KOTA BHARU – “Jangan pandang rendah kemampuan pasukan lain.
Demikian ingatkan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa kepada barisan pemain The Red Warriors menjelang saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 20 Ogos ini.
Annuar mengakui, skuad The Red Warriors bakal berdepan laluan getir selepas diundi bersama-sama dua lagi gergasi pantai timur, Pahang dan Terengganu serta bekas juara Piala Malaysia 2011 Negeri Sembilan dalam Kumpulan C.
Beliau berkata, kesemua pasukan tersebut mampu memberikan saingan dan The Red Warriors tidak boleh mengambil mudah cabaran dari ketiga-tiga pesaing berkenaan.
Menurutnya, kebiasaan pasukan yang bertemu dengan Kelantan pasti akan beraksi bermati-matian bagi memastikan mereka mencatatkan kemenangan ke atas The Red Warriors pada perlawanan tersebut.
“Mahu tidak mahu, Kelantan perlu tampil dengan lebih bersedia untuk menghadapi saingan kali ini, memandangkan lawan yang bakal ditentang bukanlah calang-calang pasukan dan kesemuanya sudah masak dengan saingan ini.
“Sehubungan dengan itu, saya harap barisan pemain dapat memberikan aksi terbaik, bagi memastikan peluang kita untuk muncul sebagai juara kumpulan tercapai,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tambah Annuar, ini penting bagi membolehkan Kelantan mengesahkan laluan ke peringkat seterusnya dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu.
Dalam saingan musim ini, Kelantan gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super, namun kekecewaan The Red Warriors terubat selepas status sebagai juara Piala FA berjaya dipertahankan.
Annuar memberitahu, saingan Piala Malaysia berbeza dengan Liga Super mahupun Piala FA.
Katanya, kebiasaannya pasukan yang kurang cemerlang dalam saingan sebelum ini akan menggunakan peluang untuk membuktikan sesuatu selepas gagal melakukannya sebelum ini.
“Pahang dan Terengganu merupakan semi finalis dalam saingan Piala FA musim ini, begitu juga dengan Negeri Sembilan bekas juara Piala Malaysia 2009.
“Ketiga-tiga pasukan ini mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing dan mereka pasti akan tampil dengan aksi terbaik bagi membuktikan reputasi sebagai salah satu pencabar terkuat kepada Kelantan,” ujarnya.
Sebagai persiapan menjelang saingan Piala Malaysia, Kelantan akan mengadakan perlawanan persahabatan bertemu Selangor dan T-Team masing-masing pada Khamis dan Isnin ini.