucar kacirkan pertahanan lawan.
Pemain serangan pula bakal diketuai penyerang dari Nigeria, Jupiter Yves. Satu tempat lagi mungkin akan dimiliki oleh Aung Kyaw Myo. Dua pemain ini dilihat cukup mantap beraksi bersama malahan seringkali bertindak menjaringkan gol saat pasukan memerlukan. Malah, kedua-dua pemain ini berhasil meledak hampir 10 gol pada beberapa perlawanan terakhir.
Kelantan FC
Ketiadaan Khairul Fahmi tidak merisaukan Bojan kerana Shahrizan Ismail mempunyai cukup pengalaman untuk mengemudi benteng terakhir dari dirobek pemain Ayeyawady.
Pertahanan pula tidak lain tidak bukan Obinna Nwaneri diberi tanggungjawab mengetuai posisi ini dari serangan tuan rumah. Beliau akan dibantu oleh Farisham Ismail di pertahanan tengah manakala Daudsu dan Zairul Fitree masing-masing melengkapkan posisi di sebelah kiri dan kanan.
Jentera tengah, Mohd Badri Radzi selaku ketua pasukan mempunyai tanggungjawab besar dan diharap tidak melakukan "mistake" mudah memaksa pasukan ke jalan buntu. Shakir Shaari juga perlu meningkatkan prestasi yang dilihat merudum dan biarpun begitu, dia bersama Indra Putra dan Norfarhan mungkin terus dikekalkan Bojan dalam senarai utama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan