KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 7 Januari 2011

KAFA Tampil Bantu Sairozi

Annuar Musa (dua,kanan) dan Azman Ibrahim meluangkan masa melawat Sairozi Daud di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) semalam tampil menghulurkan sumbangan kewangan kepada bekas pemain bola sepak Kelantan, Sairozi Daud yang kini terlantar menderita akibat penyakit barah tengkuk yang dihadapinya hampir setahun lalu.

Sairozi, 32 tahun, pemain yang pernah menyarung jersi Kelantan sekitar tahun 2005 dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu sejak tiga hari lalu setelah tahap kesihatan beliau kian merosot.

Semalam, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dan Pengurus Pasukan Liga Super Kelantan, Azman Ibrahim meluangkan masa hampir setengah jam melawat Sairozi di wad hospital tersebut.

“Sumbangan kewangan ini disampaikan dengan hasrat meringankan beban yang terpaksa dihadapi keluarga beliau dan kita berharap dengan sumbangan ini sekurang-kurangnya mampu menampung perbelanjaan mereka,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, sumbangan tersebut merupakan tanda keprihatinan pihak Kafa terhadap bekas pemain yang pernah menyarung jersi Kelantan suatu ketika dahulu.

“Walaupun tidak lama bermain dengan Kelantan, tetapi jasa dan sumbangan beliau tetap diingati terutama setelah membantu Kelantan muncul juara Piala FAM, tahun 2005.

“Pihak Kafa bersimpati di atas penderitaan yang dialami beliau dan kita sama-sama mendoakan semoga beliau kembali pulih daripada penyakit yang dihadapinya ketika ini, dan semoga beliau terus mempunyai kekuatan untuk melawan penyakit yang dihadapinya,” katanya.

Sementara itu, bapa Sairozi, Daud Yaakob berkata, beliau sekeluarga mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan pihak Kafa terutamanya kesudian Tan Sri Annuar Musa sendiri meluangkan masa menziarahi anaknya.

“Saya terharu di atas kunjungan ini dan berterima kasih kepada pihak Kafa terutama Tan Sri Annuar Musa yang sudi menghulurkan sumbangan kepada keluarga kami,” katanya.

Menurutnya, ada sedikit perubahan sejak Sairozi dimasukkan ke hospital tiga hari lalu.

“Beliau sudah berselera sedikit untuk makan berbanding ketika terlantar di rumah sebelum ini. Saya juga berharap para peminat dapat mendoakan semoga beliau kembali pulih daripada penyakit yang dihadapinya ketika ini,” katanya.

Dua hari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) Kelantan, Abdul Fattah Mahmood dan isteri turut meluangkan masa melawat Sairozi sambil menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular