KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 9 Julai 2013

TRW fokus kekal kejuaraan




9 Julai 2013 - SELEPAS misi mempertahankan Piala FA dan berada dalam kelompok empat pasukan teratas kempen Liga Super musim ini tercapai, The Red Warriors kini mengalih tumpuan apabila mahu mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, agenda tersebut disifatkan cukup penting bagi memastikan Kelantan mampu menamatkan saingan Liga Malaysia musim ini dengan dua kejuaraan di dalam tangan.

“Mempertahankan Piala Malaysia tetap menjadi misi utama Kelantan selepas gagal mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ini. Selain Piala FA, kita harap dapat membawa pulang trofi paling berprestij itu ke bumi Kelantan
sekali lagi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

“Memang pada awal musim ini kita bergelut dengan prestasi tidak menentu, namun sejak akhir-akhir ini Kelantan telah kembali ke kemuncak sebenarnya. Saya harap momentum ini terus kekal apabila kita mengharungi kempen Piala Malaysia nanti.

Azman berkata, semua pemain diberi cuti rehat panjang setelah penat mengharungi saingan liga domestik sejak enam bulan lalu dan akan kembali menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia pada 20 Julai ini.

Tampil selaku juara bertahan, sudah pasti ranjau berliku menanti skuad kendalian Bojan Hodak untuk memastikan Piala Malaysia yang dimenangi pada musim lalu kekal di Kelantan kerana perlu berdepan saingan sengit daripada beberapa pasukan seperti Lions XII, Johor Darul Takzim, Selangor selain juara Liga Premier, Sarawak.

Dalam pada itu Azman menyifatkan pemilihan tujuh pemain utama pasukannya bagi menjalani latihan bersama Harimau Malaya di bawah kendalian Datuk K Rajagobal bermula 11 Julai ini merupakan satu penghormatan buat Kelantan.

“Mungkin persiapan kita sedikit terjejas kerana mereka akan berlatih selama sebulan bersama skuad kebangsaan. Mereka tak ada banyak masa apabila kita memulakan saingan Piala Malaysia bulan depan.

“Bagaimana pun, saya harap mereka dapat mengekalkan prestasi masing-masing ketika menjalani latihan di ibu negara. Saya berdoa agar mereka tidak ditimpa kecederaan kerana kita tahu skuad kebangsaan akan menghadapi beberapa siri perlawanan kompetitif dalam tempoh tersebut,” katanya. - SH

Gambar bawah : Azman (kanan) dan Hodak perlu memikirkan perancangan rapi bagi memastikan Kelantan dapat mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia pada musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular