KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menganggap pertembungan menentang Tampines Rovers pada Kejuaraan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mirip kepada perhitungan maruah antara dua negara iaitu Malaysia dengan Singapura.
Badhri atau Piya berkata, meskipun bakal berdepan cabaran sengit daripada juara Piala FA Singapura itu, Kelantan akan memberikan persembahan terbaik bagi memastikan kemenangan berpihak kepada The Red Warriors.
“Kalau boleh, kami mahu jaga maruah negara. Saya melihat pertembungan ini bukan sekadar aksi antara kelab, malah ia lebih kepada mengembalikan semula maruah negara selepas kita menyerahkan kejuaraan Liga Super kepada Lions XII.
“Jadi, inilah peluang terbaik buat Kelantan untuk menebus kekecewaan tersebut dengan merangkul kejuaraan ini, sekali gus mengembalikan semula reputasi bola sepak negara,” katanya semalam.
Kejohanan yang julung kali diperkenalkan oleh FAM dan FAS itu akan berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos depan.
Selain Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menggalas tugas negara dan akan berdepan dengan juara Piala Singapura, Warriors FC.
Pertemuan antara Kelantan dengan Tampines Rovers akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan bakal kehilangan enam tonggak utamanya yang menggalas tugas bersama skuad Harimau Malaya iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Mat Rose, Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Shakir Shaari, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim dan Mohd. Nor Farhan Mohammad.
Mengulas mengenai kehilangan enam tonggak berkenaan, Piya mengakui, ia mungkin menjejaskan sedikit persiapan pasukan pada pertemuan tersebut.
Namun, dia optimis pengendali Kelantan, Bojan Hodak mempunyai ramuan tersendiri untuk mengekang asakan Tampines Rovers.
“Kita masih mempunyai beberapa tonggak mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain tersebut. Inilah peluang terbaik buat pemain yang jarang beraksi untuk membuktikan kemampuan kepada jurulatih,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan